Monday, January 10, 2011

Bukan Sekadar Peperiksaan

Salam buat semua.

Bagi setiap insan, tentu memilki tarikh penting dan bermakna dalam kehidupan. Begitu juga saya. 9/1/2011 amat indah dan bermakna. Manis dan bernilai. Kerna apa? Hari lahir saya bukan pada tarikh ini. Lantas apa?
Kerna saya bersyukur dan yakin saya telah membuat keputusan yang benar dan tepat dalam hidup saya. Tarikh itu adalah kali pertama saya menduduki peperiksaan pertama di Universiti Al-Azhar As-Syarif dalam kuliah Usulluddin. Mungkin pada pandangan insan lain ini cukup ringan. Sekadar satu peperiksaan. Tapi bagi diri ini, ia adalah noktah-noktah penting dalam kehidupan.

Semasa menunggu waktu peperiksaan, dalam kelam kabut, sempat juga saya memerhati. Ramai penuntut Azhar. Pelbagai warna kulit, bahasa, pakaian, umur, saiz, kerenah, dan sebagainya. Mudah saya katakan, hampir semua wakil benua di dunia ini ada menuntut di Al-Azhar. Cuma saya masih mencari wakil dari Brazil, Mexico, New Zealand dan Atlanta mungkin. Ada komuniti Islam di sana dan saya yakin, pasti ada yang tergerak mahu ke sini. Berkelana demi agama. Cuma mungkin saya yang belum jumpa.

Berbalik kepada Azhar dan suasana tadi. Dan jumlah itu, bukan ini pertama kalinya. Mungkin pertama kali saya melihatnya tapi sejak ditubuhkan, berapa ramai yang telah menuntut ilmu di sini? Tidak larat saya membilang. Lihat sahaja Malaysia. Sejak dari tahun 60 an atau mungkin lebih awal dari itu, graduan Al Azhar di Malaysia sudah ada dan semakin berkembang jumlahnya.

Seusai peperiksaan dan memang saya terkejut dengan apa yang berlaku dalam dewan-exam sesempoi mungkin tapi jawapan kena padu-saya sempat bersembang dengan seorang teman dan berkongsi pengamatan. Memang dia juga mengakui penuntut Azhar itu ramai. Jika dicongak-congak, duta Al Azhar atau Azhari ini, bertebaran di merata tempat seluruh dunia. Maka suara Azhar demi agama ini bergema seharusnya di setiap ruang. Begitu secara idealnya.

Namun, kami juga menemui, meski bertebaran duta Al Azhar ini, umat masih lesu. Lemah tidak bermaya. Hilang segala sifat keperwiraan dan pahlawannya. Terfikir juga kami apa puncanya. Adakah tidak cukup silibus akademik Azhar? Kurangkah kitab-kitab turath yang dibaca? Tidak banyak bertalaqqikah kami? Tidak cukup ramai? atau adakah benar persoalan-persoalan yang bermain difikiran saya ini, merupakan paksi persoalan dan sumber penyelesaian?

Saat melihat kembali, apa yang Nabi Muhammad-SAW-lakukan demi umat ini, untuk memasak paksi shadah di muka Bumi ini, tidak baginda mulakan dengan timbunan ilmu yang menggunung. Bukan bermaksud Nabi Muhammad-SAW-menolak ilmu atau Islam itu sendiri menafikan ilmu, namun ada asas yang perlu ditanam seawal mungkin. Ada hakikat utama yang perlu dikenali dalam kehidupan. Ada penyaksian yang cukup besar-mengalahkan segala penyaksian lain selainnya-yang perlu dibenarkan, diucapkan, dan diamalkan.

Itulah ubudiyyah kepada Allah. Mematlamatan segalanya kepada Allah semata-mata. Melihat kehidupan ini dengan panduan Allah. Melaksanakan tuntutan dan meninggalkan larangan. Dalam jiwa, perasaan paling besar adalah tunduk kepada keesaan Allah. Mengaku kita adalah hamba dan hidup selaku seorang hamba. Melalui proses daripada manusia yang hidup kosong dan mengikuti telunjuk nafsu, kepada manusia yang memiliki cita-cita yang besar. 'BIG DREAM'. Yang mana 'BIG DREAM' ini akan mengangkat kita ke tahap yang kita tidak sangka. Ini yang menjadikan sahabat bertebaran ke seluruh jazirah Arab hingga ke Sepanyol. Ini yang menolak Abu Hurairah menghafaz ribuan hadith. Ini yang mendorong Khalid Al Walid memburu syahid meski matinya tidak sebegitu. Ini yang mengangkat jiwa tentera BADAR-330- menentang musyrikin Makkah-1000-. Kerana 'BIG DREAM' yang mana sumber mimpi ini adalah Allah Yang Maha Esa.

Maka, selaku penuntut Al Azhar, apa 'BIG DREAM' kita? cukup dengan segenggam segulung ijazah? Cukup dengan berkopiah dan bersarban sahaja? Cukup dengan mengimami solat atau mengetuai bacaan tahlil semata-mata? Adakah salah semua ini? Tidak dapat dinafikan, ini adalah kta. Sebahagian. Dan lebih besar dari itu, kita perlu manjadi ejen perubah kepada masyarakat yang ada. Menjadi doktor kepada jiwa-jiwa umat yang kegersangan sejuknya embun iman. Kita perlu menjadi ganerasi yang menjadi asbab kepada turunnya pertolongan dan petunjuk Allah. Ganerasi aset kepada umat. Ulama yang pulang memimpin gerakan melakukan perubahan. Dan ini bukan amanat yang terasing di Malaysia. Tok Janggut, Tok Kenali, Haji Abdul Rahman Limbong, dan pelbagai lagi nama tokoh ulama rantau Melayu nusantara pernah melalui jalan ini. Dan menjadi amanah buat kita, melaluinya juga.

Demikian bagi saya, gambaran atau 'BIG DREAM' tentang seorang penuntut Al Azhar As As Syarif. Dan ini adalah hakikat seorang da'ie, tidak kira siapa pun dia.

Jadilah aset buat umat

Salam Hormat.