Wednesday, February 16, 2011

Buah-Buah Pengalaman


Salam buat semua.

Sebahagian daripada proses kehidupan, adalah tentang belajar. Dan kaedahnya, sama ada secara langsung atau tidak. Pangalaman adalah salah satu aspek yang sangat-sangat membantu dan berharga dalam meniti proses pembelajaran ini.

Menyaksikan sendiri atau lebih tepat, berada di Mesir sewaktu salah satu lipatan bersejarah Mesir berlaku, adalah asset pengalaman yang amat bernilai. Manakan tidaknya, saat dalam usia yang sarat dengan idealisma dan cita-cita, dihamparkan dengan satu kebangkitan yang sememangnya menyentak jiwa. Lama mereka senyap. Membisu atau mungin dibisukan. Menerima seadanya atau mungkin dipaksa dan terpaksa menerima apa sahaja yang ada. Seakan-akan menyerah diri kepada kekalahan atau mungkin juga, hanya kekalahan sahaja pilihan yang mereka ada.

Namun tidak. Masih ada jiwa-jiwa yang hidup. Masih ada yang sedar dan segar. Masih ada yang dambakan kebebasan dan hak-hak asasi mereka. Mesir masih bernyawa.


Tidaklah saya berhasrat hendak menulis satu kajian terperinci tentang proses kebangkitan rakyat Mesir atau mengupas teori Domino, namun sekadar mahu berkongsi buah-buah pengalaman untuk kita nikmati bersama kemanisannya.

1.Muhammad Hosni Mubarak, satu nama yang digulingkan. Memerintah Mesir selama 30 tahun (link).Dan dalam tempoh itu, pelbagai korupsi dilakukan. Hak-hak rakyat terlalu banyak yang dinafikan. Sebahagian pakar manganggarkan kekayaannya melebihi 40 billion Euro (link) dan ada yang menganggarkan lebih 70 billion USD (link). Apa yang bermain difikiran saya, beginikah pemimpin yang kita mahukan? Memerah tenaga rakyat demi kepentingan sendiri? Benarkah ini manifestasi amanah yang Allah berikan kepada manusia?

Allah menjadikan manusia di muka Bumi dengan satu amanah. Sebagai Khalifah. Memakmurkan Bumi Allah dengan seruan kepada kebenaran dan tegahan daripada kemungkaran. Memastikan setiap sistem yang berjalan dalam kehidupan manusia adalah bersumberkan Rabbani. Sistem yang diiringi reda Allah. Dan amanah ini tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya semahu manusia. Kerana apa? Kerana jika dibuat menurut kemahuan kita pasti silap langkah dan bisa menuruti hawa nafsu manusia. Amanah ini milik Allah. Dia adalah puncanya dan dia tahu bagaimana seharusnya amanah ini dilaksanakan. Sebagai hamba, kita wajib menuruti sumbernya –alquran dan hadith-.

“Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan engkau khalifah di muka bumi, maka
hukumlah di antara manusia dengan keadilan, dan janganlah engkau turut hawa
nafsu, nanti ia menyesatkan engkau dari jalan (agama) Allah.” (Shaad 38: 26).

Makanya, menyentuh isu amanah ini adalah sangat penting. Jika benar kita adalah seorang muslim yang meyakini adanya hari Akhirat dan perhitungan dihadapan Allah dengan sebenar-benar keyakinan dan keimanan, pastinya kita akan bergerak dalam kehidupan dunia ini melaksanakan segala amanah yang kita ada. Tanpa sebarang culas dan lalai. Ini adalah kesan iman. Akan memebawa kepada bercambahnya amal.

2.Hari-hari dalam kehidupan rakyat Mesir sebelum 25 Januari penuh dengan keperitan. Untuk menumbangkan Rejim Hosni Mubarak yang telah mengakar 30 tahun lamanya bukan tugas mudah. Amat-amat perlu kepada satu desakan kuasa yang menakjubkan. Dan desakan ini datangnya daripada golongan pemuda. Majoriti yang memenuhi Medan Tahrir adalah pemuda. Mengapa mereka? Apa yang ada pada pemuda? Apa hakikat kita selaku pemuda?

‘Pada hakikatnya usia muda seorang pemuda ialah usia yang penuh dengan cita-cita yang tinggi
dan darah yang gemuruh serta idealisme yang luas. Iaitu usia yang memberi pengorbanan dan
menebus semula. Usia yang menabur jasa, memberi kesan dan emosional.
Dari sini usia muda pemuda dalam perkiraan Islam mempunyai tanggungjawab dan nilai yang
khusus dan kerana itu Rasulullah saw menekankan supaya pemuda-pemuda merasai demikian
melalui sabdanya:
'Ambillah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara:- Usia muda kamu sebelum tua,
masa sihat sebelum sakit, harta kekayaan kamu sebelum papa, masa hidup kamu sebelum mati,
dan masa kosong kamu sebelum sibuk.'*
*Ustaz Fathi Yakan-Ganerasi Pemuda Dan Perubahan-



Ini adalah realiti kita, pemuda. Untuk sesuatu yang amat kita sayangi, kita sanggup membulatkan tekad dan pergi ke arahnya. Mendapatkannya dan sanggup menanggung kepelbagaian risiko yang menanti. Demikian yang berlaku kepada pemuda Mesir.

Ayuh renungi pula diri kita. Pemuda melayu muslim Malaysia. Bagaimana cita dan citra kita? Bagaimana kasih dan cintanya kita kepada bangsa yang bernama Melayu ini. Bagaimana pula sikap ambil berat kita terhadap Islam, yang kita akui adalah agama kita. Mengapa mahu kita biarkan darah muda yang mengalir dalam diri dan jiwa ini sejuk? Sekalian banyak masa yang ada, masih lagi kita ini majoritinya meletakkan masa kita pada satu nilai yang sia-sia. Cuai dalam solat, malas dalam belajar, couple, membazir wang, tidak mengambil berat hal umat Islam, dan yang lebih parah dan memilukan, kita lari daripada seruan yang mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Kita melupakan kewajipan berdakwah. Tidakkah kita dengar tangisan umat Islam di mana-mana tempat di dunia ini yang perlukan pembelaan? Lihat sahaja di Tanah Air kita, bagaimana Islam ini orang permainkan. Usaha dan gerakan yang mencabar ketuanan Melayu Muslim semakin kuat. Sebagai seorang pemuda Melayu Muslim, wajarkah kita membiarkannya berlaku atau kekal mengharap akan ada golongan lain yang yang membela  ketuanan ini? Bagaimana dengan usaha kita?

“Takutilah olehmu akan fitnah (azab bencana) yang tidak khusus menimpa orang-orang
yang zalim saja di kalangan kamu dan ketahuilah, bahawa Allah amat keras
seksaannya.” (Al-Anfal 8:25).

Buang ego kita. Bunuh rasa malas. Mari kita mohon pada Allah keampunan atas segala kesilapan yang lalu dan terus berdoa dan berusaha agar Allah memilih dan mengekalkan kita berada dalam golongan yang berpegang teguh dengan agamaNya saat manusia lain lari dari cahaya hidayah ini. Jadilah pemuda yang dengannya Allah turunkan pertolongan buat manusia lain.



3.Berada jauh di rantau orang membuka ruang kepada saya melihat kehidupan ini dalam skop yang lebih luas dan pelbagai. Memerhati dan menafsir setiap peristiwa yang berlaku disekeliling kita mudah mematangkan diri. Apatah lagi yang jarang-jarang kita alami di Negara sendiri.

Antara pengalaman yang sempat saya lalui sepanjang tempoh itu, adalah berkawal malam bersama penduduk tempatan.

Saya sendiri tidak sangka bahawa dalam masyarakat Arab Mesir ini, wujud satu sistem seperti JKK di Malaysia. Mungkin namanya lain atau barangkali tidak bernama. Namun yang pasti, saat ketiadaan polis untuk menjaga keselamatan-satu hari polis Mesir tidak kelihatan di mana-mana- setelah diberitakan banyak penjara dipecahkan, dibakar, dan mungkin juga dibuka, penjenayah lepas keluar. Saya tinggal dikawasan Hayyu Asyir-jemput datang-. Mulanya tergelak juga saya mendengar berita dari seorang sahabat, dengan nada cemas dia berkata ’weih, cepat-cepat, team penyangak Asyir dah terlepas dah’ . Mulanya saya berpendapat, bahaya manalah mereka yang digelar team penyangak asyir ini. Mungkin sekadar curi-curi dompet dan lari. Namun apabila keluar solat, saya terkejut dengan reaksi penduduk Arab terhadap team penyangak atau Baltoji-jika salah tolong betulkan- ini.

Masyarakat Arab keluar bersenjatakan parang panjang, pisau rembo, pisau pemotong daging, pedang samurai, sabit, malah ada yang berpistol. Yang pasti segala benda tajam yang mampu membunuh amat digalakkan. Khabar dari mereka, Baltoji ini sangat bahaya. Mereka memiliki senjata api dan akan datang dalam satu kelompok besar seperti satu lori dan terus ke sasaran. Diberitakan ada yang terbunuh dan satu Pasaraya Carefour telah dirompak dan dibakar. Saya tergamam. Melihat ditangan kami yang ada hanya kayu penyapu sampah, basi langsir, dan pisau pemotong sayur. Habis.

Kami disapa seorang warga emas Arab di masjid. Dia berkata, ‘kau budak-budak Malaysia bawa ne aje? Sambil menunjuk kepada senjata kami. Tak-tak. Kau pergi balik dan cari benda tajam. Macam aku punya. Kalau jumpa  Baltoji teros bunuh. Jangan fikir-fikir,’

Seorang kenalan menambah,’lepas ne jangan cari pasal dengan orang Arab. Kita tak tahu apa ada kat rumah mereka,’.

Waktu itu, masjid adalah pusat informasi setelah segala medium  perhubungan diputuskan. Maklumat kami perolehi di masjid. Pembahagian waktu berkawal juga dikoordinasikan di masjid. Ketika pengkoordinasi bertanya kepada jamaah siapa nak berkawal pada waktu sekian-sekian, terus mendapat sambutan dan bangun insan menawar diri. Semua menurut susunan yang dibuat oleh pengkoordinasi dan saya kagum dengannya. Kami memilih untuk berjaga dari jam 1 a.m hingga subuh. Pada malam hari, berkawal bersama masyarakat Arab, mengenali dan melihat sikap mereka dengan lebih dekat, memudahkan saya memecahkan mentaliti diri yang selama ini malu bergaul bersama mereka. Pengalaman ini membantu saya untuk lebih peka terhadap apa-apa yang berlaku di sekeliling dan merasai sendiri kehidupan dalam penindasan yang selama ini mereka rasai. Memudahkan menjiwai jiwa mereka yang mahu bangkit. Hangat dalam lingkungan semangat revolusi.

Pesan kepada rakan-rakan yang sedang atau akan merantau ke bumi orang untuk  menuntut ilmu, usah sisihkan diri dari masyarakat tempatan  yang ada. Kita kena bergaul dan sedar akan setiap isu perkembangan yang berlaku disekeliling kita. Jangan keluar dari tempurung di tanah sendiri, masuk pula ke tempurung di tanah orang. Beranikan diri. Semoga kita bukan sahaja menguasai ilmu, namun kita menjadi mahasiswa yang peka terhadap persekitaran dan memiliki ufuk pemkiran yang meluas. Ini adalah asset yang sangat berharga.
Demikian sedikit buah-buah pengalaman untuk dikongsi bersama. Moga berguna dalam usaha kita mencari hakikat kehidupan yang sebenar.

Jadilah ganerasi perubah.

Salam berjuang.