Hendak dilelapkan mata,
tidak mampu. Sungguh-sungguh tidak mampu. Terhuyung hayang ke kiri dan kanan,
menambah mual lelaki Melayu itu.
Bersembang dengan
rakan-rakan pada malam sebelumnya di sebuah kedai makan yang jauh dari sesak
metropolitan kota 1000 Menara benar-benar memakan tenaga. Masih terasa ditekak
enak makanan laut itu.
Perlahan-lahan, lelaki
Melayu itu cuba mendengar, apa isu yang dibisingkan dua lelaki di hadapan.
'Aku sudah kata, kaum
Yahudi adalah yang terbaik di dunia' [selepas diterjemah daripada bahasa Arab
pasar, ini terjemahan terdekat]
Lelaki Melayu itu
memasang lagi telinganya.
'Kalau Yahudi perintah
kita, tak ada masalah-masalah semua ini!' nada kali ini, separa berteriak.
Terus lelaki Melayu itu,
menurunkan penutup kepala baju sejuknya. Mahu dia mengamati lebih teliti. Benar,
gayanya seperti Ethan Hunt dalam Ghost Protocol. Tentu sahaja bergaya.
'Kau lihat masalah sampah
Negara kita, pernah selesai? Harga barang selama ini makin naik, ada kau rasa? Itu
haa, kedai-kedai makan tepi jalan raya [sambil menunjuk ke arah beberapa kedai
makan usang dan pemuda-pemuda di dalamnya] tak ada kelas langsung!' semakin
tinggi nada Arab berkot hitam ini.
'Lalu kau sangka, Morsi
itu mampu bawa kebaikan untuk kita? Aku bersumpah dengan nama Allah, dia tidak
layak menadbir kita. Dia dan juga kawan-kawan Ikhwannya. Lebih rela aku memilih
Yahudi. Mereka menjanjikan pembangunan.'
Perlahan lelaki Melayu
itu tersenyum. Matanya masih rapat tertutup. [mahu kekal stylo]
'Kau yakin dengan apa kau
sebut itu? Adakah benar-benar keluar daripada kewarasanmu?' sopan dan
bersahaja, lelaki yang sudah separuh abad usia dan berkopiah itu membalas.
Sebelum perjalanan
bermula, lelaki Melayu itu sempat memerhati, di mana kedudukan setiap penumpang
dalam kenderaan ini. Berserta pakaian-pakaian mereka tentunya. Memang ini
minatnya. Memerhati.
Terus lelaki berkopiah
itu menjelaskan, bagaimana pembangunan yang dibawa oleh Rasul penutup sekalian
rasul itu. Tentang proses pembinaan diri. Tentang isu ketundukan menjadi hamba
Ilahi. Dan tentang sifat pembangunan yang merupakan perkara mendatang dalam
proses itu. Bukan matlamat. Dan lelaki berkopiah itu terus membandingkan, untuk
apa sebarang bentuk kemajuan jika redha arRahman tidak kita capai? Dan adakah
Islam itu tidak membawa apa-apa selain kemunduran? Benarkah kemunduran itu
sebahagian daripada Islam?
Lelaki Melayu itu kekal
tersenyum. Dan matanya, masih seperti tadi.
Lalu memori lelaki Melayu
itu laju kembali ke Tanah Tumpah darahnya. Terbayang dia akan apa yang sedang
berlaku. Ya, isinya mirip kata-kata lelaki berkot hitam ini. Rakyat sudah muak
dengan korupsi yang berlaku. Sudah meluat dengan muka-muka yang memerintah Ibu
Pertiwi ini. Dan rakyat dijanjikan, dengan pelbagai kemajuan dan tuntutan-tuntutan
yang akan dipenuhi oleh pihak pembangkang.
'Pilih kami, saman ekor
kami hapuskan!' gemuruh hadirin berteriak.
'Pilih kami, pendidikan
percuma kami beri!' semakin gemuruh Suasana. Sehingga ada yang
terbangun-bangun.
'Pilih kami, kesamarataan
kami beri dan mereka itu tidak akan memerintah lagi!'.
Berdiri. Seluruh hadirin
berdiri menyambut ucapan semangat itu. Tepukan gemuruh kedengaran. Benar-benar
gemuruh dan panjang. Tepukan kepuasan yang penuh dengan kebencian dan dendam.
Daripada mata lelaki
Melayu yang tertutup itu, perlahan mengalir air pilu. Sedikit, namun cukup hangat.
Benar, pemerintahnya
tidak cukup baik. Tidak cukup sempurna. Dan mungkin juga, tidak layak
sebenarnya. 55 tahun. Ya, selama ini mereka memerintah.
Dan yang mahu menggantikannya?
Sarat dengan pelbagai konspirasi dan muslihat. Kesamarataan menjadi tujuan dan
dengan pembangunan dan ketelusan pentadbiran rakyat ini dijanjikan.
'Matlamat tertinggi dalam
Islam adalah keadilan. Biar pun siapa yang mendokongnya,' begitu bahaya bicara
pemimpin de facto pembangkang ini.
Bersilih ganti lagu yang
dimainkan, namun iramanya tetap sama. Penukaran status pada kad pengenalan,
kalimah Allah dipermainkan, Islam itu sendiri dicabar, dan seterusnya, apa? Mahu
Perdana Menteri itu, kristian sepertimu?
Adakah kerana dangkalnya
pengetahuan dan rapuhnya iman menyebabkan lagu-lagu ini kekal dimainkan?
Benar engkau British. Benar-benar
engkau menyusahkan. Kami engkau jajah, hasil bumi engkau nodai, dan pepecahan
itu yang engkau tinggalkan.
Macam labu negaraku. Dibaiki
oleh tikus-tikus kelaparan.
Sekali lagi, lelaki
Melayu itu tersenyum. Rakyat perlu diajar, siapa musuh sebenarnya. Apa kunci-kunci
untuk membuka kemelut yang melanda.
Angin pilihanraya sudah
bolah dirasai sejuknya. Dan sebuah Biro Politik baru telah ditubuhkan. Ada yang
menafsir sebagai penghangat suasana. Tidak kurang juga yang kekal pesimis
terhadap mereka. Tafsiran demi tafsiran.
Jujur. Mereka mahu
membantu memandu rakyat membuat pilihan. Noktah utama, dakwah kepada masyarakat
masih perlu diperkuat dan Islam perlu kekal ditempat tertinggi. Mengajar masyarakat
bahawa undi itu bukan sekadar pangkahan pada kotak kosong sahaja. Benar-benar
pilihanraya itu perlu dilihat daripada tingkap yang lebih luas. Agar kejelasan
strukturnya dapat dilihat bersama. Kesan daripada pilihanraya sangat perlu
dibaca sebaiknya. Jangan menang sabung tapi kampung tergadai.
Kedua-dua lelaki Arab itu
kekal berbincang sehingga di tengah ibu kota. Mujur, penamatnya sentosa sahaja.
Lelaki Melayu itu pula,
terus bergerak pulang ke destinasi. Tentunya, kerja masih banyak lagi.