Saturday, January 19, 2013

Lelaki Melayu Itu



Hendak dilelapkan mata, tidak mampu. Sungguh-sungguh tidak mampu. Terhuyung hayang ke kiri dan kanan, menambah mual lelaki Melayu itu.

Bersembang dengan rakan-rakan pada malam sebelumnya di sebuah kedai makan yang jauh dari sesak metropolitan kota 1000 Menara benar-benar memakan tenaga. Masih terasa ditekak enak makanan laut itu.

Perlahan-lahan, lelaki Melayu itu cuba mendengar, apa isu yang dibisingkan dua lelaki di hadapan.

'Aku sudah kata, kaum Yahudi adalah yang terbaik di dunia' [selepas diterjemah daripada bahasa Arab pasar, ini terjemahan terdekat]

Lelaki Melayu itu memasang lagi telinganya.

'Kalau Yahudi perintah kita, tak ada masalah-masalah semua ini!' nada kali ini, separa berteriak.

Terus lelaki Melayu itu, menurunkan penutup kepala baju sejuknya. Mahu dia mengamati lebih teliti. Benar, gayanya seperti Ethan Hunt dalam Ghost Protocol. Tentu sahaja bergaya.

'Kau lihat masalah sampah Negara kita, pernah selesai? Harga barang selama ini makin naik, ada kau rasa? Itu haa, kedai-kedai makan tepi jalan raya [sambil menunjuk ke arah beberapa kedai makan usang dan pemuda-pemuda di dalamnya] tak ada kelas langsung!' semakin tinggi nada Arab berkot hitam ini.

'Lalu kau sangka, Morsi itu mampu bawa kebaikan untuk kita? Aku bersumpah dengan nama Allah, dia tidak layak menadbir kita. Dia dan juga kawan-kawan Ikhwannya. Lebih rela aku memilih Yahudi. Mereka menjanjikan pembangunan.'

Perlahan lelaki Melayu itu tersenyum. Matanya masih rapat tertutup. [mahu kekal stylo]

'Kau yakin dengan apa kau sebut itu? Adakah benar-benar keluar daripada kewarasanmu?' sopan dan bersahaja, lelaki yang sudah separuh abad usia dan berkopiah itu membalas.

Sebelum perjalanan bermula, lelaki Melayu itu sempat memerhati, di mana kedudukan setiap penumpang dalam kenderaan ini. Berserta pakaian-pakaian mereka tentunya. Memang ini minatnya. Memerhati.

Terus lelaki berkopiah itu menjelaskan, bagaimana pembangunan yang dibawa oleh Rasul penutup sekalian rasul itu. Tentang proses pembinaan diri. Tentang isu ketundukan menjadi hamba Ilahi. Dan tentang sifat pembangunan yang merupakan perkara mendatang dalam proses itu. Bukan matlamat. Dan lelaki berkopiah itu terus membandingkan, untuk apa sebarang bentuk kemajuan jika redha arRahman tidak kita capai? Dan adakah Islam itu tidak membawa apa-apa selain kemunduran? Benarkah kemunduran itu sebahagian daripada Islam?

Lelaki Melayu itu kekal tersenyum. Dan matanya, masih seperti tadi.

Lalu memori lelaki Melayu itu laju kembali ke Tanah Tumpah darahnya. Terbayang dia akan apa yang sedang berlaku. Ya, isinya mirip kata-kata lelaki berkot hitam ini. Rakyat sudah muak dengan korupsi yang berlaku. Sudah meluat dengan muka-muka yang memerintah Ibu Pertiwi ini. Dan rakyat dijanjikan, dengan pelbagai kemajuan dan tuntutan-tuntutan yang akan dipenuhi oleh pihak pembangkang.

'Pilih kami, saman ekor kami hapuskan!' gemuruh hadirin berteriak.

'Pilih kami, pendidikan percuma kami beri!' semakin gemuruh Suasana. Sehingga ada yang terbangun-bangun.

'Pilih kami, kesamarataan kami beri dan mereka itu tidak akan memerintah lagi!'. 

Berdiri. Seluruh hadirin berdiri menyambut ucapan semangat itu. Tepukan gemuruh kedengaran. Benar-benar gemuruh dan panjang. Tepukan kepuasan yang penuh dengan kebencian dan dendam.

Daripada mata lelaki Melayu yang tertutup itu, perlahan mengalir air pilu. Sedikit, namun cukup hangat.

Benar, pemerintahnya tidak cukup baik. Tidak cukup sempurna. Dan mungkin juga, tidak layak sebenarnya. 55 tahun. Ya, selama ini mereka memerintah.

Dan yang mahu menggantikannya? Sarat dengan pelbagai konspirasi dan muslihat. Kesamarataan menjadi tujuan dan dengan pembangunan dan ketelusan pentadbiran rakyat ini dijanjikan.

'Matlamat tertinggi dalam Islam adalah keadilan. Biar pun siapa yang mendokongnya,' begitu bahaya bicara pemimpin de facto pembangkang ini.

Bersilih ganti lagu yang dimainkan, namun iramanya tetap sama. Penukaran status pada kad pengenalan, kalimah Allah dipermainkan, Islam itu sendiri dicabar, dan seterusnya, apa? Mahu Perdana Menteri itu, kristian sepertimu?

Adakah kerana dangkalnya pengetahuan dan rapuhnya iman menyebabkan lagu-lagu ini kekal dimainkan?

Benar engkau British. Benar-benar engkau menyusahkan. Kami engkau jajah, hasil bumi engkau nodai, dan pepecahan itu yang engkau tinggalkan.

Macam labu negaraku. Dibaiki oleh tikus-tikus kelaparan.

Sekali lagi, lelaki Melayu itu tersenyum. Rakyat perlu diajar, siapa musuh sebenarnya. Apa kunci-kunci untuk membuka kemelut yang melanda. 

Angin pilihanraya sudah bolah dirasai sejuknya. Dan sebuah Biro Politik baru telah ditubuhkan. Ada yang menafsir sebagai penghangat suasana. Tidak kurang juga yang kekal pesimis terhadap mereka. Tafsiran demi tafsiran.

Jujur. Mereka mahu membantu memandu rakyat membuat pilihan. Noktah utama, dakwah kepada masyarakat masih perlu diperkuat dan Islam perlu kekal ditempat tertinggi. Mengajar masyarakat bahawa undi itu bukan sekadar pangkahan pada kotak kosong sahaja. Benar-benar pilihanraya itu perlu dilihat daripada tingkap yang lebih luas. Agar kejelasan strukturnya dapat dilihat bersama. Kesan daripada pilihanraya sangat perlu dibaca sebaiknya. Jangan menang sabung tapi kampung tergadai.

Kedua-dua lelaki Arab itu kekal berbincang sehingga di tengah ibu kota. Mujur, penamatnya sentosa sahaja.

Lelaki Melayu itu pula, terus bergerak pulang ke destinasi. Tentunya, kerja masih banyak lagi.


6 comments:

Anonymous said...

Hebat penulisan sheikh....smoga bermanafaat utk semua

Nawfal Fathel said...

apabila berat itu anda ringankan, memang mantap. tapi rasanya anda sangat menahan. berat sikit pun tidak mengapa Ad.. :)

Unknown said...

minta ditambah keberatannya? seriuskah?

ansarullah said...

dan sorang lagi laki melayu sedang memasang earphone di telinganya... huhuh

Nawfal Fathel said...

ada perenggan yang saya rasa perlu dipanjangkan sedikit, ayat juga boleh dipanjangkan. baru seimbang.

(saya rasa lah)

Unknown said...

kependekan itu, adalah cubaan mengubah nada dalam tulisan, disamping mewujudkan perubahan pemikiran yang singkat.

namun ada benarnya, pendapat anda. boleh digunakan dalam penulisan seterusnya.

:)

Post a Comment