Saturday, March 8, 2014

Erti Menjadi Anak Malaysia





         Setelah 3 tahun merantau dan mengembara, benar-benar saya lupa akan perasaan nan indah menetap di bumi Malaysia. Saat kali pertama kaki memijaki semula bumi bertuah ini, mengalir satu perasaan yang tidak terucap. Satu rasa gembira yang penuh emosi meresapi urat saraf lantas membangkitkan roma.

            Kegembiraan ini lahir setelah rasa rindu yang memuncak. Rindu untuk menghirup nyamannya udara. Rindu untuk menikmati bintang-bintang pada dada langit Malaysia. Rindu mahu meramas tanah seperti waktu sebelumnya. Rindu mahu bermain sama kocakan air dan melihat layang-layang tu naik tinggi mengawan. 


 Beginikah perasaan Bilal r.a ketikamana rindunya terhadap Makkah yang begitu mengasyikkan hadir menyapa jiwa? Kerinduan itu sungguh mendalam. Hanya Saidina Bilal mahukan semalaman bermalam di Makkah bagi mengubati rindu yang ditanggung.

Kecintaan terhadap ibu pertiwi tidak pernah dinafikan oleh Islam. Perasaan dan emosi tersebut sangat diiktiraf. Cuma persoalannya adalah bagaimana bentuk kecintaan tersebut dizahirkan. Perkara yang lebih dititik beratkan adalah unsur dan ruh yang mendasarinya.

Sangat saya yakini bahawa, dengan berlesenkan ‘anak Malaysia’, manusia itu akan menerobos apa sahaja sempadan demi mencapai hasrat dan cita. Beralaskan status ‘anak Malaysia’, maka di atasnya diminta hidang pelbagai permintaan dan diucap perlbagai tuntutan. Sejenak berfikir, adakah semua ini suatu kesalahan dan telah melanggar sempadan kewarganegaraan? Bukankah mereka juga ‘anak Malaysia’? Bukankah semua ini dilakukan atas rasa sayang dan kerinduan yang ditanggung untuk melihat Malaysia berjaya?

Memimpin sebuah Negara seumpama Malaysia bukan sesuatu perkara yang mudah. Komposisi penduduk yang terdiri daripada 3 kaum utama iaitu Melayu, Cina, dan India ditambah dengan golongan minoriti yang lain telah membentuk satu suasana dan landskap sosial yang unik. Hal ini menuntut kepada seni kepimpinan tersendiri bagi mentadbir Negara ini dan yang lebih penting daripada itu, adalah usaha bagi memastikan Islam hidup di Malaysia, secara rujukan, perundangan, intitusi, dan pentadbiran. Tidak saya bercadang untuk mengupas aspek ini. Cukup kita lontarkan dan semoga Allah memberi kekuatan dalam penulisan seterusnya untuk sebarang perincian, Inshallah.



Namun yang lebih utama kini adalah memahami identiti Negara Malaysia. Kerana identiti ini yang akan mencorakkan perilaku anak Malaysia dan menentukan hala tuju Negara ini. Kegagalan memahami, menggenggam erat, dan menterjemah identiti ini dalam praktis kehidupan akan mengakibatkan haru-biru yang mahadahsyat.

Berbicara tentang identiti, kita akan terbang menerawang dek perbezaan sudut pandang terhadapnya. Di sini elok kita mulakan dengan cubaan sama-sama memegang tiang seri yang sama. Identiti ini perbicaraannya cukup meluas. Boleh mencakupi aspek sosial, bahasa, budaya, ideologi, pakaian, agama, dan sifat. Perbincangan dalam ini adalah lebih menjurus kepada identiti dengan erti kata nilai teras, pegangan, atau ideologi. Mungkin lebih mudah, akidah Negara Malaysia.

Tidak saya berhasrat untuk menyelak semula lembaran sejarah Malaysia yang terlalu tebal. Saya yakin, jika anda sendiri melakukannya bersama sumber primer dan pakar sejarah, konklusi yang akan diperolehi adalah Malaysia ini sebuah negara Islam dan sepatutnya kekal begitu. 

Proses asimilasi Malaysia atau Tanah Melayu atau lebih awal daripada itu adalah Kesultanan Melayu Melaka dengan Islam berlaku dengan begitu baik. Asimilasi ini berlaku dalam aspek kehidupan yang menyeluruh. Daripada pemerintahan, pentadbiran, hubungan diplomatik, undang-undang dan hukum kanun, akidah dan peribadatan, kesenian dan seni bina, adat resam dan budaya, sehingga pendidikan anak-anak. Dan ini memang lumrah tujuan dan kesan kedatangan Islam. Membebaskan manusia daripada kegelapan kehidupan kepada keterangan hidup berpandukan cahaya Allah SWT. Sebagaimana Islam pernah datang dan membawa kebenderangan cahaya tauhid di bumi Cordova, seperti itu juga berlaku di Malaysia ratusan tahun lalu. 

Ini adalah noktah emas daripada ratusan muka surat sejarah Malaysia yang sepatutnya setiap ganerasi anak Malaysia perlu iktiraf dan berpegang dengannya. Dan noktah ini telah membentuk identiti negara kita yang tersendiri, bebas daripada sebarang anasir luar dan kekal dalam keunikan keaslian keislamannya. 

Perbahasan seterusnya yang akan datang daripada kefahaman identiti ini adalah apa yang berlaku dalam negara kita tidak mencerminkan begitu. Islam itu terhalang oleh kerana umatnya sendiri. Tidak perlu kita memandang kepada sesiapa, mari cuba pandang kepada diri sendiri. Kegagalan kita sebagai seorang muslim, untuk berpegang dengan keislaman yang hakiki adalah satu penyakit kronik. Boleh jadi, kerana tindakan kita, manusia lain menjauhi Islam. Boleh jadi, kerana perbuatan kita, manusia lain semakin tidak faham tentang Islam. Dan boleh jadi juga, kita gagal mencerminkan kehidupan sebagai seorang muslim.

Jangan salah faham sekiranya saya mengutarakan masalah ini dengan irama yang sebegini. Bukan mahu menuduh secara membuta tuli, namun mahu diketengahkan satu punca masalah sebenar dan solusinya mesti bermula daripada situ.

Islam adalah sebuah agama yang agung dan didokong oleh manusia agung. Bukan bermaksud hanya orang baik-baik sahaja boleh masuk Islam, namun lebih kepada memahami, bagaimana risalah yang mulia ini mentransformasi manusia biasa menjadi seagung-agung manusia. Satu proses membentuk manusia lagenda.

Inilah lumrah Islam yang kita anuti dan sewajarnya kita berusaha agar perkara ini terlaksana. Proses membina semula sebuah negara yang merdeka, perlu bermula dengan mempersiapkan sebaik-baik manusia ( andai Malaysia belum merdeka, masih juga perlu dimulakan dengan membina manusia ). Manusia adalah asas sesebuah negara dan tamadun. Dan bukan itu sahaja, malah adalah pewaris kepimpinan dan peneraju masa hadapan. Kita sebenarnya menempah maut sekiranya alpa dalam proses pembentukan sumber manusia negara.

Jika hendak saya tulis, apa kayu ukur terbaik bagi seorang manusia, ia boleh menjadi satu perbahasan panjang. Cuma di sini, saya hanya akan cuba mengilustrasi dalam himpunan mudah kata-kata, bagaimana kayu ukur tersebut berdasarkan sirah Nabi Muhammad SAW dan sekalian para sahabat.

Proses pembentukan Nabi Muhammad SAW terhadap para sahabat, bermula dengan mengenali Allah, akidah, dan tauhid lalu menjadikan mereka negarawan terulung. Islam yang para sahabat anuti tidak menjadikan mereka terasing daripada dunia, bahkan mereka muncul, memimpin masyarakat, dan membangunkan tamadun dan peradabban.

Hasil daripada proses pembentukan ini, melahirkan negarawan terulung seperti Saidina Abu Bakr, Saidina Umar, Saidina Uthman, dan Saidina Ali. Juga melahirkan ganeral perang seperti Amr Bin Ash, Usamah Bin Zaid, Khalid al Walid, dan Saad Bin Abi Waqqas. Ada juga ulama besar seperti Ibnu Abbas, Ibnu Umar, dan Ibnu Masud. Kewujudan perawi hadith yang handal seperti Abu Hurairah dan Saidatina Aishah serta sekalian billionair seperti Abdulrahman Bin Auf dan Thalhah Bin Ubaidillah. 

Dan pembentukan manusia hebat ini tidak terhenti dengan kewafatan Nabi Muhammad SAW. Lahir selepas itu manusia hebat seperti Hassan Al Basri, Atha Bin Rabbah, Ibnu Mubarak, 4 Imam Mazhab yang utama, Ibnu Hajar, Ibnu Taimiyyah, Imam Ghazali, Nuruddin Al Zinki, Solahuddin Al Ayubi, dan Muhammad Al Fateh. Ini yang dimaksudkan dengan ‘Islam adalah agama yang agung dan akan terus didukung oleh manusia agung’.


Krisis yang ditimpa dunia adalah katandusan pemimpin sejati. Sejati dalam erti kata pekat keIslamannya dan mendasar serta praktikal dalam tindak-tanduk. Kerusi kepimpinan dunia akan kekal disandang manusia, silih berganti. Demikian lumrah mengajar kita. Cuma persoalan, siapa yang mengisi kekosongan tampuk tersebut. 

Semoga tulisan tangan yang tidak seberapa ini mampu membuka mata manusia, terutama Anak Malaysia untuk bertindak dan merubah. Mengapa tidak ruh perjuangan manusia seperti Tok janggut dan Dr. Burhanuddin Al Helmi itu kita bangkitkan kembali.

Salam hormat.

Sunday, December 22, 2013

Kebangkitan Islam : Satu Teori Lapuk atau Gagasan yang Kukuh?



( Bahagian 3 )       

          Alam yang luas terbentang, dari ufuk Timur sehingga ke Barat, menyimpan pelbagai khazanah dan rahsia. Khazanah yang apabila dioptimumkan, mampu menggoncangkan dunia. Bukanlah yang dimaksudkan dengan khazanah itu, galian atau tanaman yang pelbagai. Namun lebih menjurus kepada manusia dengan kepelbagaian potensi dan kemampuan yang menanti untuk diledakkan.

      Merujuk kembali kepada penulisan sebelum ini, benih ketaqwaan yang ditanam oleh nabi Muhammad S.A.W dalam nurani para sahabat telah membesar lalu berbuah. Dan umat manusia menikmati buah-buah manfaat tersebut. Sekalian sahabat menggunakan segala kelebihan dan kebaikan yang ada dalam diri, hanya semata-mata untuk kepentingan Islam.

         Demikian metodologi perubahan yang telah Arrasul tunjukkan. Dimulai dengan mengenal Allah yang Maha Agung dan memahami neraca mengukur kehidupan, lalu kesinambungannya diikuti dengan menyalurkan segala kemahiran demi meninggikan serta menyebarluaskan islam itu sendiri.      
      Noktah emas ini memberi satu rumusan bermakna buat kita. Bahawa sesungguhnya, sebagai seorang muslim, semboyan yang menyeru agar kita kembali kepada kehidupan Islam secara holistik tidak boleh diabaikan lagi. Dan memang tidak sepatutnya tidak diendahkan. 
 
     Manusia, sama ada muslim atau tidak, semuanya miliki kekuatan dan potensi. Nilai yang membezakan adalah, potensi itu diledakkan atas sebab apa. Kebaikkan dan potensi yang diledakkan oleh bukan Islam, tidak memberi sebarang makna maknawi. Allah tidak memandang kebaikan yang dilakukan dan boleh jadi, kebaikan itu tidak dilakukan sejajar dengan kemahuan Allah S.W.T. Sedangkan muslim pula, memiliki asas yang kukuh dan jelas, mengapa kita melakukan, dan kita mampu melakukan sejajar dengan kemahuan Allah S.W.T. Syahadah yang dijadikan sebagai rangka umum dalam kehidupan muslim adalah batu asas terbinanya pelbagai projek-projek Islami. 

        Maka dengan itu, muslim perlu memperbaharui sebab-sebab keIslamannnya. Ramai daripada kita, keislamannya dibentuk daripada lingkungan warisan keturunan. Memilki nasab yang muslim, maka secara automatik, dirinya adalah muslim. Perkara ini tidak pernah salah. Namun sekiranya tidak pernah berusaha memahami, mempelajari, dan berpegang dengan hakikat keIslaman tersebut, nah, di situ silapnya!

        Memahami hakikat dan pengaplikasian syahadah dalam kehidupan, memahami hakikat hakimiah ( autoriti perundangan ) adalah milik mutlak Allah, dan memahami fiqh seperti fiqh ibadat dan seterusnya sebagai satu tatacara kehidupan peribadi dan sosial  seorang muslim, adalah beberapa perkara asas yang perlu disegarkan kembali.



      Jika dilihat dalam konteks Malaysia, seakan-akan perkara ini terlalu besar dan mustahil, memandangkan rakyat Malaysia, masa dan tenaganya banyak dihabiskan untuk kerjaya dan sukar untuk menyertai kelas-kelas pengajian. Isunya adalah sibuk yang teramat sangat.

       Maka, di sini letaknya cabaran untuk Gerakan Islam mencipta solusi. Gerakan Islam perlu mencari jawapan kepada persoalan bagaimana perkara ini dapat diselesaikan. Sekiranya kita masih memandang, medium membantu manusia memahami Islam semata-mata dengan cara sedia ada – seperti kuliah maghrib dan sebagainya – maka sebenarnya kita telah menatijahkan amal Islami itu jauh ketinggalan ke belakang. 10 sehingga 20 tahun mungkin.

Seni mencipta projek dan produk Islami yang bersesuaian dengan masyarakat majmuk Malaysia adalah satu kemahiran yang sangat penting untuk dikuasai. Membayangkan akan lahir deretan filem yang apabila selesai ditontoni di GSC, menyebabkan muda mudi sudah tidak mahu bercouple lagi. Mengidamkan apabila Gerakan Islam menganjurkan ekspidisi mendaki Gunung Kinabalu atau Kejohanan Berbasikal Le Tour de Langkawi, jiwa akan bergelora untuk jihad dan mahu memperjuangkan Islam di bumi Malaysia ini. Kewujudan lebih banyak institusi yang dikelola oleh Gerakan Islam untuk menyantuni masyarakat adalah amat penting. Daripada hospital, pusat kemasyarakatan, kompleks sukan, pusat penerbitan akhbar, pusat perlancongan dan rekreasi, sehingga kepada institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti perlu diberi penekanan. 

Benar, ini adalah persoalan tentang cara dan bagaimana. Sangat penting bagi Gerakan Islam memastikan prinsip tidak tergadai dan matlamat tercapai.

Seterusnya, setelah muslim itu memperbaharui sebab-sebab keIslamannya dan memperbaiki pemahamannya terhadap Islam, sangat penting bagi dia untuk hidup dalam komuniti Islam yang besar dan menjadi sebahagian daripada masyarakat tersebut. Dia perlu bersama membantu masyarakat, mencipta kebaikan dalam komuniti, dan memimpin komuniti ke satu perlembahan yang lebih baik. Ini dikenali sebagai kemampuan menyebar luas keshalihan yang ada dalam diri kepada orang lain. Daripada keshalihan individu berkembang menjadi keshalihan kolektif.

Suasana ini menuntut, setiap muslim untuk bangkit dan memimpin masyarakat tempatnya, dan ini bukan satu perkara yang mustahil. Ramai yang menganggap ini sebagai tugasan mereka yang bergelar ustaz dan ustazah, alim ulama’. Jujur dikatakan, ini adalah satu salah faham yang mengakibatkan msyarakat semakin rosak.

Hal ini menuntut, setiap muslim berperanan di tempat masing-masing. Sekiranya dia adalah seorang Ketua Setiausaha Negara, maka perlu bagi dia memimpin jabatannya dengan penuh integriti dan wibawa. Setiap perkara yang digerakkan, perlu memberi keuntungan kepada Islam dan memberi hak selayaknya kepada bukan Islam berdasarkan peruntukan yang diberi.

Jika dia adalah seorang ketua kontraktor, dia akan memastikan, tender yang diamanahkan kepadanya, diselesaikan tanggungjawab itu sebaiknya. Tidak akan dia culas, menipu, tiris, dan memastikan rakyat mendapat perkhidmatan yang terbaik daripada usahanya.

Dengan satu kata kunci penting, keshalihan individu itu diterjemah menjadi keshalihan sosial.

Dan terakhir, muslim yang menyebar luas keshalihannya kepada orang lain perlu memastikan, sumbangannya dalam masyarakat Islam menghasilkan kejayaan optimum. Tidak boleh dia menjadi manusia yang mudah berpuas hati dengan pencapaiannya. Sentiasa perlu dia bergerak ke hadapan dan memerah keringat dengan bersungguh-sungguh demi mencapai hakikat sebenar ‘optimum’. Berehat dan berpuas hati, adalah permulaan kegagalan. 

Demikian 3 langkah peradaban yang dapat dipelajari daripada kehidupan Arrasul dan sekalian para sahabat. Dan langkah-langkah peradaban ini perlu kita terjemah dalam kehidupan.

Sebab itu dinyatakan, penting bagi umat Islam untuk bangkit semula dan kembali memimpin manusia. Kebangkitan umat Islam bukan satu mitos, dongengan, khayalan, apatah lagi tahyul-mahyul. Ia adalah hakikat, realiti, dan satu-satunya jalan kembali kepada umran yang gilang-gemilang. Umran yang mampu menjunjung tinggi agama Allah dan mentadbir dunia dengan agama tersebut. 

Manusia seperti Gautama Buddha dan John Locke tidak sepatutnya dibiarkan memimpin masyarakat dunia. Ideologi mereka perlu dibendung dan muslim perlu bangkit untuk mengambil kembali tampuk kepimpinan dunia. Persoalan pertembungan ini akan kita kupas dalam penulisan seterusnya, Inshallah.

Mari bangkit bersama.

Monday, December 9, 2013

Kebangkitan Islam : Satu Teori Lapuk atau Gagasan yang Kukuh?



( Bahagian 2 )                

               Selamat sejahtera kepada sekalian pembaca. Semoga rahmat Allah, Tuhan yang Maha Mulia sentiasa menaungi kita. Dan semoga, setiap detik yang telah berlalu, akan semakin mendekatkan kita kepada sorga pada hari esoknya.

                Kesibukan adalah sebahagian daripada kehidupan. Alhamdulillah, Allah beri kekuatan kepada saya untuk menulis dalam sela waktu sibuk yang ada dalam minggu ini.

                Telah terlalu ramai cendekiawan membahaskan tentang agama Islam. Kawan, mahupun lawan. Daripada asasnya sehinggalah setiap cabang ranting agama ini. Antara noktah berharga yang kekal membezakan antara Islam dan yang selainnya adalah kejayaan proses transformasi ahli yang berlaku. Daripada kehinaan, diangkat ke puncak kemuliaan, daripada kebuntuan nilai hidup, disuluhi dengan terangnya syariat, dan daripada penjara perhambaan, dibebaskan dengan keluasan lapangan kasih sayang Tuhan.

                Proses agung ini telah dirakam dengan sebaiknya dalam lipatan sejarah peradaban Islam. Islam telah mentransformasi sekalian para sahabat menjadi manusia mulia. Ditengah-tengah kepadatan kekufuran dalam kehidupan, Kota Suci Makkah menyaksikan barisan awal yang menyahut obor keimanan ini. 

                Dan permulaan, sebelum menyahut obor keimanan, sekalian mereka adalah sama seperti masyarakat Makkah yang lain. Hidup dalam kekufuran. Rahmat Allah dan kemahuan mereka menerima obor ini telah mengubah segalanya.

                Sejujurnya, kita ini sepatutnya mencemburui mereka iaitu sekalian para sahabat. Hal ini kerana, mereka Allah pilih sebagai manusia yang merasai dua alam dan menikmati proses perpindahan alam itu. Mereka merasai kekufuran dan menemui nikmat iman lantas memilih untuk berpegang dengan obor iman tersebut. Mereka merasai saat hati kecil manusia itu diketuk dengan paluan rabbani Illahi. Mereka merasai saat manis itu. Mereka tahu perasaan gembira mengenal Allah yang  Maha Esa. Mereka merasai keperitan meninggalkan tabiat lama dan kebiasaan kekufuran lantas menuju ke perlembahan kehidupan yang baru.

                Jika hendak dibandingkan dengan kita, ganerasi yang sudah sedia Islam, amat jauh bezanya. Lahir-lahir sahaja, sudah kita ini dikatakan muslim. Sehingga kita besar panjang, masih juga muslim. Barangkali, ada dalam kalangan kita yang tidak pernah mencari erti kemusliman dan keislaman yang dianuti. Tidak benar-benar mengetahui prinsip hidup muslim sejati. Kita mendapat keislaman secara ‘given’, bukan dengan ‘struggle’ mencari.

                Demikian jauhnya dua ganerasi ini.

                Bukanlah tulisan ini bermaksud, kita ini bukan muslim. Apatah lagi mengatakan, kita perlu kembali kepada kekafiran sebentar, bagi menikmati kepuasan beriman. Hal ini jauh sekali. 

                Namun, yang ingin ditekankan adalah, kita perlu mencari, erti keislaman yang dianuti. Perlu untuk kita bertanya kepada diri sendiri, benarkah keislamanku ini? Benarkah daku mengamalkan Islam sebagai satu praktis hidup? Para sahabat telah mendapat jawapan kepada masalah ini dan hasilnya, mengagumkan. Hasil yang dimaksudkan di sini bukanlah semata-mata bungaan di awangan perasaan indah beriman, namun menghasilkan gerakan yang padu dan jitu.

                Mereka menjadi barisan manusia yang raksasa otaknya. Kecintaan yang mendalam terhadap Islam, mendorong mereka melakukan perkara terbaik deminya. Inilah realiti agama suci ini. Keimanan yang membawa amal. Kecintaan yang melahirkan pemimpin. Kehambaan yang membentuk arkitek dan jurubina sebuah tamadun.

                Konsep sebegini yang menjadikan Islam kekal utuh untuk satu tempoh yang amat panjang. Utuh bukan semata-mata kerana hebatnya binaan atau majunya teknologi, namun kerana kejayaan proses pengupayaan sumber insan yang sekian lama dijalankan. Islam berjaya melahirkan pemimpin berkaliber.

                Manusia secara semula jadi memiliki beberapa perkara asasi seperti cekal, berani, dan sopan. Lalu kedatangan Islam, adalah untuk memberikan nilai hebat terhadap perkara-perkara tersebut. Kecekalan, keberanian, dan kesopanan, semuanya dihalakan untuk Islam. Inilah yang dimaksudkan dengan Islam datang dan mengangkat kemuliaan manusia berserta segala sifat semulajadinya agar berjalan dan diurus sejajar dengan kehendak Allah SWT.

                Kita ambil satu contoh mudah. Kebolehan setiap para sahabat berbeza. Daripada hebat dalam politik dan pentadbiran, sehinggalah kepada kemampuan menghafal ribuan hadis. Kehebatan Islam adalah tidak ada satu pun kebolehan manusiawi ini, disia-siakan apatah lagi dipinggirkan. 

                Kebolehan peribadi ini ibarat anak-anak sungai kecil, mengalir ke arah satu sungai utama yang besar, lalu apabila berlaku integrasi yang baik, lantas membentuk sebuah peradaban dan tamadun yang gemilang. Maka lahirlah tamadun Umayyah, Abassiah, sehingga Uthmaniah. Semuanya bermula daripada pembentukan seorang muslim, diteruskan dengan meningkatkan keupayaan setiap muslim muslim itu lantas menjadi pemimpin, dan setiap manusia itu perlu diintegrasikan.

                Atas premis asas ini, setiap muslim sejujurnya, perlu kembali kepada kehidupan Islam dan bangkit dengannya. Inshallah, kita akan perhalusi noktah ini dalam penulisan seterusnya. Selamat beramal.