Siri Membentuk Diri
001
Berterabur dunia tanpa pemimpin.
Ini satu hakikat yang dipegang ramai manusia. Manusia yang hidup bersama dalam
satu komuniti amat memerlukan nilai kepimpinan terbaik bagi memandu, membina,
dan membangun tamadun gemilang.
Namun,
dunia hari ini masih berterabur. Tidak keterlaluan jika dikatakan terlalu
serabut. Ini juga satu hakikat hari ini. Lalu, di mana silapnya?
Apakah ukuran nilai kepimpinan
tulen? Kepetahan bercakapnya atau segak bergaya di atas pentas dan dihadapan
manusia? Atau mungkin strategi yang hebat serta perancangan yang teliti dalam
pembangunan?
Benar, semua ini benar. Sebahagian
unsur yang membina nilai-nilai kepimpinan itulah. Cuma masih tidak lengkap.
Kerana unsur yang membina seorang insan itu sendiri sangat holistik. Dan unsur
kerohanian, adalah permata yang sering kita abaikan.
Akan kita cuba memimpin hati berdasarkan
nilai-nilai daripada hadis ini. Ayuh. Kerana kita adalah pemimpin, kan?
عن
ابي يعلى شداد ابن اوس رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :
الكَيِّسُ
مَنْ دَانَ نَفْسَهُ ، وَعَمِلَ لِمَا بعدَ المَوتِ ، والعَاجِزُ مَنْ أتْبَعَ
نَفْسَهُ هَواهَا وَتَمنَّى عَلَى الله
(رواه
الترميذي)
Dari Abi Ya’la Syaddad bin Aus ra. berkata, Rasulullah
Saw bersabda: Orang yang cerdas itu adalah orang yang mengendalikan dirinya, dan mengerjakan untuk kehidupan setelah kematian.
Dan yang lemah itu adalah orang yang mengikuti dirinya dan berandai-andai kepada
Allah.
(HR Tarmidzi)
*hadis ini disahihkan oleh Imam As-Suyuthi dalam Al-Jami’ush Shaghir
(6468).
Apabila meneliti
hadis ini dengan matlamat iaitu mahu membangun potensi kepimpinan, akan kita
dapati bahawa seorang pemimpin yang cerdas dan berkarisma itu adalah mereka
yang mampu memimpin diri sendiri terlebih dahulu. Mungkin paling kurang terus
berusaha memimpin diri.
Dirinya akan dipenuhi
dengan nilaian positif seperti tekad yang kuat, memanfaatkan setiap ruang,
peluang, dan lorong yang kosong bagi mengoptimumkan momentum kehidupan dan
tidak bermewah-mewah dalam perkara seperti masa, duit, dan usia. Ini adalah
keperibadian pemimpin yang Rasulullah S.A.W dambakan daripada kalangan umatnya.
Demikian secara ringkas.
Dengan menjadikan
hadis ini sebagai paksi perbincangan, terdapat bebarapa unsur amali daripadanya
:
1 1. Menanam dan membangun nilai-nilai rohani
‘Orang yang cerdas itu adalah orang yang
mengendalikan dirinya’
Memahami potongan ini, seharusnya sebagai pemimpin,
sangat perlu kita melakukan muhasabah terhadap diri sendiri. Muhasabah sama ada
sebelum, semasa, dan selepas sesuatu tindakan dilakukan.
Aspek seperti keikhlasan, menjustifikasi semula niat,
dan menjitukan matlamat adalah perkara yang mudah kita abaikan. Walhal,
kepentingannya tiada tandingan. Perlu sentiasa pemimpin merenung, apakah faktor
pendorong urusan itu dilaksanakan, memikirkan kesan yang akan menimpa dan
adakah perlu dilakukan pada masa itu atau ketika masa lain? Benar, ini
persoalan tentang prioriti.
Kerangka pandang seorang pemimpin selalunya perlu
luas dan mengufuk. Dan dalam masa yang sama, perlu sentiasa hadir dalam realiti
dan berada di bumi. Sepanjang tempoh pemimpin itu hidup, hak-hak Allah yang
manakah telah diabaikan, dan hak-hak manusia yang manakah telah dilanggar. Hal ini
sangat perlu diperhalusi.
Seorang pemimpin juga perlu tahu, apa perkara yang
perlu dilaksanakan dan apa yang perlu ditinggalkan. Menjauhi kemaksiatan, sama
ada besar atau kecil, dan tidak berlebihan dalam perkara harus seperti berehat,
makan, berbelanja dan sebagainya adalah amat penting. Jika dia larut dalam
urusan sebegini, mana mungkin manusia itu mampu dia pimpin. Dan dalam masa yang
sama, dia masih perlu kekal sebagai seorang manusia.
gambar hiasan |
2. Memimpin Berorientasikan Akhirat
‘Dan beramal untuk kehidupan
selepas kematiannya’
Kepimpinan yang cemerlang adalah apabila sentiasa
mengorbit mengelilingi noktah akhirat. Demikian keunikan kepimpinan dalam
Islam. Sentiasa pemimpinnya meyakini dalam setiap tindakan bahawa akhirat itu
pasti. Maka, seluruh tindakan yang dilakukan akan dipertanggungjawabkan.
Sesudah itu, akan si pemimpin tersebut benar-benar menjaga adab-adab kepimpinan
agar diterima Allah amalannya.
Sentiasa dia memimpin dengan mematuhi panduan syara’
baik dalam percakapan, tindakan, mahupun perancangan. Dan seerah Rasulullah SAW
serta sekalian sahabat dan tabieen dijadikan titik kembali kepada sebarang
analisis praktis. Boleh sahaja mahu terus menggali contoh kontemporari atau
peristawa terkini untuk dijadikan rujukan, namun sumber-sumber Islam masih
diutamakan.
Dan pemimpin juga menyedari hakikat bahawa taufik
daripada Allah adalah segala-galanya. Berjayanya kepimpinan adalah kerana hadir
taufik daripada Allah dan sekiranya gagal, adalah kerana syarat-syarat untuk
taufik hadir tidak mencukupi. Maka disedari bahawa amat penting untuk memenuhi
syarat-syarat turunnya taufik daripada Allah.
3. Ciri-ciri pemimpin dengan kecerdasan rohani
Pemimpin yang memiliki
kecerdasan rohani ini, memiliki beberapa ciri-ciri persamaan antara mereka.
Tentu sahaja, ciri-ciri persamaan tersebut menjadi noktah pembeza dengan
pemimpin lain.
Sentiasa pemimpin yang cerdas
rohaninya, mereka memandang bahwa sesungguhnya ruang beramal dan memimpin
terlalu luas. Tiada bumi yang mampu membatasi dan tiada siksaan yang mampu
menghalang denyut nadi pergerakan mereka. Tekad yang membara dan jiwa yang
hidup itu akan terus merangsang minda agar terus beroperasi membuahkan hasil
idea-idea baru menuntut tindakan tersusun.
Atas sebab itu Amru Al Ash
sanggup memimpin tenteranya berkelana jauh ke Utara Afrika bagi membuka negara
Mesir. Tidak henti-henti Sultan Muhammad Al Fatih berusaha membebaskan
Konstantinopel hatta kemenangan diraih Islam. Terlintas diminda, adakah kita
selaku pemimpin hari ini, terlalu kecil cita-cita atau terlalu mudah membatasi
diri untuk mencapai sesuatu yang baru? Atau, adakah ini yang dipanggil sebagai
hidup dalam dunia nyata?
Antara ciri-ciri lain adalah pemimpin
tersebut akan melakukan tindakan, amal kebaikan, atau projek yang bersifat
perintis. Benar, mereka sentiasa akan memulakan sesuatu yang baru. Sentiasa kerangka
fikir dan dimensi pemerhatiannya berbeza daripada kebanyakkan manusia lantas
lahirlah idea-idea baru. Dan tentu sekali, idea-idea baru itu berpaksikan
nilaian Islam yang hakiki.
Seterusnya, juga ciri-ciri
yang wajar kita contohi adalah mereka sentiasa menjaga kelestarian tindakan
yang dilakukan. Projek yang dilakukan bukan kata-kata kosong atau merapu malah
bertepatan dengan keperluan insan. Lalu projek-projek itu dilaksanakan secara
berterusan.
Semua manusia boleh
menjadi pemimpin dan menjadi pemimpin tidak bererti perlu kepada posisi atau
kedudukan. Namun, hanya pemimpin yang cerdas rohaninya mampu menghasilkan tauladan epik. Selamat berkerja.