Thursday, November 28, 2013

Kebangkitan Islam : Satu Teori Lapuk atau Gagasan yang Kukuh?




( Bahagian 1 )

   Mengapakah manusia diciptakan? Mencari jawapan kepada sebab wujud adalah sebuah kembara yang agung malah terulung. Mengapakah begitu teragung dan terulung? Tiadakah perkara lain yang lebih hebat daripada kembara ini?

    Kembara ini tidak semata-mata bermula apabila proses persenyawaan antara setitis air dengan telur itu berlaku, malah perbincangannya akan berpatah balik kepada sesuatu yang lebih fundamental. Rabb al Muhyi dan al Mumit itu menggariskan, jin dan manusia diciptakan agar menjadi sebuah entiti yang menghambakan diri mereka kepada Dia semata-mata. Tiada yang kedua apatah lagi yang ketiga. Ini adalah sebuah proses yang amat panjang.

   Entiti ini dicipta dan dunia menjadi gelanggang atau medium untuk proses ini mengambil tempat. Namun, di sini paradoksikal itu berlaku. Dunia sarat dengan pelbagai kewujudan yang menjauhkan manusia daripada melaksanakan proses panjang tersebut. Natijah daripada paradoksikal ini, menyebabkan manusia mengatakan bahawa dunia sungguh kejam. Dan lebih parah, apabila turut mengatakan bahawa Rabb al Khaliq juga kejam terhadap entiti ciptaannya.

   Bagaimana dunia boleh menjadi begitu kejam? Apabila akal dangkal manusia menafsirkan, segala ciptaan dalam dunia, tidak membawa kepada terlaksananya tujuan tersebut. Manusia tidak merasakan, dirinya semakin menjadi hamba apabila tempoh hayat di dunia semakin bertambah. Segala sesuatu ciptaan yang ada, seakan-akan senada dan seirama membawa manusia semakin jauh daripada erti hidup menjadi hamba Allah. sedangkan, bukan begitu sepatutnya.

  Berbalik kepada kembara tersebut, memang menjadi tabiat menusia secara keseluruhannya, mencari hakikat kejadian. Tanpa mengira sebarang batas masa, tempat, warna kulit, status sosial, dan pegangan politiknya, makhluk homosepiens ini akan terus mengkaji dan menelaah, apakah erti penciptaan dirinya. Perdebatan besar terhadap kembara ini adalah bagaimana metodologi pencarian dan kajian tersebut dilakukan. Apakah asas dalam kembara itu? Dan sejauh mana asas yang diambil benar-benar kukuh.

  Dalam sejarah dan tamadun manusiawi yang panjang, pelbagai manusia telah mengorak langkah menyertai kembara ini. Tentunya, kembara mereka berasingan. Dahulukala, sewaktu manusia masih hidup berteraskan sistem kasta ( sekarang juga mungkin masih lagi ), Putera Siddhartha atau Gautama Buddha yang hidup dalam kemewahan istana, tidak tahan dengan keadaan tersebut, malah merasakan tidak puas hati. Menjenguk daripada tingkap istana, kelihatan rakyat miskin tersadai di jalanan, menanti hari tanpa sebarang pengharapan. Orang kaya juga kegelisahan. Hidup mereka dihantui curiga, gelisah, tidak puas, murung, dan kematian. Melihat keadaan ini, Siddhartha berfikir, keadaan mesti diubah. Hidup perlu diberi makna kehidupan yang sebenar dan bukan kesementaraan kesenangan yang dibayangi penderitaan dan kematian.

  Maka berkelanalah Si Siddhartha ini, mencari hakikat sebuah kehidupan. Meninggalkan segala keluarga, harta, dan kemewahan yang disifatkannya sebagai fana’, lalu memperhambakan diri mencari kebenaran sejati. Setelah episod kembaranya ini membawa kepada terungkainya persoalan rumit itu, dia menamakan dirinya Buddha ( orang yang diberi petunjuk ). Buddha mencipta formula asas ajarannya yang dikenali sebagai ‘4 Kebajikan Kebenaran’. Seterusnya berkembanglah ajaran ini sehingga zaman kita kini.

                Demikian kisah Si Siddhartha. Mari kita lihat, sesuatu yang lebih kontemporari pula.

John Locke




   John Locke ( 1632 – 1704 ) ialah ahli falsafah Inggeris yang terkenal. Beliau adalah orang yang pertama menulis dalam bentuk kaitan yang lebih logik mengenai asas-asas idea demokrasi berperlembagaan. Titik perubahan hidup graduan Universiti Oxford ini berlaku apabila beliau berkenalan dengan Earl of Shaftesbury. Shaftesbury adalah jurucakap idea politik liberal, dan pernah dipenjarakan pada 1682 oleh Raja Charles ke 2 kerana aktiviti politiknya. Kematian Shaftesbury pada tahun berikutnya di Belanda amat meragukan Locke.

   Buku yang mempopularkannya seperti An Essay Concerning Human Understanding ( 1690 ), membincangkan tentang asal-usul, semula jadi, dan had pengetahuan manusia. Pandangan Locke yang bersifat empirikal ini sangat dipengaruhi oleh Francis Bacon dan Rene Descartes. Dalam A Letter Concerning Toleration ( 1689 ), Locke dengan tegas menyatakan bahawa sebuah negeri tidak harus diganggu dengan amalan beragama secara bebas. Locke bukan orang pertama yang mencadangkan toleransi beragama atau pluralisma beragama ( adakah agama lain tidak berhak diamalkan dalam sebuah wilayah Islam? Adakah Islam menolak praktis agama lain? Inshallah, topik ini akan dikupas dalam penulisan yang lain ).

   Idea Locke sangat mempengaruhi Thomas Jefferson dan Revolusi Amerika. Ideanya juga menyusup masuk  ke tanah besar Eropah ( terutamanya Perancis ) dan berperanan dalam Revolusi Perancis serta Deklarasi Perancis terhadap Hak Asasi Manusia.

Sekadar gambar hiasan


    Berlalunya masa, ajaran Buddha serta idea falsafah Locke ini berkembang dan melalui proses evolusi yang menakjubkan. Terjemahan dan pemahaman demokrasi yang pelbagai telah wujud. Daripada yang mempercayainya dalam konteks politik semata-mata sehingga yang mengakui bahawa demokrasi perlu hidup dan mendarah daging dalam kehidupan manusia.

   Kemahuan semulajadi manusia yang mahukan penambahbaikan dalam setiap perkara dan menyesuaikan sesuatu dengan diri mereka adalah antara faktor asas yang mendorong kepada tercetus dan berevolusinya ajaran serta falsafah ini. Cuma malangnya, kemahuan semulajadi itu digembleng dalam skala makro untuk sesuatu yang tidak berbaloi. Mereka bersusah-payah cuba mengkaji, apakah demokrasi yang dipegang cukup baik, atau bagaimana seharusnya. Malangnya, mereka menafikan sifat semulajadi manusia yang lain iaitu, manusia memerlukan atau berkehendak kepada Pencipta. Manusia perlu hidup berTuhan. Dan Tuhan di sini secara spesifik adalah Allah SWT. Tiada yang kedua, apatah  lagi yang ketiga. Jika tidak, segala usaha hanya ibarat mencari sungai yang tiada berhulu.

    Islam datang dan mengangkat kemuliaan manusia berserta segala sifat semulajadinya agar berjalan dan diurus sejajar dengan kehendak Allah SWT. Kita akan mengupas bagaimana perkara tersebut telah berlaku dalam penulisan akan datang, Inshallah. 

   Sekian.

1 comments:

Asyraf Farique said...

Falsafah locke telah membatasi kerangka fikir manusia hanya sekadar minda sedar yang bebas. Menolak keterikatan wahyu, dalam cara fikir.

Menarik! Mahu melihat lebih lanjut hubungan antara falsafah dan tujuan hidup manusia dalam siri-siri akan datang.

Post a Comment