Saturday, January 19, 2013

Lelaki Melayu Itu



Hendak dilelapkan mata, tidak mampu. Sungguh-sungguh tidak mampu. Terhuyung hayang ke kiri dan kanan, menambah mual lelaki Melayu itu.

Bersembang dengan rakan-rakan pada malam sebelumnya di sebuah kedai makan yang jauh dari sesak metropolitan kota 1000 Menara benar-benar memakan tenaga. Masih terasa ditekak enak makanan laut itu.

Perlahan-lahan, lelaki Melayu itu cuba mendengar, apa isu yang dibisingkan dua lelaki di hadapan.

'Aku sudah kata, kaum Yahudi adalah yang terbaik di dunia' [selepas diterjemah daripada bahasa Arab pasar, ini terjemahan terdekat]

Lelaki Melayu itu memasang lagi telinganya.

'Kalau Yahudi perintah kita, tak ada masalah-masalah semua ini!' nada kali ini, separa berteriak.

Terus lelaki Melayu itu, menurunkan penutup kepala baju sejuknya. Mahu dia mengamati lebih teliti. Benar, gayanya seperti Ethan Hunt dalam Ghost Protocol. Tentu sahaja bergaya.

'Kau lihat masalah sampah Negara kita, pernah selesai? Harga barang selama ini makin naik, ada kau rasa? Itu haa, kedai-kedai makan tepi jalan raya [sambil menunjuk ke arah beberapa kedai makan usang dan pemuda-pemuda di dalamnya] tak ada kelas langsung!' semakin tinggi nada Arab berkot hitam ini.

'Lalu kau sangka, Morsi itu mampu bawa kebaikan untuk kita? Aku bersumpah dengan nama Allah, dia tidak layak menadbir kita. Dia dan juga kawan-kawan Ikhwannya. Lebih rela aku memilih Yahudi. Mereka menjanjikan pembangunan.'

Perlahan lelaki Melayu itu tersenyum. Matanya masih rapat tertutup. [mahu kekal stylo]

'Kau yakin dengan apa kau sebut itu? Adakah benar-benar keluar daripada kewarasanmu?' sopan dan bersahaja, lelaki yang sudah separuh abad usia dan berkopiah itu membalas.

Sebelum perjalanan bermula, lelaki Melayu itu sempat memerhati, di mana kedudukan setiap penumpang dalam kenderaan ini. Berserta pakaian-pakaian mereka tentunya. Memang ini minatnya. Memerhati.

Terus lelaki berkopiah itu menjelaskan, bagaimana pembangunan yang dibawa oleh Rasul penutup sekalian rasul itu. Tentang proses pembinaan diri. Tentang isu ketundukan menjadi hamba Ilahi. Dan tentang sifat pembangunan yang merupakan perkara mendatang dalam proses itu. Bukan matlamat. Dan lelaki berkopiah itu terus membandingkan, untuk apa sebarang bentuk kemajuan jika redha arRahman tidak kita capai? Dan adakah Islam itu tidak membawa apa-apa selain kemunduran? Benarkah kemunduran itu sebahagian daripada Islam?

Lelaki Melayu itu kekal tersenyum. Dan matanya, masih seperti tadi.

Lalu memori lelaki Melayu itu laju kembali ke Tanah Tumpah darahnya. Terbayang dia akan apa yang sedang berlaku. Ya, isinya mirip kata-kata lelaki berkot hitam ini. Rakyat sudah muak dengan korupsi yang berlaku. Sudah meluat dengan muka-muka yang memerintah Ibu Pertiwi ini. Dan rakyat dijanjikan, dengan pelbagai kemajuan dan tuntutan-tuntutan yang akan dipenuhi oleh pihak pembangkang.

'Pilih kami, saman ekor kami hapuskan!' gemuruh hadirin berteriak.

'Pilih kami, pendidikan percuma kami beri!' semakin gemuruh Suasana. Sehingga ada yang terbangun-bangun.

'Pilih kami, kesamarataan kami beri dan mereka itu tidak akan memerintah lagi!'. 

Berdiri. Seluruh hadirin berdiri menyambut ucapan semangat itu. Tepukan gemuruh kedengaran. Benar-benar gemuruh dan panjang. Tepukan kepuasan yang penuh dengan kebencian dan dendam.

Daripada mata lelaki Melayu yang tertutup itu, perlahan mengalir air pilu. Sedikit, namun cukup hangat.

Benar, pemerintahnya tidak cukup baik. Tidak cukup sempurna. Dan mungkin juga, tidak layak sebenarnya. 55 tahun. Ya, selama ini mereka memerintah.

Dan yang mahu menggantikannya? Sarat dengan pelbagai konspirasi dan muslihat. Kesamarataan menjadi tujuan dan dengan pembangunan dan ketelusan pentadbiran rakyat ini dijanjikan.

'Matlamat tertinggi dalam Islam adalah keadilan. Biar pun siapa yang mendokongnya,' begitu bahaya bicara pemimpin de facto pembangkang ini.

Bersilih ganti lagu yang dimainkan, namun iramanya tetap sama. Penukaran status pada kad pengenalan, kalimah Allah dipermainkan, Islam itu sendiri dicabar, dan seterusnya, apa? Mahu Perdana Menteri itu, kristian sepertimu?

Adakah kerana dangkalnya pengetahuan dan rapuhnya iman menyebabkan lagu-lagu ini kekal dimainkan?

Benar engkau British. Benar-benar engkau menyusahkan. Kami engkau jajah, hasil bumi engkau nodai, dan pepecahan itu yang engkau tinggalkan.

Macam labu negaraku. Dibaiki oleh tikus-tikus kelaparan.

Sekali lagi, lelaki Melayu itu tersenyum. Rakyat perlu diajar, siapa musuh sebenarnya. Apa kunci-kunci untuk membuka kemelut yang melanda. 

Angin pilihanraya sudah bolah dirasai sejuknya. Dan sebuah Biro Politik baru telah ditubuhkan. Ada yang menafsir sebagai penghangat suasana. Tidak kurang juga yang kekal pesimis terhadap mereka. Tafsiran demi tafsiran.

Jujur. Mereka mahu membantu memandu rakyat membuat pilihan. Noktah utama, dakwah kepada masyarakat masih perlu diperkuat dan Islam perlu kekal ditempat tertinggi. Mengajar masyarakat bahawa undi itu bukan sekadar pangkahan pada kotak kosong sahaja. Benar-benar pilihanraya itu perlu dilihat daripada tingkap yang lebih luas. Agar kejelasan strukturnya dapat dilihat bersama. Kesan daripada pilihanraya sangat perlu dibaca sebaiknya. Jangan menang sabung tapi kampung tergadai.

Kedua-dua lelaki Arab itu kekal berbincang sehingga di tengah ibu kota. Mujur, penamatnya sentosa sahaja.

Lelaki Melayu itu pula, terus bergerak pulang ke destinasi. Tentunya, kerja masih banyak lagi.


Thursday, January 17, 2013

Pintu Taubat dan Marijuana Dunia



Masih terbukakah pintu taubat?
                      
Kesugulan adalah satu titik dalam kehidupan yang mahu dielakkan. Mengapa mahu memilih kemurungan sedangkan kegembiraan itu ada? Mengapa perlu kepada yang hitam sedangkan putih itu wujud? Untuk apa bersedih-sedih padahal kegembiraan itu lebih berharga?
                     

Dan dalam masa yang sama, manusia itu gemar memilih jalan singkat. Jika dibentangkan 2 jalan untuk ke destinasi yang sama, satu sifatnya ringkas dan pendek serta yang lain itu rumit, panjang, malahan kompleks, maka mana satu akan jadi pilihan? Memang lumrah, tidak ramai yang sanggup untuk bersusah dahulu dan bersenang kemudian
          

 Lalu, apa kaitannya kesugulan itu dengan jalan singkat ini? 
                      

Marijuana dan amfetamin.
                       

Kesanggupan untuk hidup dalam kepalsuan dunia menjadi pilihan asalkan kesugulan itu dapat dielakkan. Memang ada yang sentiasa memilih untuk hidup dengan halusinasi dan jauh daripada realiti. Dan keadaan yang lebih menyayat hati, apabila diri tidak sedar sedang
dihalusinasikan. Dicandukan dengan gula-gula dunia. Enak, gembira, dan berlelucon
sentiasa.
                      
 Seperti anjing bertemu pasir.

Dunia yang serba palsu itu tadi, dengan mudahnya membuatkan kita lupa. Juga alpa. Walaupun usia ini sebenarnya tidak tua mana. Pemuda itu akan lupa dan alpa, akhirnya dia mahu ke mana? Apabila habis marijuana dan amfetamin itu, apa seterusnya? Sesudah hilang enaknya gula-gula dunia, mahu buat apa?

Selepas halusinasi itu apa?

Hidup dalam halusinasi palsu memang tiada akhirnya. Dunia bukan tempat untuk mendapatkan puncak kenikmatan. Itu limbo. 

Boleh jadi, kita ini tidak pernah jumpa marijuana mahupun amfetamin itu. Sentuh apatah lagi. Lantas dengan senyum bangga menyatakan diri tidak pernah dalam kerugian. Merasa selamat dan selesa dengan keadaan yang sedia ada.
 
Jangan terus memperbodohkan diri sendiri.

Bagus juga jika kita mampu buat statistik atau catatan, akan apa yang telah dilakukan sebenarnya. Cuba kita bandingkan sendiri, antara jumlah game yang kita main, duit yang dibazirkan, masa yang kita buang, kemalasan yang kita jadikan kawan, dengan Quran yang dibaca, solat yang dilaksana, dan potensi diri yang dibiar sia-sia. Perbandingan ini mampu membantu menentukan adakah kita sedang hidup dalam halusinasi dunia.
 
Lalu, adakah aku tercela?

Rahmat Allah tidak pernah putus untuk hamba-hambanya. Sentiasa Dia itu memerhati dan akan dengan senang gembira mendengar rintihan dan memperkenankan doa kudus kita. Pintu taubat belum ditutup lagi.
 
Merasa selesa dengan keadaan ini, juga satu masalah. Menyangka hidayah Allah itu ada, namun belum pernah cuba mendapatkannya. Jangan jadi manusia yang lupakan arRahman. 


والذين جهدوا فينا لنهدينهم سبلنا و إن الله لمع المحسنين
Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. 
(al Ankabut : 69)

Tidak pernah Allah mengharapkan yang bukan-bukan. Hanya Dia mahukan, benar-benar kita ini menjadi pemuda beriman. Persetankan kedudukan dunia, ketepikan jumlah harta, kerana kelak yang akan dilihat adalah hati-hati kita.

Ubah orientasi hidup.

Ini satu tuntutan. Jangan pernah malu untuk bertaubat. Usah segan untuk berubah. Jangan malu-malu untuk ikut usrah. Mulakan dengan meninggalkan perkara keburukan. Bunuh kemahuan untuk membazir masa. Kemudian, mula berjinak-jinak dengan al Quran, solat, dan aktiviti-aktiviti yang benar-benar mampu membina kita. Pasak dalam-dalam tujuan hidup, supaya hidup sungguh-sungguh terpandu.

Benar, pintu taubat masih terbuka. Cuma yang tinggal adakah kita benar-benar mahu meninggalkan marijuana dunia untuk memasukinya.