Sunday, December 22, 2013

Kebangkitan Islam : Satu Teori Lapuk atau Gagasan yang Kukuh?



( Bahagian 3 )       

          Alam yang luas terbentang, dari ufuk Timur sehingga ke Barat, menyimpan pelbagai khazanah dan rahsia. Khazanah yang apabila dioptimumkan, mampu menggoncangkan dunia. Bukanlah yang dimaksudkan dengan khazanah itu, galian atau tanaman yang pelbagai. Namun lebih menjurus kepada manusia dengan kepelbagaian potensi dan kemampuan yang menanti untuk diledakkan.

      Merujuk kembali kepada penulisan sebelum ini, benih ketaqwaan yang ditanam oleh nabi Muhammad S.A.W dalam nurani para sahabat telah membesar lalu berbuah. Dan umat manusia menikmati buah-buah manfaat tersebut. Sekalian sahabat menggunakan segala kelebihan dan kebaikan yang ada dalam diri, hanya semata-mata untuk kepentingan Islam.

         Demikian metodologi perubahan yang telah Arrasul tunjukkan. Dimulai dengan mengenal Allah yang Maha Agung dan memahami neraca mengukur kehidupan, lalu kesinambungannya diikuti dengan menyalurkan segala kemahiran demi meninggikan serta menyebarluaskan islam itu sendiri.      
      Noktah emas ini memberi satu rumusan bermakna buat kita. Bahawa sesungguhnya, sebagai seorang muslim, semboyan yang menyeru agar kita kembali kepada kehidupan Islam secara holistik tidak boleh diabaikan lagi. Dan memang tidak sepatutnya tidak diendahkan. 
 
     Manusia, sama ada muslim atau tidak, semuanya miliki kekuatan dan potensi. Nilai yang membezakan adalah, potensi itu diledakkan atas sebab apa. Kebaikkan dan potensi yang diledakkan oleh bukan Islam, tidak memberi sebarang makna maknawi. Allah tidak memandang kebaikan yang dilakukan dan boleh jadi, kebaikan itu tidak dilakukan sejajar dengan kemahuan Allah S.W.T. Sedangkan muslim pula, memiliki asas yang kukuh dan jelas, mengapa kita melakukan, dan kita mampu melakukan sejajar dengan kemahuan Allah S.W.T. Syahadah yang dijadikan sebagai rangka umum dalam kehidupan muslim adalah batu asas terbinanya pelbagai projek-projek Islami. 

        Maka dengan itu, muslim perlu memperbaharui sebab-sebab keIslamannnya. Ramai daripada kita, keislamannya dibentuk daripada lingkungan warisan keturunan. Memilki nasab yang muslim, maka secara automatik, dirinya adalah muslim. Perkara ini tidak pernah salah. Namun sekiranya tidak pernah berusaha memahami, mempelajari, dan berpegang dengan hakikat keIslaman tersebut, nah, di situ silapnya!

        Memahami hakikat dan pengaplikasian syahadah dalam kehidupan, memahami hakikat hakimiah ( autoriti perundangan ) adalah milik mutlak Allah, dan memahami fiqh seperti fiqh ibadat dan seterusnya sebagai satu tatacara kehidupan peribadi dan sosial  seorang muslim, adalah beberapa perkara asas yang perlu disegarkan kembali.



      Jika dilihat dalam konteks Malaysia, seakan-akan perkara ini terlalu besar dan mustahil, memandangkan rakyat Malaysia, masa dan tenaganya banyak dihabiskan untuk kerjaya dan sukar untuk menyertai kelas-kelas pengajian. Isunya adalah sibuk yang teramat sangat.

       Maka, di sini letaknya cabaran untuk Gerakan Islam mencipta solusi. Gerakan Islam perlu mencari jawapan kepada persoalan bagaimana perkara ini dapat diselesaikan. Sekiranya kita masih memandang, medium membantu manusia memahami Islam semata-mata dengan cara sedia ada – seperti kuliah maghrib dan sebagainya – maka sebenarnya kita telah menatijahkan amal Islami itu jauh ketinggalan ke belakang. 10 sehingga 20 tahun mungkin.

Seni mencipta projek dan produk Islami yang bersesuaian dengan masyarakat majmuk Malaysia adalah satu kemahiran yang sangat penting untuk dikuasai. Membayangkan akan lahir deretan filem yang apabila selesai ditontoni di GSC, menyebabkan muda mudi sudah tidak mahu bercouple lagi. Mengidamkan apabila Gerakan Islam menganjurkan ekspidisi mendaki Gunung Kinabalu atau Kejohanan Berbasikal Le Tour de Langkawi, jiwa akan bergelora untuk jihad dan mahu memperjuangkan Islam di bumi Malaysia ini. Kewujudan lebih banyak institusi yang dikelola oleh Gerakan Islam untuk menyantuni masyarakat adalah amat penting. Daripada hospital, pusat kemasyarakatan, kompleks sukan, pusat penerbitan akhbar, pusat perlancongan dan rekreasi, sehingga kepada institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti perlu diberi penekanan. 

Benar, ini adalah persoalan tentang cara dan bagaimana. Sangat penting bagi Gerakan Islam memastikan prinsip tidak tergadai dan matlamat tercapai.

Seterusnya, setelah muslim itu memperbaharui sebab-sebab keIslamannya dan memperbaiki pemahamannya terhadap Islam, sangat penting bagi dia untuk hidup dalam komuniti Islam yang besar dan menjadi sebahagian daripada masyarakat tersebut. Dia perlu bersama membantu masyarakat, mencipta kebaikan dalam komuniti, dan memimpin komuniti ke satu perlembahan yang lebih baik. Ini dikenali sebagai kemampuan menyebar luas keshalihan yang ada dalam diri kepada orang lain. Daripada keshalihan individu berkembang menjadi keshalihan kolektif.

Suasana ini menuntut, setiap muslim untuk bangkit dan memimpin masyarakat tempatnya, dan ini bukan satu perkara yang mustahil. Ramai yang menganggap ini sebagai tugasan mereka yang bergelar ustaz dan ustazah, alim ulama’. Jujur dikatakan, ini adalah satu salah faham yang mengakibatkan msyarakat semakin rosak.

Hal ini menuntut, setiap muslim berperanan di tempat masing-masing. Sekiranya dia adalah seorang Ketua Setiausaha Negara, maka perlu bagi dia memimpin jabatannya dengan penuh integriti dan wibawa. Setiap perkara yang digerakkan, perlu memberi keuntungan kepada Islam dan memberi hak selayaknya kepada bukan Islam berdasarkan peruntukan yang diberi.

Jika dia adalah seorang ketua kontraktor, dia akan memastikan, tender yang diamanahkan kepadanya, diselesaikan tanggungjawab itu sebaiknya. Tidak akan dia culas, menipu, tiris, dan memastikan rakyat mendapat perkhidmatan yang terbaik daripada usahanya.

Dengan satu kata kunci penting, keshalihan individu itu diterjemah menjadi keshalihan sosial.

Dan terakhir, muslim yang menyebar luas keshalihannya kepada orang lain perlu memastikan, sumbangannya dalam masyarakat Islam menghasilkan kejayaan optimum. Tidak boleh dia menjadi manusia yang mudah berpuas hati dengan pencapaiannya. Sentiasa perlu dia bergerak ke hadapan dan memerah keringat dengan bersungguh-sungguh demi mencapai hakikat sebenar ‘optimum’. Berehat dan berpuas hati, adalah permulaan kegagalan. 

Demikian 3 langkah peradaban yang dapat dipelajari daripada kehidupan Arrasul dan sekalian para sahabat. Dan langkah-langkah peradaban ini perlu kita terjemah dalam kehidupan.

Sebab itu dinyatakan, penting bagi umat Islam untuk bangkit semula dan kembali memimpin manusia. Kebangkitan umat Islam bukan satu mitos, dongengan, khayalan, apatah lagi tahyul-mahyul. Ia adalah hakikat, realiti, dan satu-satunya jalan kembali kepada umran yang gilang-gemilang. Umran yang mampu menjunjung tinggi agama Allah dan mentadbir dunia dengan agama tersebut. 

Manusia seperti Gautama Buddha dan John Locke tidak sepatutnya dibiarkan memimpin masyarakat dunia. Ideologi mereka perlu dibendung dan muslim perlu bangkit untuk mengambil kembali tampuk kepimpinan dunia. Persoalan pertembungan ini akan kita kupas dalam penulisan seterusnya, Inshallah.

Mari bangkit bersama.

Monday, December 9, 2013

Kebangkitan Islam : Satu Teori Lapuk atau Gagasan yang Kukuh?



( Bahagian 2 )                

               Selamat sejahtera kepada sekalian pembaca. Semoga rahmat Allah, Tuhan yang Maha Mulia sentiasa menaungi kita. Dan semoga, setiap detik yang telah berlalu, akan semakin mendekatkan kita kepada sorga pada hari esoknya.

                Kesibukan adalah sebahagian daripada kehidupan. Alhamdulillah, Allah beri kekuatan kepada saya untuk menulis dalam sela waktu sibuk yang ada dalam minggu ini.

                Telah terlalu ramai cendekiawan membahaskan tentang agama Islam. Kawan, mahupun lawan. Daripada asasnya sehinggalah setiap cabang ranting agama ini. Antara noktah berharga yang kekal membezakan antara Islam dan yang selainnya adalah kejayaan proses transformasi ahli yang berlaku. Daripada kehinaan, diangkat ke puncak kemuliaan, daripada kebuntuan nilai hidup, disuluhi dengan terangnya syariat, dan daripada penjara perhambaan, dibebaskan dengan keluasan lapangan kasih sayang Tuhan.

                Proses agung ini telah dirakam dengan sebaiknya dalam lipatan sejarah peradaban Islam. Islam telah mentransformasi sekalian para sahabat menjadi manusia mulia. Ditengah-tengah kepadatan kekufuran dalam kehidupan, Kota Suci Makkah menyaksikan barisan awal yang menyahut obor keimanan ini. 

                Dan permulaan, sebelum menyahut obor keimanan, sekalian mereka adalah sama seperti masyarakat Makkah yang lain. Hidup dalam kekufuran. Rahmat Allah dan kemahuan mereka menerima obor ini telah mengubah segalanya.

                Sejujurnya, kita ini sepatutnya mencemburui mereka iaitu sekalian para sahabat. Hal ini kerana, mereka Allah pilih sebagai manusia yang merasai dua alam dan menikmati proses perpindahan alam itu. Mereka merasai kekufuran dan menemui nikmat iman lantas memilih untuk berpegang dengan obor iman tersebut. Mereka merasai saat hati kecil manusia itu diketuk dengan paluan rabbani Illahi. Mereka merasai saat manis itu. Mereka tahu perasaan gembira mengenal Allah yang  Maha Esa. Mereka merasai keperitan meninggalkan tabiat lama dan kebiasaan kekufuran lantas menuju ke perlembahan kehidupan yang baru.

                Jika hendak dibandingkan dengan kita, ganerasi yang sudah sedia Islam, amat jauh bezanya. Lahir-lahir sahaja, sudah kita ini dikatakan muslim. Sehingga kita besar panjang, masih juga muslim. Barangkali, ada dalam kalangan kita yang tidak pernah mencari erti kemusliman dan keislaman yang dianuti. Tidak benar-benar mengetahui prinsip hidup muslim sejati. Kita mendapat keislaman secara ‘given’, bukan dengan ‘struggle’ mencari.

                Demikian jauhnya dua ganerasi ini.

                Bukanlah tulisan ini bermaksud, kita ini bukan muslim. Apatah lagi mengatakan, kita perlu kembali kepada kekafiran sebentar, bagi menikmati kepuasan beriman. Hal ini jauh sekali. 

                Namun, yang ingin ditekankan adalah, kita perlu mencari, erti keislaman yang dianuti. Perlu untuk kita bertanya kepada diri sendiri, benarkah keislamanku ini? Benarkah daku mengamalkan Islam sebagai satu praktis hidup? Para sahabat telah mendapat jawapan kepada masalah ini dan hasilnya, mengagumkan. Hasil yang dimaksudkan di sini bukanlah semata-mata bungaan di awangan perasaan indah beriman, namun menghasilkan gerakan yang padu dan jitu.

                Mereka menjadi barisan manusia yang raksasa otaknya. Kecintaan yang mendalam terhadap Islam, mendorong mereka melakukan perkara terbaik deminya. Inilah realiti agama suci ini. Keimanan yang membawa amal. Kecintaan yang melahirkan pemimpin. Kehambaan yang membentuk arkitek dan jurubina sebuah tamadun.

                Konsep sebegini yang menjadikan Islam kekal utuh untuk satu tempoh yang amat panjang. Utuh bukan semata-mata kerana hebatnya binaan atau majunya teknologi, namun kerana kejayaan proses pengupayaan sumber insan yang sekian lama dijalankan. Islam berjaya melahirkan pemimpin berkaliber.

                Manusia secara semula jadi memiliki beberapa perkara asasi seperti cekal, berani, dan sopan. Lalu kedatangan Islam, adalah untuk memberikan nilai hebat terhadap perkara-perkara tersebut. Kecekalan, keberanian, dan kesopanan, semuanya dihalakan untuk Islam. Inilah yang dimaksudkan dengan Islam datang dan mengangkat kemuliaan manusia berserta segala sifat semulajadinya agar berjalan dan diurus sejajar dengan kehendak Allah SWT.

                Kita ambil satu contoh mudah. Kebolehan setiap para sahabat berbeza. Daripada hebat dalam politik dan pentadbiran, sehinggalah kepada kemampuan menghafal ribuan hadis. Kehebatan Islam adalah tidak ada satu pun kebolehan manusiawi ini, disia-siakan apatah lagi dipinggirkan. 

                Kebolehan peribadi ini ibarat anak-anak sungai kecil, mengalir ke arah satu sungai utama yang besar, lalu apabila berlaku integrasi yang baik, lantas membentuk sebuah peradaban dan tamadun yang gemilang. Maka lahirlah tamadun Umayyah, Abassiah, sehingga Uthmaniah. Semuanya bermula daripada pembentukan seorang muslim, diteruskan dengan meningkatkan keupayaan setiap muslim muslim itu lantas menjadi pemimpin, dan setiap manusia itu perlu diintegrasikan.

                Atas premis asas ini, setiap muslim sejujurnya, perlu kembali kepada kehidupan Islam dan bangkit dengannya. Inshallah, kita akan perhalusi noktah ini dalam penulisan seterusnya. Selamat beramal.