Saya menulis
artikel ini sebagai seorang muslim dan warganegara Malaysia yang cintakan
rakyat Negara ini menerusi prinsip-prinsip yang dianjurkan Islam. Mungkin bidang
yang akan dikritik ini, bukan dunia saya secara pendidikan atau keriernya,
namun sudut pandang ini sangat perlu ditekankan. Jika masih belum ada sesiapa
yang mahu menyuarakannya, tiada masalah bagi saya memulakan.
Saya sudah lupa,
bila kali terakhir menikmati beberapa deret filem yang ditayangkan menerusi
kaca televisyen. Cuti kali ini membuka ruang kepada saya secara santai bersama
saudara mara dan keluarga melakukan aktiviti tersebut.
Sama ada saya
yang terlalu lambat menghadam sesuatu perkara, atau memang filem dan drama yang
ditayangkan, adalah sedemikian bentuk dan rupa parasnya. Namun begitulah
perasaan saya sebagai penonton. Tidak disangka, nilai-nilai sedemikian yang
mahu disumbat dalam benak dan minda rakyat Malaysia. Benarkah minda rakyat
Malaysia, terlalu bersifat simplistik sehingga mutu filem dan drama
perlu didowngrade agar rakyat mudah faham? Atau memang rakan-rakan kita
yang terlibat dalam industri itu, menghasilkan karya yang sedemikian, kerana
permintaan yang menggalakkan ?
Sepanjang
pemerhatian, karya yang dihasilkan adalah tentang cinta, tahyul mahyul hantu,
kehidupan bebas tanpa batasan, dan kemudian sekali lagi, cinta. Ditambah dengan
adekan-adegan panas dan skrip-skrip kasih mesra yang mana semua itu akan
menjadi ikutan. Terpinga-pinga saya bertanya, benarkah sebegini pengisian kita
seusai Ramadhan? Mampukah Islam memberi solusi terhadap dunia drama dan
perfileman? Tidakkah kebosanan bakal menerpa apabila nilai-nilai Islam disuntik
ke dalam filem dan drama?
Jika sesiapa
menyangka, filem dan drama hanya mampu menjadikan artis terkenal atau sekadar
untuk mengumpul jutaan keuntungan, baik fikir semula. Fahaman Nazisma disemai
elok dalam kalangan masyarakat German menerusi perfileman. Adolf Hitler tidak
memandang industri ini hanya untuk hiburan semata-mata, namun sangat sesuai
untuk menyebarkan propaganda. Seawal tahun 1930, Nasional Socialist German
Workers Party, sudah menubuhkan sayap pembikinan filem. Menerusi Menteri
Propaganda, Joseph Goebbels, filem-filem yang dihasilkan berjaya menyemai
fahaman Nazisma, cinta akannya, ketaatan kepada Adolf Hitler, dan sanggup
berjuang untuknya. Wang dan darah, bukan lagi penghalang.
Goebbels mengakui,
kekalahan dalam Perang Dunia Pertama adalah berpunca daripada keruntuhan moral
rakyat dan tentera. Maka, matlamat utama Nazi dalam perfileman adalah untuk
menghasilkan ‘escapism’ – mengalihkan perhatian minda manusia daripada
tekanan kehidupan dan seumpamanya, yang mana kesannya mampu mempengaruhi
perasaan dan tindakan manusia - . Filem seperti Der Sieg des Glaubens (Victory of Faith) dan Triumph of The Will
berjaya mencapai hasrat ini. Nampaknya bukan senapang dan kereta kebal sahaja
yang digunakan dalam peperangan.
Teori ini, bukan sahaja digunakan oleh Nazi, namun
barat juga berpegang kepada prinsip yang sama. Usaha untuk memberi pemahaman
negatif terhadap masyarakat dunia bahawa Islam adalah agama keganasan berjalan
dengan lancar. Sebut sahaja orang Arab, tentu mewakili watak-watak jahat dan
negatif. Pembunuh, ketua sindiket, perogol dan sebagainya. Benar, bukti itu
akan berbicara. Karya seperti Taken 2, Munich, dan Act of Valor adalah
contohnya.
Satu perkara asas yang kita semua setujui bersama
adalah, minda kita akan bertindak balas terhadap pelbagai rangsangan ( baca :
stimuli ) sama ada secara sedar atau
tidak. Pernahkah anda rasa perasaan di puncak ketenangan sewaktu berjalan pada petang hari, sambil
disapa lembut bayu laut dan redupnya mentari petang bertemankan burung di awan
sambil melupakan jauh kebelakang barisan masalah yang ada? Atau perasaan
sungguh bersalah dan dunia dengan kejam menghimpit kita, sewaktu bersendirian,
diri ini berteleku menghadap Allah di sepertiga malam, menagih taubat dan
simpatiNya? Dalam beberapa contoh keadaan ini, persekitaran menjadi perangsang
kepada kita, mempengaruhi minda, lantas menghasilkan kesan psikomotor dan
emosi.
Filem dan drama, bukan sekadar tentang dunia
hiburan. Meraka adalah antara instrumen yang mampu mendidik dan membentuk
manusia, sama ada secara ideologi atau pun tindakan. Dan mungkin juga kedua-dua
sekali. Setiap filem mahu pun drama memiliki tema atau tulang belakang yang membuatkannya
berdiri. Kemudian diadun sebaiknya dengan beberapa unsur lain antaranya teknik
penulisan skrip, sinematografi, kareografi jika ada, visual, bunyi, aksi, elemen
dramatik, emosi, dan lakonan. Lalu secara halus jarum-jarum seperti liberalisma
dan Nazisma ( yang dibincangkan di atas )dicucuk masuk lantas membantu
mendefinisikan siapa diri kita.
Pendekatan yang digunakan oleh sesetengah pengarah
filem dengan menyuntik masuk unsur-unsur tidak sopan dan kelucahan, sama ada
bermatlamat menarik minat penonton atau sebagai pelaris adalah kegiatan tidak
bermoral dan perlu diberhentikan. Ada juga golongan yang mengatakan tindakan
ini wajar dilakukan atas nama kesenian. Apabila akal semata-mata dijadikan
rujukan, maka memang begini natijahnya. Kementerian Komunikasi dan Multimedia,
Jabatan Filem Negara, dan Film Direstors Association of Malaysia perlu
memandang berat perkara ini.
Many of the subjective reactions we have to a movie are the consequence of careful creative design, the result of choices about story structure, visual design, camerawork, editing, and sound made to prompt us to react in certain ways, to get us thinking about things from a particular point of view, to make us see and hear things in a specific order and manner
Essential
Cinema – Jon Lewis
Boleh saya katakan, kurangnya
nilai patriotisma dan kesatuan dalam masyarakat majmuk Malaysia secara ammnya
dan khusus dalam masyarakat Malayu, adalah kerana nilai-nilai ini tidak menjadi
tulang belakang dalam pembikinan filem dan drama di Malaysia. Dan meningkatnya
kes kelahiran anak luar nikah adalah kerana terlalu banyak filem yang
berteraskan cinta muda mudi yang menanam minat dalam kalangan anak muda untuk
hidup dipenuhi keindahan fantasi percintaan. Suasana ‘indah’ ketika bercinta
yang ditonjolkan dalam filem telah menggalakkan anak muda Malaysia untuk sama
merasainya secara nyata.
Kenyataan
ini bukan bertujuan untuk menafikan faktor-faktor lain seperti pendidikan,
kurang pemahaman agama, masalah keluarga, dan persekitaran masyarakat, namun
mahu menegaskan bahawa filem dan drama memainkan peranan besar dalam membentuk identiti
rakyat Malaysia. Daripada tahun 2006 sehingga 2012, jumlah skrin meningkat
daripada 287 kepada 754, dan jumlah kutipan kasar (juta) turut meningkat
daripada RM234.98 kepada RM607.73 (sumber : FINAS – statistik filem Malaysia).
Hal ini menjadi bukti bahawa industri perfileman berkembang pesat di Malaysia.
Namun, untuk benar-benar membuktikan, adakah filem memberi kesan langsung
terhadap masalah sosial di Malaysia, satu kajian terperinci perlu dilakukan.
Berdasarkan
situasi ini, saya berpendapat, sesiapa yang mahukan kebaikan untuk Islam dan
rakyat Malaysia secara khususnya, perlu memberanikan diri menceburi dunia
perfileman dan drama bagi menyampaikan masej dan pemahaman yang diyakini. Kemampuan
kita untuk membuka lembaran baru dalam dunia dakwah mampu meluaskan golongan
sasar dan menyampaikan mesej dalam bahasa yang pelbagai. Variasi dalam kaedah
penyampaian Islam dan dalam masa yang sama memastikan keaslian intipati Islam
terjamin adalah dilema biasa seorang pendakwah. It’s a really catch-22
situation. Namun sebaliknya, jika kita mampu mengatasi dilema ini dalam
bentuk produk, seruan Islam akan memasuki dimensi baru.
Untuk
merealisasikannya, selepas memahami Islam adalah satu cara hidup yang sempurna
dan benar-benar hidup dengannya, usah takut untuk menimba ilmu perfileman. Sekiranya
memang diri kita meminati dunia ini, terus terokai tanpa ragu-ragu dan mula
berkarya. Namun, tanpa matlamat yang jelas, segala usaha tidak bermakna. Ada yang
mengatakan, bidang ni memerlukan kos dan dana yang besar. Pada satu sudut,
mungkin benar. Namun, sentiasa ada sisi pandang yang sebaliknya. Dengan modal
RM 1000 ( atau lebih murah ), sebuah kamera digital terpakai mampu diperolehi
dan filem pendek boleh dihasilkan lalu terus dimuat naik secara percuma ke Youtube.
Jika benar-benar perlukan dana besar, siapkan diri dengan kemahiran negosiasi
sebaiknya supaya pemodal benar-benar yakin dengan projek anda. Satu perkara
yang juga perlu diingati, sebaiknya bidang ini diceburi secara berkumpulan,
agar tidak mudah hati ini tersilau dengan ujian keindahan fatamorgana yang
menanti. Apa yang penting, pengarah-pengarah yang membawa mesej Islam perlu
berani tampil dengan karyanya yang tersendiri, agar masyarakat mendapat solusi
kepada permasalahan kehidupan dan mendekatkan diri dengan redha Ilahi.
Satu
impian yang perlu direalisasikan adalah kelak akan tiba masanya, apabila
selesai menonton sebuah filem, manusia memahami sesuatu daripada nilai-nilai
Islam, kepekaan terhadap masalah umat meningkat, dan memiliki kesanggupan untuk
mencurahkan bakti berupa wang, tenaga, mahu pun nyawa, demi mencapai redha Allah
Yang Maha Esa. Realiti yang saya yakin, kita akui adalah manusia ini
sebaik-baik makhluk ciptaan Allah. Penuh dengan kemampuan dan potensi. Dan semua
ini adalah umpama satu nikmat daripadaNya. Lumrah sesuatu nikmat, tibanya di
Mahsyar, bakal habis disoal selunyainya. Semoga usaha kecil kita di dunia, adalah
sebaik-baik jawapan di hadapan Allah, apabila hari perhitungan itu tiba.
إِنَّ السَّاعَةَ آتِيَةٌ أَكَادُ أُخْفِيهَا لِتُجْزَىٰ كُلُّ نَفْسٍ بِمَا تَسْعَىٰSesungguhnya hari kiamat itu akan datang Aku merahasiakan (waktunya) agar supaya tiap-tiap diri itu dibalas dengan apa yang ia usahakan.[Thaahaa / 20 : 15]
الْيَوْمَ تُجْزَىٰ كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ ۚ لَا ظُلْمَ الْيَوْمَ ۚ إِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِPada hari ini, tiap-tiap jiwa diberi balasan dengan apa yang diusahakannya. Tidak ada yang dirugikan pada hari ini. Sesungguhnya Allah amat cepat hisabnya".[al Mu’min / 40 : 17]