Semakin meningkat usia, semakin kita
akan menghargai masa silam kita. Bola sepak adalah kegemaran bagi saya. Pernah sekali,
sekitar usia 5 tahun, saat pertama kali ayah membawa saya membeli jersey, yang
mahu dibelikan hanya baju sahaja. Spontan keluar pertanyaan daripada mulut ini,
‘habis tu, seluarnya nak pakai ape?’. ‘Eh, nak seluar juga?’ balas ayah,
sespontan anaknya. Meriah. Sepasang baru la padan, kan?
Sejak kecil saya percaya akan teori
berpasangan. Alam ini unsurnya juga berpasangan. Bumi itu atapnya langit. Malam
pula pakaian bagi siang. Pasangnya air laut tanda sebentar lagi ia akan surut. Dahulu,
fahamnya begitu. Sekitar itu. Dan bertitik-tolak daripada itu juga, kini saya
mula memahami dan menyingkap, rahsia
disebalik berpasangan bagi manusia.
Dengan penuh rasa rendah diri dan
lahir daripada hati ini, dari jauh ucapan tahniah dan syabas diucapkan buat
teman-teman seperjuangan yang telah lebih awal merangkul title suami dan
isteri. ‘barakallahulakuma wajama’a bainakuma fil khair’. Kalian cukup
berani. Saya kongsikan permata dari nabi.
“Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud katanya,
Rasulullah SAW bersabda kepada kamu: Wahai kumpulan anak-anak muda !
Barangsiapa di antara kamu yang mampu berkahwin hendaklah berkahwin. Kerana
sesungguhnya perkahwinan itu menutup pandangan dan memelihara kemaluan. Tetapi
barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa sebab yang demikian
itu akan menahan nafsunya.”
Tersentak saya saat pertama kali
belajar hadis ini. Sangat molek sistem yang diatur buat kita, duhai anak muda. Sistem
masyarakat yang diajar nabi, tentang cara berhadapan dengan nafsu. Tidaklah nafsu
itu dibuang. Tidaklah nafsu itu dinafikan. Dan tidak juga nafsu itu diikutkan
semata-mata. Sistem ini mengajar, nafsu itu untuk dikawal dan dididik. Jika nafsu
itu untuk dibuang, dinafikan, atau diikutkan semata-mata, nescaya bukan
daripada kalangan manusia sekalian nabi dan rasul yang diutus buat kita.
Rasulullah menunjukkan tauladan terbaik buat kita. Baginda makan, minum, tidur,
puasa, berperang dan juga berkeluarga. Begitu juga kita sepatutnya.
Bukan diri ini yang Tuhan takdirkan
untuk malalui gerbang suci itu. Setidak-tidaknya, bukan dalam masa terdekat
ini. Syabas sekali lagi buat kalian.
Ramai manusia berkahwin dalam dunia
ini. Namun, apakah yang membezakan antara mereka? Contohnya, satu pasangan di
Negeri X dan pasangan seterusnya di Negeri Y. Sudut pandang utama, niat dan
sebab. Boleh jadi sebab sudah 10 tahun kenal. Dari mata kemudian masuk menusuk
sukma. Sudah masuk, sangat mustahil keluar. Boleh jadi juga sebab terpaksa. Desakan
keluarga, terperangkap dengan janji-janji manis lalu lari ke Lombok, dan
pelbagai lagi. Dan boleh jadi juga, kerana hadis di atas. Maka beruntunglah
sesiapa yang memilihnya. Semoga kita juga sama.
Dalam satu bicara singkat bersama seorang
teman, terhasil buah fikiran yang pada pengamatan saya, bernas. Suka saya
kongsikan di sini. Moga-moga ianya ranum dan enaknya kita nikmati bersama.
Saat lelaki menjawab lafaz akad nikah
adalah detik pemisah antara 2 gelaran. Bujang dan suami. Mustahil seorang
lelaki itu bujang dan seorang suami dalam masa yang sama.Maka secara teknikal
dan ertinya, lelaki sudah beristerikan wanita tersebut. Namun, bukan sekadar
dirinya semata-mata. Malah secara tidak langsung keluarganya, masa silamnya,
serta masa hadapannya juga turut ‘dikahwini’. Seakan-akan,mereka sebelum ini 2
bahtera yang berbeza. Buatannya, jenis kayunya, lautan yang dilayarinya, dan
juga tujuannya. Boleh jadi juga, semuanya sama melainkan berbeza kapalnya
sahaja. Kini tidak lagi. Segalanya perlu disatukan. Saya lebih gemar dengan
istilah ‘sinergi’. Lebih hampir kepada maksud yang ingin disampaikan. Segalanya
perlu disinergikan. Hasil daripada perkahwinan atas dasar Ilahi mampu
menghasilkan natijah hebat. Muhammad Al-Fateh bukan calang-calang keluarganya.
Bapanya seorang sultan kerajaan Islam. Kuat berpegang dengan agama. Boleh search
Sultan Murad Ke-2. Ibunya kuat mendorong dan meningkatkan motivasi Al-Fateh
seawal kanak-kanak lagi untuk membuka Kostantinople. Begini contoh sinergi yang
perlu kita hasilkan.
Sudut pandang seterusnya, perihal
hubungan dan komunikasi. Dahulu dengan kata ganti nama saya dan awak atau ana
dan enti. Namun sesudah bernikah, panggilannya juga akan berubah. Panggilan yang
selayaknya. Gunakan waktu transisi dengan sebaiknya. Saya beri analogi mudah. Pernah
kalian masak ikan masak asam? Ikan asalnya dari laut. Manakala asam pula dari
darat. Apabila dimasak, perlu disekalikan dalam satu periuk. Mana mungkin kita
namakan ikan masak asam namun tidak pernah disekalikan. Dan bila enaknya
masakan ini? Apabila serba-serbinya cukup. Ada lemak masin-masin garam di
hujung lidah, sedikit masam air asam, dan juga pedasnya cili serta kekuatan dan
tempoh nyalaan api juga penting. Dan mungkin juga pelbagai citra rasa lain yang
disukai. Pokokya, perlu kepelbagaian dengan kadar terkawal. Mustahil kegirangan
hari pertama perkahwinan berturusan tanpa penghujungnya. Jika pasangannya
adalah robot, maka mungkin. Namun bukankah pasangannya itu manusia. Makhluk
yang cukup unik. Kasih, sayang, marah, cemburu, iri hati, dan pelbagai lagi
sifat dan sikap lain yang mewarnai diri manusia. Akan ada waktunya yang
terlebih dan terkurang. Oleh itu, apabila waktu-waktu tersebut menyapa, maka
kembalikan diri kepada Pemilik jiwa yang menghubungkan perkahwinan ini. Allah
sebagai punca. Gunakan masa transisi untuk bertaaruf sebaikya. Semoga terbina
komunikasi antara dua jiwa.
Sedikit sebanyak, demikian sebuah
perkahwinan. Semoga Allah memberkati perkahwinan kalian dan di atasnya kita
dirikan binaan empayar Islam yang hakiki.
Akhir bicara, kalian lebih mengetahui
dengan pengalaman perkahwinan yang lebih awal daripada yang menulis ini. Anggaplah
tulisan ini sebagai hadiah yang tidak seberapa buat kalian sebagai bukti perkenalan
kita. Saya masih bermain dengan teori dan kalian sudah hidup dengan realiti. Sinergikan
dua jiwa kerana Ilahi dan selamat pengantin baru.
Sekian.