Monday, April 14, 2014

Kerohanian Seorang Pemimpin

Siri Membentuk Diri

001

          Berterabur dunia tanpa pemimpin. Ini satu hakikat yang dipegang ramai manusia. Manusia yang hidup bersama dalam satu komuniti amat memerlukan nilai kepimpinan terbaik bagi memandu, membina, dan membangun tamadun gemilang. 

Namun, dunia hari ini masih berterabur. Tidak keterlaluan jika dikatakan terlalu serabut. Ini juga satu hakikat hari ini. Lalu, di mana silapnya?
 
Apakah ukuran nilai kepimpinan tulen? Kepetahan bercakapnya atau segak bergaya di atas pentas dan dihadapan manusia? Atau mungkin strategi yang hebat serta perancangan yang teliti dalam pembangunan?

Benar, semua ini benar. Sebahagian unsur yang membina nilai-nilai kepimpinan itulah. Cuma masih tidak lengkap. Kerana unsur yang membina seorang insan itu sendiri sangat holistik. Dan unsur kerohanian, adalah permata yang sering kita abaikan.

Akan kita cuba memimpin hati berdasarkan nilai-nilai daripada hadis ini. Ayuh. Kerana kita adalah pemimpin, kan?

عن ابي يعلى شداد ابن اوس رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :
الكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ ، وَعَمِلَ لِمَا بعدَ المَوتِ ، والعَاجِزُ مَنْ أتْبَعَ نَفْسَهُ هَواهَا وَتَمنَّى عَلَى الله
(رواه الترميذي)
Dari Abi Ya’la Syaddad bin Aus ra. berkata, Rasulullah Saw bersabda: Orang yang cerdas itu adalah orang yang mengendalikan dirinya, dan mengerjakan untuk kehidupan setelah kematian. Dan yang lemah itu adalah orang yang mengikuti dirinya dan berandai-andai kepada Allah.

(HR Tarmidzi)

*hadis ini disahihkan oleh Imam As-Suyuthi dalam Al-Jami’ush Shaghir (6468). 

Apabila meneliti hadis ini dengan matlamat iaitu mahu membangun potensi kepimpinan, akan kita dapati bahawa seorang pemimpin yang cerdas dan berkarisma itu adalah mereka yang mampu memimpin diri sendiri terlebih dahulu. Mungkin paling kurang terus berusaha memimpin diri. 

Dirinya akan dipenuhi dengan nilaian positif seperti tekad yang kuat, memanfaatkan setiap ruang, peluang, dan lorong yang kosong bagi mengoptimumkan momentum kehidupan dan tidak bermewah-mewah dalam perkara seperti masa, duit, dan usia. Ini adalah keperibadian pemimpin yang Rasulullah S.A.W dambakan daripada kalangan umatnya. Demikian secara ringkas.
 
Dengan menjadikan hadis ini sebagai paksi perbincangan, terdapat bebarapa unsur amali daripadanya :

1    1. Menanam dan membangun nilai-nilai rohani

‘Orang yang cerdas itu adalah orang yang mengendalikan dirinya’

Memahami potongan ini, seharusnya sebagai pemimpin, sangat perlu kita melakukan muhasabah terhadap diri sendiri. Muhasabah sama ada sebelum, semasa, dan selepas sesuatu tindakan dilakukan.

Aspek seperti keikhlasan, menjustifikasi semula niat, dan menjitukan matlamat adalah perkara yang mudah kita abaikan. Walhal, kepentingannya tiada tandingan. Perlu sentiasa pemimpin merenung, apakah faktor pendorong urusan itu dilaksanakan, memikirkan kesan yang akan menimpa dan adakah perlu dilakukan pada masa itu atau ketika masa lain? Benar, ini persoalan tentang prioriti.
               
Kerangka pandang seorang pemimpin selalunya perlu luas dan mengufuk. Dan dalam masa yang sama, perlu sentiasa hadir dalam realiti dan berada di bumi. Sepanjang tempoh pemimpin itu hidup, hak-hak Allah yang manakah telah diabaikan, dan hak-hak manusia yang manakah telah dilanggar. Hal ini sangat perlu diperhalusi.

Seorang pemimpin juga perlu tahu, apa perkara yang perlu dilaksanakan dan apa yang perlu ditinggalkan. Menjauhi kemaksiatan, sama ada besar atau kecil, dan tidak berlebihan dalam perkara harus seperti berehat, makan, berbelanja dan sebagainya adalah amat penting. Jika dia larut dalam urusan sebegini, mana mungkin manusia itu mampu dia pimpin. Dan dalam masa yang sama, dia masih perlu kekal sebagai seorang manusia.

gambar hiasan


      2. Memimpin Berorientasikan Akhirat

‘Dan beramal untuk kehidupan selepas kematiannya’

Kepimpinan yang cemerlang adalah apabila sentiasa mengorbit mengelilingi noktah akhirat. Demikian keunikan kepimpinan dalam Islam. Sentiasa pemimpinnya meyakini dalam setiap tindakan bahawa akhirat itu pasti. Maka, seluruh tindakan yang dilakukan akan dipertanggungjawabkan. Sesudah itu, akan si pemimpin tersebut benar-benar menjaga adab-adab kepimpinan agar diterima Allah amalannya.

Sentiasa dia memimpin dengan mematuhi panduan syara’ baik dalam percakapan, tindakan, mahupun perancangan. Dan seerah Rasulullah SAW serta sekalian sahabat dan tabieen dijadikan titik kembali kepada sebarang analisis praktis. Boleh sahaja mahu terus menggali contoh kontemporari atau peristawa terkini untuk dijadikan rujukan, namun sumber-sumber Islam masih diutamakan.

Dan pemimpin juga menyedari hakikat bahawa taufik daripada Allah adalah segala-galanya. Berjayanya kepimpinan adalah kerana hadir taufik daripada Allah dan sekiranya gagal, adalah kerana syarat-syarat untuk taufik hadir tidak mencukupi. Maka disedari bahawa amat penting untuk memenuhi syarat-syarat turunnya taufik daripada Allah.

      3. Ciri-ciri pemimpin dengan kecerdasan rohani

Pemimpin yang memiliki kecerdasan rohani ini, memiliki beberapa ciri-ciri persamaan antara mereka. Tentu sahaja, ciri-ciri persamaan tersebut menjadi noktah pembeza dengan pemimpin lain.

Sentiasa pemimpin yang cerdas rohaninya, mereka memandang bahwa sesungguhnya ruang beramal dan memimpin terlalu luas. Tiada bumi yang mampu membatasi dan tiada siksaan yang mampu menghalang denyut nadi pergerakan mereka. Tekad yang membara dan jiwa yang hidup itu akan terus merangsang minda agar terus beroperasi membuahkan hasil idea-idea baru menuntut tindakan tersusun.

Atas sebab itu Amru Al Ash sanggup memimpin tenteranya berkelana jauh ke Utara Afrika bagi membuka negara Mesir. Tidak henti-henti Sultan Muhammad Al Fatih berusaha membebaskan Konstantinopel hatta kemenangan diraih Islam. Terlintas diminda, adakah kita selaku pemimpin hari ini, terlalu kecil cita-cita atau terlalu mudah membatasi diri untuk mencapai sesuatu yang baru? Atau, adakah ini yang dipanggil sebagai hidup dalam dunia nyata?

Antara ciri-ciri lain adalah pemimpin tersebut akan melakukan tindakan, amal kebaikan, atau projek yang bersifat perintis. Benar, mereka sentiasa akan memulakan sesuatu yang baru. Sentiasa kerangka fikir dan dimensi pemerhatiannya berbeza daripada kebanyakkan manusia lantas lahirlah idea-idea baru. Dan tentu sekali, idea-idea baru itu berpaksikan nilaian Islam yang hakiki.

Seterusnya, juga ciri-ciri yang wajar kita contohi adalah mereka sentiasa menjaga kelestarian tindakan yang dilakukan. Projek yang dilakukan bukan kata-kata kosong atau merapu malah bertepatan dengan keperluan insan. Lalu projek-projek itu dilaksanakan secara berterusan.
 
Semua manusia boleh menjadi pemimpin dan menjadi pemimpin tidak bererti perlu kepada posisi atau kedudukan. Namun, hanya pemimpin yang cerdas rohaninya mampu menghasilkan tauladan epik. Selamat berkerja.

Saturday, April 12, 2014

Gurindam Ampat




Bersusah itu, bukan pilihan
Mungkin demikian bagi segelintir insan
Mudah jiwa bertukar rawan
Apabila kemahuan tidak kesampaian


Namun bagi sebilangan manusia
Matlamat hanya mencari mulia
Memang mulia tiada dipinta
Ia datang dengan Agama


Remuk hati melihat dunia
Sudah terhiris dititis cuka
Masih pedih luka lama
Kini pula terus dihina


Cendera si anak muda
Seusai menikmati manisnya dunia
Kampungnya masih terbakar membara
Timba dicampak entah ke mana

  
Berlari-lari mencari kawan
Mungkin yang dikejar hanya bayangan
Sukar mencari suara bersahutan
Untuk menjamah kopi secawan


Kesepian itu dirasa jangan
Sungguh ia duri jalanan
Memang perlu kita berteman
Lalu sujudlah mencari Tuhan


Hidup di bawah naungan Al Quran
Menyalakan semula, hati dan perasaan
Bukan sekadar dibuat pelajaran
Perlu segar dalam tindakan


Demikian beza mereka dan kita
Terpisah 1435 terlalu lama
Untuk kembali berdiri semula
Alah bisa tegal biasa.

gambar hiasan




Saturday, March 8, 2014

Erti Menjadi Anak Malaysia





         Setelah 3 tahun merantau dan mengembara, benar-benar saya lupa akan perasaan nan indah menetap di bumi Malaysia. Saat kali pertama kaki memijaki semula bumi bertuah ini, mengalir satu perasaan yang tidak terucap. Satu rasa gembira yang penuh emosi meresapi urat saraf lantas membangkitkan roma.

            Kegembiraan ini lahir setelah rasa rindu yang memuncak. Rindu untuk menghirup nyamannya udara. Rindu untuk menikmati bintang-bintang pada dada langit Malaysia. Rindu mahu meramas tanah seperti waktu sebelumnya. Rindu mahu bermain sama kocakan air dan melihat layang-layang tu naik tinggi mengawan. 


 Beginikah perasaan Bilal r.a ketikamana rindunya terhadap Makkah yang begitu mengasyikkan hadir menyapa jiwa? Kerinduan itu sungguh mendalam. Hanya Saidina Bilal mahukan semalaman bermalam di Makkah bagi mengubati rindu yang ditanggung.

Kecintaan terhadap ibu pertiwi tidak pernah dinafikan oleh Islam. Perasaan dan emosi tersebut sangat diiktiraf. Cuma persoalannya adalah bagaimana bentuk kecintaan tersebut dizahirkan. Perkara yang lebih dititik beratkan adalah unsur dan ruh yang mendasarinya.

Sangat saya yakini bahawa, dengan berlesenkan ‘anak Malaysia’, manusia itu akan menerobos apa sahaja sempadan demi mencapai hasrat dan cita. Beralaskan status ‘anak Malaysia’, maka di atasnya diminta hidang pelbagai permintaan dan diucap perlbagai tuntutan. Sejenak berfikir, adakah semua ini suatu kesalahan dan telah melanggar sempadan kewarganegaraan? Bukankah mereka juga ‘anak Malaysia’? Bukankah semua ini dilakukan atas rasa sayang dan kerinduan yang ditanggung untuk melihat Malaysia berjaya?

Memimpin sebuah Negara seumpama Malaysia bukan sesuatu perkara yang mudah. Komposisi penduduk yang terdiri daripada 3 kaum utama iaitu Melayu, Cina, dan India ditambah dengan golongan minoriti yang lain telah membentuk satu suasana dan landskap sosial yang unik. Hal ini menuntut kepada seni kepimpinan tersendiri bagi mentadbir Negara ini dan yang lebih penting daripada itu, adalah usaha bagi memastikan Islam hidup di Malaysia, secara rujukan, perundangan, intitusi, dan pentadbiran. Tidak saya bercadang untuk mengupas aspek ini. Cukup kita lontarkan dan semoga Allah memberi kekuatan dalam penulisan seterusnya untuk sebarang perincian, Inshallah.



Namun yang lebih utama kini adalah memahami identiti Negara Malaysia. Kerana identiti ini yang akan mencorakkan perilaku anak Malaysia dan menentukan hala tuju Negara ini. Kegagalan memahami, menggenggam erat, dan menterjemah identiti ini dalam praktis kehidupan akan mengakibatkan haru-biru yang mahadahsyat.

Berbicara tentang identiti, kita akan terbang menerawang dek perbezaan sudut pandang terhadapnya. Di sini elok kita mulakan dengan cubaan sama-sama memegang tiang seri yang sama. Identiti ini perbicaraannya cukup meluas. Boleh mencakupi aspek sosial, bahasa, budaya, ideologi, pakaian, agama, dan sifat. Perbincangan dalam ini adalah lebih menjurus kepada identiti dengan erti kata nilai teras, pegangan, atau ideologi. Mungkin lebih mudah, akidah Negara Malaysia.

Tidak saya berhasrat untuk menyelak semula lembaran sejarah Malaysia yang terlalu tebal. Saya yakin, jika anda sendiri melakukannya bersama sumber primer dan pakar sejarah, konklusi yang akan diperolehi adalah Malaysia ini sebuah negara Islam dan sepatutnya kekal begitu. 

Proses asimilasi Malaysia atau Tanah Melayu atau lebih awal daripada itu adalah Kesultanan Melayu Melaka dengan Islam berlaku dengan begitu baik. Asimilasi ini berlaku dalam aspek kehidupan yang menyeluruh. Daripada pemerintahan, pentadbiran, hubungan diplomatik, undang-undang dan hukum kanun, akidah dan peribadatan, kesenian dan seni bina, adat resam dan budaya, sehingga pendidikan anak-anak. Dan ini memang lumrah tujuan dan kesan kedatangan Islam. Membebaskan manusia daripada kegelapan kehidupan kepada keterangan hidup berpandukan cahaya Allah SWT. Sebagaimana Islam pernah datang dan membawa kebenderangan cahaya tauhid di bumi Cordova, seperti itu juga berlaku di Malaysia ratusan tahun lalu. 

Ini adalah noktah emas daripada ratusan muka surat sejarah Malaysia yang sepatutnya setiap ganerasi anak Malaysia perlu iktiraf dan berpegang dengannya. Dan noktah ini telah membentuk identiti negara kita yang tersendiri, bebas daripada sebarang anasir luar dan kekal dalam keunikan keaslian keislamannya. 

Perbahasan seterusnya yang akan datang daripada kefahaman identiti ini adalah apa yang berlaku dalam negara kita tidak mencerminkan begitu. Islam itu terhalang oleh kerana umatnya sendiri. Tidak perlu kita memandang kepada sesiapa, mari cuba pandang kepada diri sendiri. Kegagalan kita sebagai seorang muslim, untuk berpegang dengan keislaman yang hakiki adalah satu penyakit kronik. Boleh jadi, kerana tindakan kita, manusia lain menjauhi Islam. Boleh jadi, kerana perbuatan kita, manusia lain semakin tidak faham tentang Islam. Dan boleh jadi juga, kita gagal mencerminkan kehidupan sebagai seorang muslim.

Jangan salah faham sekiranya saya mengutarakan masalah ini dengan irama yang sebegini. Bukan mahu menuduh secara membuta tuli, namun mahu diketengahkan satu punca masalah sebenar dan solusinya mesti bermula daripada situ.

Islam adalah sebuah agama yang agung dan didokong oleh manusia agung. Bukan bermaksud hanya orang baik-baik sahaja boleh masuk Islam, namun lebih kepada memahami, bagaimana risalah yang mulia ini mentransformasi manusia biasa menjadi seagung-agung manusia. Satu proses membentuk manusia lagenda.

Inilah lumrah Islam yang kita anuti dan sewajarnya kita berusaha agar perkara ini terlaksana. Proses membina semula sebuah negara yang merdeka, perlu bermula dengan mempersiapkan sebaik-baik manusia ( andai Malaysia belum merdeka, masih juga perlu dimulakan dengan membina manusia ). Manusia adalah asas sesebuah negara dan tamadun. Dan bukan itu sahaja, malah adalah pewaris kepimpinan dan peneraju masa hadapan. Kita sebenarnya menempah maut sekiranya alpa dalam proses pembentukan sumber manusia negara.

Jika hendak saya tulis, apa kayu ukur terbaik bagi seorang manusia, ia boleh menjadi satu perbahasan panjang. Cuma di sini, saya hanya akan cuba mengilustrasi dalam himpunan mudah kata-kata, bagaimana kayu ukur tersebut berdasarkan sirah Nabi Muhammad SAW dan sekalian para sahabat.

Proses pembentukan Nabi Muhammad SAW terhadap para sahabat, bermula dengan mengenali Allah, akidah, dan tauhid lalu menjadikan mereka negarawan terulung. Islam yang para sahabat anuti tidak menjadikan mereka terasing daripada dunia, bahkan mereka muncul, memimpin masyarakat, dan membangunkan tamadun dan peradabban.

Hasil daripada proses pembentukan ini, melahirkan negarawan terulung seperti Saidina Abu Bakr, Saidina Umar, Saidina Uthman, dan Saidina Ali. Juga melahirkan ganeral perang seperti Amr Bin Ash, Usamah Bin Zaid, Khalid al Walid, dan Saad Bin Abi Waqqas. Ada juga ulama besar seperti Ibnu Abbas, Ibnu Umar, dan Ibnu Masud. Kewujudan perawi hadith yang handal seperti Abu Hurairah dan Saidatina Aishah serta sekalian billionair seperti Abdulrahman Bin Auf dan Thalhah Bin Ubaidillah. 

Dan pembentukan manusia hebat ini tidak terhenti dengan kewafatan Nabi Muhammad SAW. Lahir selepas itu manusia hebat seperti Hassan Al Basri, Atha Bin Rabbah, Ibnu Mubarak, 4 Imam Mazhab yang utama, Ibnu Hajar, Ibnu Taimiyyah, Imam Ghazali, Nuruddin Al Zinki, Solahuddin Al Ayubi, dan Muhammad Al Fateh. Ini yang dimaksudkan dengan ‘Islam adalah agama yang agung dan akan terus didukung oleh manusia agung’.


Krisis yang ditimpa dunia adalah katandusan pemimpin sejati. Sejati dalam erti kata pekat keIslamannya dan mendasar serta praktikal dalam tindak-tanduk. Kerusi kepimpinan dunia akan kekal disandang manusia, silih berganti. Demikian lumrah mengajar kita. Cuma persoalan, siapa yang mengisi kekosongan tampuk tersebut. 

Semoga tulisan tangan yang tidak seberapa ini mampu membuka mata manusia, terutama Anak Malaysia untuk bertindak dan merubah. Mengapa tidak ruh perjuangan manusia seperti Tok janggut dan Dr. Burhanuddin Al Helmi itu kita bangkitkan kembali.

Salam hormat.

Sunday, December 22, 2013

Kebangkitan Islam : Satu Teori Lapuk atau Gagasan yang Kukuh?



( Bahagian 3 )       

          Alam yang luas terbentang, dari ufuk Timur sehingga ke Barat, menyimpan pelbagai khazanah dan rahsia. Khazanah yang apabila dioptimumkan, mampu menggoncangkan dunia. Bukanlah yang dimaksudkan dengan khazanah itu, galian atau tanaman yang pelbagai. Namun lebih menjurus kepada manusia dengan kepelbagaian potensi dan kemampuan yang menanti untuk diledakkan.

      Merujuk kembali kepada penulisan sebelum ini, benih ketaqwaan yang ditanam oleh nabi Muhammad S.A.W dalam nurani para sahabat telah membesar lalu berbuah. Dan umat manusia menikmati buah-buah manfaat tersebut. Sekalian sahabat menggunakan segala kelebihan dan kebaikan yang ada dalam diri, hanya semata-mata untuk kepentingan Islam.

         Demikian metodologi perubahan yang telah Arrasul tunjukkan. Dimulai dengan mengenal Allah yang Maha Agung dan memahami neraca mengukur kehidupan, lalu kesinambungannya diikuti dengan menyalurkan segala kemahiran demi meninggikan serta menyebarluaskan islam itu sendiri.      
      Noktah emas ini memberi satu rumusan bermakna buat kita. Bahawa sesungguhnya, sebagai seorang muslim, semboyan yang menyeru agar kita kembali kepada kehidupan Islam secara holistik tidak boleh diabaikan lagi. Dan memang tidak sepatutnya tidak diendahkan. 
 
     Manusia, sama ada muslim atau tidak, semuanya miliki kekuatan dan potensi. Nilai yang membezakan adalah, potensi itu diledakkan atas sebab apa. Kebaikkan dan potensi yang diledakkan oleh bukan Islam, tidak memberi sebarang makna maknawi. Allah tidak memandang kebaikan yang dilakukan dan boleh jadi, kebaikan itu tidak dilakukan sejajar dengan kemahuan Allah S.W.T. Sedangkan muslim pula, memiliki asas yang kukuh dan jelas, mengapa kita melakukan, dan kita mampu melakukan sejajar dengan kemahuan Allah S.W.T. Syahadah yang dijadikan sebagai rangka umum dalam kehidupan muslim adalah batu asas terbinanya pelbagai projek-projek Islami. 

        Maka dengan itu, muslim perlu memperbaharui sebab-sebab keIslamannnya. Ramai daripada kita, keislamannya dibentuk daripada lingkungan warisan keturunan. Memilki nasab yang muslim, maka secara automatik, dirinya adalah muslim. Perkara ini tidak pernah salah. Namun sekiranya tidak pernah berusaha memahami, mempelajari, dan berpegang dengan hakikat keIslaman tersebut, nah, di situ silapnya!

        Memahami hakikat dan pengaplikasian syahadah dalam kehidupan, memahami hakikat hakimiah ( autoriti perundangan ) adalah milik mutlak Allah, dan memahami fiqh seperti fiqh ibadat dan seterusnya sebagai satu tatacara kehidupan peribadi dan sosial  seorang muslim, adalah beberapa perkara asas yang perlu disegarkan kembali.



      Jika dilihat dalam konteks Malaysia, seakan-akan perkara ini terlalu besar dan mustahil, memandangkan rakyat Malaysia, masa dan tenaganya banyak dihabiskan untuk kerjaya dan sukar untuk menyertai kelas-kelas pengajian. Isunya adalah sibuk yang teramat sangat.

       Maka, di sini letaknya cabaran untuk Gerakan Islam mencipta solusi. Gerakan Islam perlu mencari jawapan kepada persoalan bagaimana perkara ini dapat diselesaikan. Sekiranya kita masih memandang, medium membantu manusia memahami Islam semata-mata dengan cara sedia ada – seperti kuliah maghrib dan sebagainya – maka sebenarnya kita telah menatijahkan amal Islami itu jauh ketinggalan ke belakang. 10 sehingga 20 tahun mungkin.

Seni mencipta projek dan produk Islami yang bersesuaian dengan masyarakat majmuk Malaysia adalah satu kemahiran yang sangat penting untuk dikuasai. Membayangkan akan lahir deretan filem yang apabila selesai ditontoni di GSC, menyebabkan muda mudi sudah tidak mahu bercouple lagi. Mengidamkan apabila Gerakan Islam menganjurkan ekspidisi mendaki Gunung Kinabalu atau Kejohanan Berbasikal Le Tour de Langkawi, jiwa akan bergelora untuk jihad dan mahu memperjuangkan Islam di bumi Malaysia ini. Kewujudan lebih banyak institusi yang dikelola oleh Gerakan Islam untuk menyantuni masyarakat adalah amat penting. Daripada hospital, pusat kemasyarakatan, kompleks sukan, pusat penerbitan akhbar, pusat perlancongan dan rekreasi, sehingga kepada institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti perlu diberi penekanan. 

Benar, ini adalah persoalan tentang cara dan bagaimana. Sangat penting bagi Gerakan Islam memastikan prinsip tidak tergadai dan matlamat tercapai.

Seterusnya, setelah muslim itu memperbaharui sebab-sebab keIslamannya dan memperbaiki pemahamannya terhadap Islam, sangat penting bagi dia untuk hidup dalam komuniti Islam yang besar dan menjadi sebahagian daripada masyarakat tersebut. Dia perlu bersama membantu masyarakat, mencipta kebaikan dalam komuniti, dan memimpin komuniti ke satu perlembahan yang lebih baik. Ini dikenali sebagai kemampuan menyebar luas keshalihan yang ada dalam diri kepada orang lain. Daripada keshalihan individu berkembang menjadi keshalihan kolektif.

Suasana ini menuntut, setiap muslim untuk bangkit dan memimpin masyarakat tempatnya, dan ini bukan satu perkara yang mustahil. Ramai yang menganggap ini sebagai tugasan mereka yang bergelar ustaz dan ustazah, alim ulama’. Jujur dikatakan, ini adalah satu salah faham yang mengakibatkan msyarakat semakin rosak.

Hal ini menuntut, setiap muslim berperanan di tempat masing-masing. Sekiranya dia adalah seorang Ketua Setiausaha Negara, maka perlu bagi dia memimpin jabatannya dengan penuh integriti dan wibawa. Setiap perkara yang digerakkan, perlu memberi keuntungan kepada Islam dan memberi hak selayaknya kepada bukan Islam berdasarkan peruntukan yang diberi.

Jika dia adalah seorang ketua kontraktor, dia akan memastikan, tender yang diamanahkan kepadanya, diselesaikan tanggungjawab itu sebaiknya. Tidak akan dia culas, menipu, tiris, dan memastikan rakyat mendapat perkhidmatan yang terbaik daripada usahanya.

Dengan satu kata kunci penting, keshalihan individu itu diterjemah menjadi keshalihan sosial.

Dan terakhir, muslim yang menyebar luas keshalihannya kepada orang lain perlu memastikan, sumbangannya dalam masyarakat Islam menghasilkan kejayaan optimum. Tidak boleh dia menjadi manusia yang mudah berpuas hati dengan pencapaiannya. Sentiasa perlu dia bergerak ke hadapan dan memerah keringat dengan bersungguh-sungguh demi mencapai hakikat sebenar ‘optimum’. Berehat dan berpuas hati, adalah permulaan kegagalan. 

Demikian 3 langkah peradaban yang dapat dipelajari daripada kehidupan Arrasul dan sekalian para sahabat. Dan langkah-langkah peradaban ini perlu kita terjemah dalam kehidupan.

Sebab itu dinyatakan, penting bagi umat Islam untuk bangkit semula dan kembali memimpin manusia. Kebangkitan umat Islam bukan satu mitos, dongengan, khayalan, apatah lagi tahyul-mahyul. Ia adalah hakikat, realiti, dan satu-satunya jalan kembali kepada umran yang gilang-gemilang. Umran yang mampu menjunjung tinggi agama Allah dan mentadbir dunia dengan agama tersebut. 

Manusia seperti Gautama Buddha dan John Locke tidak sepatutnya dibiarkan memimpin masyarakat dunia. Ideologi mereka perlu dibendung dan muslim perlu bangkit untuk mengambil kembali tampuk kepimpinan dunia. Persoalan pertembungan ini akan kita kupas dalam penulisan seterusnya, Inshallah.

Mari bangkit bersama.