Sunday, August 25, 2013

Filem : Bukan Sekadar Seni dan Hiburan



Saya menulis artikel ini sebagai seorang muslim dan warganegara Malaysia yang cintakan rakyat Negara ini menerusi prinsip-prinsip yang dianjurkan Islam. Mungkin bidang yang akan dikritik ini, bukan dunia saya secara pendidikan atau keriernya, namun sudut pandang ini sangat perlu ditekankan. Jika masih belum ada sesiapa yang mahu menyuarakannya, tiada masalah bagi saya memulakan.

Saya sudah lupa, bila kali terakhir menikmati beberapa deret filem yang ditayangkan menerusi kaca televisyen. Cuti kali ini membuka ruang kepada saya secara santai bersama saudara mara dan keluarga melakukan aktiviti tersebut.

Sama ada saya yang terlalu lambat menghadam sesuatu perkara, atau memang filem dan drama yang ditayangkan, adalah sedemikian bentuk dan rupa parasnya. Namun begitulah perasaan saya sebagai penonton. Tidak disangka, nilai-nilai sedemikian yang mahu disumbat dalam benak dan minda rakyat Malaysia. Benarkah minda rakyat Malaysia, terlalu bersifat simplistik sehingga mutu filem dan drama perlu didowngrade agar rakyat mudah faham? Atau memang rakan-rakan kita yang terlibat dalam industri itu, menghasilkan karya yang sedemikian, kerana permintaan yang menggalakkan ?

Sepanjang pemerhatian, karya yang dihasilkan adalah tentang cinta, tahyul mahyul hantu, kehidupan bebas tanpa batasan, dan kemudian sekali lagi, cinta. Ditambah dengan adekan-adegan panas dan skrip-skrip kasih mesra yang mana semua itu akan menjadi ikutan. Terpinga-pinga saya bertanya, benarkah sebegini pengisian kita seusai Ramadhan? Mampukah Islam memberi solusi terhadap dunia drama dan perfileman? Tidakkah kebosanan bakal menerpa apabila nilai-nilai Islam disuntik ke dalam filem dan drama?

Jika sesiapa menyangka, filem dan drama hanya mampu menjadikan artis terkenal atau sekadar untuk mengumpul jutaan keuntungan, baik fikir semula. Fahaman Nazisma disemai elok dalam kalangan masyarakat German menerusi perfileman. Adolf Hitler tidak memandang industri ini hanya untuk hiburan semata-mata, namun sangat sesuai untuk menyebarkan propaganda. Seawal tahun 1930, Nasional Socialist German Workers Party, sudah menubuhkan sayap pembikinan filem. Menerusi Menteri Propaganda, Joseph Goebbels, filem-filem yang dihasilkan berjaya menyemai fahaman Nazisma, cinta akannya, ketaatan kepada Adolf Hitler, dan sanggup berjuang untuknya. Wang dan darah, bukan lagi penghalang. 

Goebbels mengakui, kekalahan dalam Perang Dunia Pertama adalah berpunca daripada keruntuhan moral rakyat dan tentera. Maka, matlamat utama Nazi dalam perfileman adalah untuk menghasilkan ‘escapism’ – mengalihkan perhatian minda manusia daripada tekanan kehidupan dan seumpamanya, yang mana kesannya mampu mempengaruhi perasaan dan tindakan manusia - . Filem seperti Der Sieg des Glaubens (Victory of Faith) dan Triumph of The Will berjaya mencapai hasrat ini. Nampaknya bukan senapang dan kereta kebal sahaja yang digunakan dalam peperangan.

Teori ini, bukan sahaja digunakan oleh Nazi, namun barat juga berpegang kepada prinsip yang sama. Usaha untuk memberi pemahaman negatif terhadap masyarakat dunia bahawa Islam adalah agama keganasan berjalan dengan lancar. Sebut sahaja orang Arab, tentu mewakili watak-watak jahat dan negatif. Pembunuh, ketua sindiket, perogol dan sebagainya. Benar, bukti itu akan berbicara. Karya seperti Taken 2, Munich, dan Act of Valor adalah contohnya. 

Satu perkara asas yang kita semua setujui bersama adalah, minda kita akan bertindak balas terhadap pelbagai rangsangan ( baca : stimuli ) sama ada secara sedar  atau tidak. Pernahkah anda rasa perasaan di puncak ketenangan  sewaktu berjalan pada petang hari, sambil disapa lembut bayu laut dan redupnya mentari petang bertemankan burung di awan sambil melupakan jauh kebelakang barisan masalah yang ada? Atau perasaan sungguh bersalah dan dunia dengan kejam menghimpit kita, sewaktu bersendirian, diri ini berteleku menghadap Allah di sepertiga malam, menagih taubat dan simpatiNya? Dalam beberapa contoh keadaan ini, persekitaran menjadi perangsang kepada kita, mempengaruhi minda, lantas menghasilkan kesan psikomotor dan emosi. 

Filem dan drama, bukan sekadar tentang dunia hiburan. Meraka adalah antara instrumen yang mampu mendidik dan membentuk manusia, sama ada secara ideologi atau pun tindakan. Dan mungkin juga kedua-dua sekali. Setiap filem mahu pun drama memiliki tema atau tulang belakang yang membuatkannya berdiri. Kemudian diadun sebaiknya dengan beberapa unsur lain antaranya teknik penulisan skrip, sinematografi, kareografi jika ada, visual, bunyi, aksi, elemen dramatik, emosi, dan lakonan. Lalu secara halus jarum-jarum seperti liberalisma dan Nazisma ( yang dibincangkan di atas )dicucuk masuk lantas membantu mendefinisikan siapa diri kita.

Pendekatan yang digunakan oleh sesetengah pengarah filem dengan menyuntik masuk unsur-unsur tidak sopan dan kelucahan, sama ada bermatlamat menarik minat penonton atau sebagai pelaris adalah kegiatan tidak bermoral dan perlu diberhentikan. Ada juga golongan yang mengatakan tindakan ini wajar dilakukan atas nama kesenian. Apabila akal semata-mata dijadikan rujukan, maka memang begini natijahnya. Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Jabatan Filem Negara, dan Film Direstors Association of Malaysia perlu memandang berat perkara ini.


Many of the subjective reactions we have to a movie are the consequence of careful creative design, the result of choices about story structure, visual design, camerawork, editing, and sound made to prompt us to react in certain ways, to get us thinking about things from a particular point of view, to make us see and hear things in a specific order and manner


                                                                                                                                Essential Cinema – Jon Lewis


      Boleh saya katakan, kurangnya nilai patriotisma dan kesatuan dalam masyarakat majmuk Malaysia secara ammnya dan khusus dalam masyarakat Malayu, adalah kerana nilai-nilai ini tidak menjadi tulang belakang dalam pembikinan filem dan drama di Malaysia. Dan meningkatnya kes kelahiran anak luar nikah adalah kerana terlalu banyak filem yang berteraskan cinta muda mudi yang menanam minat dalam kalangan anak muda untuk hidup dipenuhi keindahan fantasi percintaan. Suasana ‘indah’ ketika bercinta yang ditonjolkan dalam filem telah menggalakkan anak muda Malaysia untuk sama merasainya secara nyata.

          Kenyataan ini bukan bertujuan untuk menafikan faktor-faktor lain seperti pendidikan, kurang pemahaman agama, masalah keluarga, dan persekitaran masyarakat, namun mahu menegaskan bahawa filem dan drama memainkan peranan besar dalam membentuk identiti rakyat Malaysia. Daripada tahun 2006 sehingga 2012, jumlah skrin meningkat daripada 287 kepada 754, dan jumlah kutipan kasar (juta) turut meningkat daripada RM234.98 kepada RM607.73 (sumber : FINAS – statistik filem Malaysia). Hal ini menjadi bukti bahawa industri perfileman berkembang pesat di Malaysia. Namun, untuk benar-benar membuktikan, adakah filem memberi kesan langsung terhadap masalah sosial di Malaysia, satu kajian terperinci perlu dilakukan.

          Berdasarkan situasi ini, saya berpendapat, sesiapa yang mahukan kebaikan untuk Islam dan rakyat Malaysia secara khususnya, perlu memberanikan diri menceburi dunia perfileman dan drama bagi menyampaikan masej dan pemahaman yang diyakini. Kemampuan kita untuk membuka lembaran baru dalam dunia dakwah mampu meluaskan golongan sasar dan menyampaikan mesej dalam bahasa yang pelbagai. Variasi dalam kaedah penyampaian Islam dan dalam masa yang sama memastikan keaslian intipati Islam terjamin adalah dilema biasa seorang pendakwah. It’s a really catch-22 situation. Namun sebaliknya, jika kita mampu mengatasi dilema ini dalam bentuk produk, seruan Islam akan memasuki dimensi baru.

            Untuk merealisasikannya, selepas memahami Islam adalah satu cara hidup yang sempurna dan benar-benar hidup dengannya, usah takut untuk menimba ilmu perfileman. Sekiranya memang diri kita meminati dunia ini, terus terokai tanpa ragu-ragu dan mula berkarya. Namun, tanpa matlamat yang jelas, segala usaha tidak bermakna. Ada yang mengatakan, bidang ni memerlukan kos dan dana yang besar. Pada satu sudut, mungkin benar. Namun, sentiasa ada sisi pandang yang sebaliknya. Dengan modal RM 1000 ( atau lebih murah ), sebuah kamera digital terpakai mampu diperolehi dan filem pendek boleh dihasilkan lalu terus dimuat naik secara percuma ke Youtube. Jika benar-benar perlukan dana besar, siapkan diri dengan kemahiran negosiasi sebaiknya supaya pemodal benar-benar yakin dengan projek anda. Satu perkara yang juga perlu diingati, sebaiknya bidang ini diceburi secara berkumpulan, agar tidak mudah hati ini tersilau dengan ujian keindahan fatamorgana yang menanti. Apa yang penting, pengarah-pengarah yang membawa mesej Islam perlu berani tampil dengan karyanya yang tersendiri, agar masyarakat mendapat solusi kepada permasalahan kehidupan dan mendekatkan diri dengan redha Ilahi.

          Satu impian yang perlu direalisasikan adalah kelak akan tiba masanya, apabila selesai menonton sebuah filem, manusia memahami sesuatu daripada nilai-nilai Islam, kepekaan terhadap masalah umat meningkat, dan memiliki kesanggupan untuk mencurahkan bakti berupa wang, tenaga, mahu pun nyawa, demi mencapai redha Allah Yang Maha Esa. Realiti yang saya yakin, kita akui adalah manusia ini sebaik-baik makhluk ciptaan Allah. Penuh dengan kemampuan dan potensi. Dan semua ini adalah umpama satu nikmat daripadaNya. Lumrah sesuatu nikmat, tibanya di Mahsyar, bakal habis disoal selunyainya. Semoga usaha kecil kita di dunia, adalah sebaik-baik jawapan di hadapan Allah, apabila hari perhitungan itu tiba.





إِنَّ السَّاعَةَ آتِيَةٌ أَكَادُ أُخْفِيهَا لِتُجْزَىٰ كُلُّ نَفْسٍ بِمَا تَسْعَىٰ

Sesungguhnya hari kiamat itu akan datang Aku merahasiakan (waktunya) agar supaya tiap-tiap diri itu dibalas dengan apa yang ia usahakan.
[Thaahaa / 20 : 15]





الْيَوْمَ تُجْزَىٰ كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ ۚ لَا ظُلْمَ الْيَوْمَ ۚ إِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Pada hari ini, tiap-tiap jiwa diberi balasan dengan apa yang diusahakannya. Tidak ada yang dirugikan pada hari ini. Sesungguhnya Allah amat cepat hisabnya".
[al Mu’min / 40 : 17]

0 comments:

Post a Comment