Tuesday, August 6, 2013

Siapa Aku Selepas Ramadhan



Dikisahkan, seorang cendekiawan telah memberikan satu permata berharga buat anak-anak muridnya. Dia mengajar mereka;

                ‘Nilailah manusia berdasarkan soalan yang ditanyanya, bukan semata-mata jawapan yang diberikan’
Selagi mana, keluarnya kita ini daripada Ramadhan, dan masih kekal ditakuk lama, selagi itulah kita tidak akan ke mana-mana. Persolannya, mengapa tidak boleh kita kekal sebagai kita, walau selepas Ramadhan, dan bagaimana seharusnya kita seusainya.

Ramadhan itu, bukan suka-suka hadir dalam kalendar. Dia adalah anugerah daripada Allah. Anugerah kepada sekalian hambaNya, untuk berlari dan berlumba, agar semakin dekat kepadaNya. Agar semakin bertaqwa. Kita, yang dalam dunia ini, kehidupannya penuh dengan pelbagai dosa dan noda, telah Allah anugerahkan Ramadhan, sebagai titik tolak kepada satu perubahan. Perubahan yang mampu membawa kita kepada hakikat sebenar penciptaan diri sendiri dan seterusnya hidup di bawah naungan keagungan Ilahi. Itu pun, jika benar-benar kita mahu berubah.


Dunia telah terlalu nazak, kerana keingkaran manusia terhadap Allah. Hakikat keingkaran ini, hadir dalam bentuk yang berbeza daripada zaman dahulu kala, namun, masih berpaksikan intipati yang sama.


Jika dahulu, sebagai contoh, derhakanya manusia kepada Allah, hadir dalam bentuk puisi dan syair, namun kini, dihidangkan dalam filem yang meriah citrawarnanya dan lebih jelas kederhakaannya. Boleh ambil Istanbul Aku Datang sebagai contoh. Mungkin, pelakon atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam pembikinannya, hanya menjalankan tugas. Namun, idea asas atau  istilahnya spine dalam filem tersebut, membawa anak muda jauh daripada Ilahi. Lelaki dan perempuan yang belum bernikah secara sah, duduk serumah dengan bahagianya, dan dihidangkan kepada tontonan umum. Unsur sebeginikah yang mahu dididik kepada masyarakat?

Atau contoh lain, seorang muslim yang mengatakan bahawa perjuangan berintipatikan Islam sudah tidak relevan dan nilai perjuangan lain perlu digunakan untuk membawa perubahan yang lebih dinamik, progressif, dan memenuhi tuntutan kemanusiaan. Yang lebih memeningkan, idea sebegini datang daripada mereka yang mengaku mahu memperjuangkan Islam. Istilah toleransi dan keharmonian beragama semakin terkenal kebelakangan  ini. Atas semangat ini, seorang warganegara muslim digalakkan untuk hadir dalam ritual-ritual keagamaan agama lain, atau melaluinya sendiri bagi membina jambatan indah antara dua akidah. 

Layakkah kita, sebagai seorang warganegara muslim, hanya duduk berdiam diri dan melihat dengan senyuman penuh menawan akan kebejatan yang berlaku? Benarkah sudah tidak ada, walau sekecil kuman rasa kemarahan atas asas iman apabila melihat situasi ini?

Beginikah sepatutnya kehidupan?

               
Islam perlu ditegakkan dan dunia perlu ditadbir mengikut kehendak Islam. Sama ada suka atau tidak, perkara ini yang sepatutnya berlaku. Inilah tugas besar yang Allah mahu kita laksanakan. Perkara ini mampu direalisasikan, apabila kepimpinan dunia dikembalikan kepada Islam. Pengertian kepimpinan ini, bukan semata-mata menerusi jawatan, malah lebih luas ruang lingkupnya daripada itu.

Kepimpinan Islam memerlukan manusia-manusia yang mampu memimpin tangan manusia lain, memberikannya obor penyelamat, menunjukkannya lorong perhambaan, dan mengacah dengan kerambit saat sudah terlalu terleka. Andai tuntutan ini memerlukannya berkorban, maka dia rela. Andai tanggungjawab ini menuntutnya untuk berubah, maka dia tidak mahu berlengah.

Persoalannya, kepada siapa tanggungjawab urusan kepimpinan Islam ini harus dipertanggungjawabkan. Daripada jutaan manusia yang merasai nikmat Ramadhan, benarkah tiada walau seorang yang layak dan mampu memikulnya?

Intipati terbesar yang kita pelajari daripada Ramadhan adalah hidup perlu memiliki sasaran. Hidup perlu bermatlamat. Dan matlamat terbesar  yang Allah gariskan menerusi Ramadhan adalah ketaqwaan. Sekiranya seluruh orientasi Ramadhan gagal digerakkan ke arah ketaqwaan, kita sebenarnya memilih untuk mensia-siakan kehidupan. Dengan matlamat ketaqwaan yang jelas, sebagai seorang muslim, seluruh tenaga, fokus, fikiran, dan gerak hatinya akan menjurus ke satu pusat yang sama.

Kehidupan juga akan berkisar dengan perkara yang sama. Kegagalan meletakkan matlamat seteguh meranti dan usaha yang tidak sekemas ikatan, hanya akan menghasilkan kepenatan dan kebuntuan. Gerak kerja akan berterabur, tenaga akan dibazirkan, dan seringkali nanti kita akan melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

Tindakan merendahkan Islam tidak akan pernah berhenti. Akan lahir selepas ini, pelbagai pasangan ‘Alvin dan Vivian’ dalam versi yang berbeza dan genre yang lain, namun intipati tindakannya masih sama. 

Seruan-seruan kebebasan dan menuntut Negara yang harmoni dalam etika beragama akan terus lantang dan semakin kuat bunyinya. Seakan-akan, Islam di Malaysia menindas hak-hak mereka.

Bijak-bijaklah bertanya kepada diri sendiri, siapa kita mahu jadi, seusai Ramadhan ini. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat dinikmati sagunya. 

Semoga Ramadhan yang masih berbaki, akan terus kita lunyaikan diri ini selunyainya, demi perjuangan memartabatkan Islam yang mulia. 

Sekian.

0 comments:

Post a Comment