( Bahagian 2 )
Selamat sejahtera kepada sekalian pembaca. Semoga rahmat Allah, Tuhan yang
Maha Mulia sentiasa menaungi kita. Dan semoga, setiap detik yang telah berlalu,
akan semakin mendekatkan kita kepada sorga pada hari esoknya.
Kesibukan adalah
sebahagian daripada kehidupan. Alhamdulillah, Allah beri kekuatan kepada saya
untuk menulis dalam sela waktu sibuk yang ada dalam minggu ini.
Telah terlalu ramai
cendekiawan membahaskan tentang agama Islam. Kawan, mahupun lawan. Daripada
asasnya sehinggalah setiap cabang ranting agama ini. Antara noktah berharga
yang kekal membezakan antara Islam dan yang selainnya adalah kejayaan proses
transformasi ahli yang berlaku. Daripada kehinaan, diangkat ke puncak kemuliaan,
daripada kebuntuan nilai hidup, disuluhi dengan terangnya syariat, dan daripada
penjara perhambaan, dibebaskan dengan keluasan lapangan kasih sayang Tuhan.
Proses agung ini telah
dirakam dengan sebaiknya dalam lipatan sejarah peradaban Islam. Islam telah
mentransformasi sekalian para sahabat menjadi manusia mulia. Ditengah-tengah
kepadatan kekufuran dalam kehidupan, Kota Suci Makkah menyaksikan barisan awal
yang menyahut obor keimanan ini.
Dan permulaan, sebelum
menyahut obor keimanan, sekalian mereka adalah sama seperti masyarakat Makkah
yang lain. Hidup dalam kekufuran. Rahmat Allah dan kemahuan mereka menerima
obor ini telah mengubah segalanya.
Sejujurnya, kita ini
sepatutnya mencemburui mereka iaitu sekalian para sahabat. Hal ini kerana,
mereka Allah pilih sebagai manusia yang merasai dua alam dan menikmati proses
perpindahan alam itu. Mereka merasai kekufuran dan menemui nikmat iman lantas
memilih untuk berpegang dengan obor iman tersebut. Mereka merasai saat hati
kecil manusia itu diketuk dengan paluan rabbani Illahi. Mereka merasai saat
manis itu. Mereka tahu perasaan gembira mengenal Allah yang Maha Esa. Mereka merasai keperitan
meninggalkan tabiat lama dan kebiasaan kekufuran lantas menuju ke perlembahan
kehidupan yang baru.
Jika hendak
dibandingkan dengan kita, ganerasi yang sudah sedia Islam, amat jauh bezanya.
Lahir-lahir sahaja, sudah kita ini dikatakan muslim. Sehingga kita besar panjang,
masih juga muslim. Barangkali, ada dalam kalangan kita yang tidak pernah
mencari erti kemusliman dan keislaman yang dianuti. Tidak benar-benar
mengetahui prinsip hidup muslim sejati. Kita mendapat keislaman secara ‘given’,
bukan dengan ‘struggle’ mencari.
Demikian jauhnya dua
ganerasi ini.
Bukanlah tulisan ini
bermaksud, kita ini bukan muslim. Apatah lagi mengatakan, kita perlu kembali
kepada kekafiran sebentar, bagi menikmati kepuasan beriman. Hal ini jauh
sekali.
Namun, yang ingin
ditekankan adalah, kita perlu mencari, erti keislaman yang dianuti. Perlu untuk
kita bertanya kepada diri sendiri, benarkah keislamanku ini? Benarkah daku
mengamalkan Islam sebagai satu praktis hidup? Para sahabat telah mendapat
jawapan kepada masalah ini dan hasilnya, mengagumkan. Hasil yang dimaksudkan di
sini bukanlah semata-mata bungaan di awangan perasaan indah beriman, namun
menghasilkan gerakan yang padu dan jitu.
Mereka menjadi barisan
manusia yang raksasa otaknya. Kecintaan yang mendalam terhadap Islam, mendorong
mereka melakukan perkara terbaik deminya. Inilah realiti agama suci ini. Keimanan
yang membawa amal. Kecintaan yang melahirkan pemimpin. Kehambaan yang membentuk
arkitek dan jurubina sebuah tamadun.
Konsep sebegini yang
menjadikan Islam kekal utuh untuk satu tempoh yang amat panjang. Utuh bukan
semata-mata kerana hebatnya binaan atau majunya teknologi, namun kerana
kejayaan proses pengupayaan sumber insan yang sekian lama dijalankan. Islam berjaya
melahirkan pemimpin berkaliber.
Manusia secara semula
jadi memiliki beberapa perkara asasi seperti cekal, berani, dan sopan. Lalu
kedatangan Islam, adalah untuk memberikan nilai hebat terhadap perkara-perkara
tersebut. Kecekalan, keberanian, dan kesopanan, semuanya dihalakan untuk Islam.
Inilah yang dimaksudkan dengan Islam datang dan mengangkat kemuliaan manusia
berserta segala sifat semulajadinya agar berjalan dan diurus sejajar dengan
kehendak Allah SWT.
Kita ambil satu contoh
mudah. Kebolehan setiap para sahabat berbeza. Daripada hebat dalam politik dan
pentadbiran, sehinggalah kepada kemampuan menghafal ribuan hadis. Kehebatan Islam
adalah tidak ada satu pun kebolehan manusiawi ini, disia-siakan apatah lagi
dipinggirkan.
Kebolehan peribadi ini
ibarat anak-anak sungai kecil, mengalir ke arah satu sungai utama yang besar,
lalu apabila berlaku integrasi yang baik, lantas membentuk sebuah peradaban dan
tamadun yang gemilang. Maka lahirlah tamadun Umayyah, Abassiah, sehingga
Uthmaniah. Semuanya bermula daripada pembentukan seorang muslim, diteruskan
dengan meningkatkan keupayaan setiap muslim muslim itu lantas menjadi pemimpin,
dan setiap manusia itu perlu diintegrasikan.
Atas premis asas ini,
setiap muslim sejujurnya, perlu kembali kepada kehidupan Islam dan bangkit
dengannya. Inshallah, kita akan perhalusi noktah ini dalam penulisan
seterusnya. Selamat beramal.
0 comments:
Post a Comment