( Bahagian 3 )
Alam yang luas terbentang, dari ufuk Timur sehingga ke Barat, menyimpan
pelbagai khazanah dan rahsia. Khazanah yang apabila dioptimumkan, mampu
menggoncangkan dunia. Bukanlah yang dimaksudkan dengan khazanah itu, galian
atau tanaman yang pelbagai. Namun lebih menjurus kepada manusia dengan
kepelbagaian potensi dan kemampuan yang menanti untuk diledakkan.
Merujuk kembali kepada
penulisan sebelum ini, benih ketaqwaan yang ditanam oleh nabi Muhammad S.A.W
dalam nurani para sahabat telah membesar lalu berbuah. Dan umat manusia
menikmati buah-buah manfaat tersebut. Sekalian sahabat menggunakan segala
kelebihan dan kebaikan yang ada dalam diri, hanya semata-mata untuk kepentingan
Islam.
Demikian metodologi
perubahan yang telah Arrasul tunjukkan. Dimulai dengan mengenal Allah yang Maha
Agung dan memahami neraca mengukur kehidupan, lalu kesinambungannya diikuti
dengan menyalurkan segala kemahiran demi meninggikan serta menyebarluaskan
islam itu sendiri.
Noktah emas ini
memberi satu rumusan bermakna buat kita. Bahawa sesungguhnya, sebagai seorang
muslim, semboyan yang menyeru agar kita kembali kepada kehidupan Islam secara
holistik tidak boleh diabaikan lagi. Dan memang tidak sepatutnya tidak diendahkan.
Manusia, sama ada
muslim atau tidak, semuanya miliki kekuatan dan potensi. Nilai yang membezakan
adalah, potensi itu diledakkan atas sebab apa. Kebaikkan dan potensi yang
diledakkan oleh bukan Islam, tidak memberi sebarang makna maknawi. Allah tidak
memandang kebaikan yang dilakukan dan boleh jadi, kebaikan itu tidak dilakukan
sejajar dengan kemahuan Allah S.W.T. Sedangkan muslim pula, memiliki asas yang kukuh
dan jelas, mengapa kita melakukan, dan kita mampu melakukan sejajar dengan
kemahuan Allah S.W.T. Syahadah yang dijadikan sebagai rangka umum dalam
kehidupan muslim adalah batu asas terbinanya pelbagai projek-projek Islami.
Maka dengan itu, muslim
perlu memperbaharui sebab-sebab keIslamannnya. Ramai daripada kita, keislamannya
dibentuk daripada lingkungan warisan keturunan. Memilki nasab yang muslim, maka
secara automatik, dirinya adalah muslim. Perkara ini tidak pernah salah. Namun sekiranya
tidak pernah berusaha memahami, mempelajari, dan berpegang dengan hakikat
keIslaman tersebut, nah, di situ silapnya!
Memahami hakikat dan
pengaplikasian syahadah dalam kehidupan, memahami hakikat hakimiah ( autoriti
perundangan ) adalah milik mutlak Allah, dan memahami fiqh seperti fiqh ibadat
dan seterusnya sebagai satu tatacara kehidupan peribadi dan sosial seorang muslim, adalah beberapa perkara asas
yang perlu disegarkan kembali.
Jika dilihat dalam
konteks Malaysia, seakan-akan perkara ini terlalu besar dan mustahil, memandangkan
rakyat Malaysia, masa dan tenaganya banyak dihabiskan untuk kerjaya dan sukar
untuk menyertai kelas-kelas pengajian. Isunya adalah sibuk yang teramat sangat.
Maka, di sini letaknya
cabaran untuk Gerakan Islam mencipta solusi. Gerakan Islam perlu mencari
jawapan kepada persoalan bagaimana perkara ini dapat diselesaikan. Sekiranya kita
masih memandang, medium membantu manusia memahami Islam semata-mata dengan cara
sedia ada – seperti kuliah maghrib dan sebagainya – maka sebenarnya kita telah
menatijahkan amal Islami itu jauh ketinggalan ke belakang. 10 sehingga 20 tahun
mungkin.
Seni mencipta projek dan produk Islami yang bersesuaian
dengan masyarakat majmuk Malaysia adalah satu kemahiran yang sangat penting
untuk dikuasai. Membayangkan akan lahir deretan filem yang apabila selesai
ditontoni di GSC, menyebabkan muda mudi sudah tidak mahu bercouple lagi. Mengidamkan
apabila Gerakan Islam menganjurkan ekspidisi mendaki Gunung Kinabalu atau Kejohanan
Berbasikal Le Tour de Langkawi, jiwa akan bergelora untuk jihad dan mahu
memperjuangkan Islam di bumi Malaysia ini. Kewujudan lebih banyak institusi
yang dikelola oleh Gerakan Islam untuk menyantuni masyarakat adalah amat
penting. Daripada hospital, pusat kemasyarakatan, kompleks sukan, pusat
penerbitan akhbar, pusat perlancongan dan rekreasi, sehingga kepada institusi
pendidikan seperti sekolah dan universiti perlu diberi penekanan.
Benar, ini adalah persoalan tentang cara dan
bagaimana. Sangat penting bagi Gerakan Islam memastikan prinsip tidak tergadai
dan matlamat tercapai.
Seterusnya, setelah muslim itu memperbaharui
sebab-sebab keIslamannya dan memperbaiki pemahamannya terhadap Islam, sangat
penting bagi dia untuk hidup dalam komuniti Islam yang besar dan menjadi
sebahagian daripada masyarakat tersebut. Dia perlu bersama membantu masyarakat,
mencipta kebaikan dalam komuniti, dan memimpin komuniti ke satu perlembahan
yang lebih baik. Ini dikenali sebagai kemampuan menyebar luas keshalihan yang
ada dalam diri kepada orang lain. Daripada keshalihan individu berkembang
menjadi keshalihan kolektif.
Suasana ini menuntut, setiap muslim untuk bangkit
dan memimpin masyarakat tempatnya, dan ini bukan satu perkara yang mustahil. Ramai
yang menganggap ini sebagai tugasan mereka yang bergelar ustaz dan ustazah,
alim ulama’. Jujur dikatakan, ini adalah satu salah faham yang mengakibatkan
msyarakat semakin rosak.
Hal ini menuntut, setiap muslim berperanan di
tempat masing-masing. Sekiranya dia adalah seorang Ketua Setiausaha Negara,
maka perlu bagi dia memimpin jabatannya dengan penuh integriti dan wibawa. Setiap
perkara yang digerakkan, perlu memberi keuntungan kepada Islam dan memberi hak
selayaknya kepada bukan Islam berdasarkan peruntukan yang diberi.
Jika dia adalah seorang ketua kontraktor, dia akan
memastikan, tender yang diamanahkan kepadanya, diselesaikan tanggungjawab itu
sebaiknya. Tidak akan dia culas, menipu, tiris, dan memastikan rakyat mendapat
perkhidmatan yang terbaik daripada usahanya.
Dengan satu kata kunci penting, keshalihan
individu itu diterjemah menjadi keshalihan sosial.
Dan terakhir, muslim yang menyebar luas
keshalihannya kepada orang lain perlu memastikan, sumbangannya dalam masyarakat
Islam menghasilkan kejayaan optimum. Tidak boleh dia menjadi manusia yang mudah
berpuas hati dengan pencapaiannya. Sentiasa perlu dia bergerak ke hadapan dan
memerah keringat dengan bersungguh-sungguh demi mencapai hakikat sebenar ‘optimum’.
Berehat dan berpuas hati, adalah permulaan kegagalan.
Demikian 3 langkah peradaban yang dapat dipelajari
daripada kehidupan Arrasul dan sekalian para sahabat. Dan langkah-langkah
peradaban ini perlu kita terjemah dalam kehidupan.
Sebab itu dinyatakan, penting bagi umat Islam
untuk bangkit semula dan kembali memimpin manusia. Kebangkitan umat Islam bukan
satu mitos, dongengan, khayalan, apatah lagi tahyul-mahyul. Ia adalah hakikat,
realiti, dan satu-satunya jalan kembali kepada umran yang gilang-gemilang. Umran
yang mampu menjunjung tinggi agama Allah dan mentadbir dunia dengan agama
tersebut.
Manusia seperti Gautama Buddha dan John Locke
tidak sepatutnya dibiarkan memimpin masyarakat dunia. Ideologi mereka perlu
dibendung dan muslim perlu bangkit untuk mengambil kembali tampuk kepimpinan
dunia. Persoalan pertembungan ini akan kita kupas dalam penulisan seterusnya,
Inshallah.
Mari bangkit bersama.
0 comments:
Post a Comment