Sunday, December 9, 2012

Oh Ujian!!


            Dalam banyak-banyak duduk-duduk yang saya sertai, ini antara yang paling bermakna. Bukan kerana juadahnya, namun lebih ke arah intipati duduk-duduk tersebut.

                Tempat, masa, dan menunya, biarlah kami sahaja yang menyimpan. Bukan itu hasrat diri mahu dikongsikan. Sebagaimana yang dikatakan pada awal penulisan, intipatinya yang mahu ditekankan.

                Sambil menunggu, saya agak tenggelam dalam lamunan seketika. Tenggelam dalam dunia sendiri sebenarnya. Setiap detik dalam kedai buku di Mesir adalah waktu pendidikan yang sangat berharga. Terpandang sebuah buku, dengan judulnya ‘Tayarot Fikriah’ [Kepelbagaian Aliran Pemikiran] karya Dr. Muhammad Imarah, salah seorang tokoh Islamis yang terlibat dalam proses penggubalan Perlembagaan Mesir baru-baru ini. Lama sudah buku ini dicari, hanya tanda harganya sahaja yang memisahkan kami kini.

                Bagi sesiapa yang menggemari pengkajian serangan pemikiran terhadap Islam atau sekadar mahu memiliki sebagai bacaan tambahan, boleh mula mendekati beliau.

                Selang masa beberapa ketika, yang ditunggu-tunggu masuk ke kedai. Kami bersalam-salaman, berlaga-laga pipi [satu budaya Arab] dan bertanya khabar sekadarnya. Tentang perjalanan, cuaca, dan sebagainya.

                Lantas kaki melangkah, mencari tempat terbaik menjamu selera.

                Sedang kami enak menikmati hidangan yang tidak seberapa, saya mula menyusun-nyusun ayat, beralih kepada perbincangan sebenar. Lalu dia menceritakan, hal ehwalnya kini. Lama saya diam dan mendengar [ini juga antara hobi].

                Setelah diam yang lama dan bertukar-tukar buah fikiran, saya membuat beberapa kesimpulan :

1.       Tiada manusia tanpa masalah dalam kehidupan. Jika ada, mungkin sedang menikmati pil  Ecstasy (3-4-methylenedioxymethampheta-mine) dan sedang berhalusinasi.

2.       Ujian yang Tuhan berikan, sebagai tanda sayang dan ingat kepada kita. Dia tidak mahu kita hanyut dalam arus dunia dan melupakannya. Noktah ini banyak ditekankan dalam Al Quran, antaranya :

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَا‌ۚ لَهَا مَا كَسَبَتۡ وَعَلَيۡہَا مَا ٱكۡتَسَبَتۡ‌ۗ
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Al Baqaroh 286)

3.       Ujian yang melanda, perlu diurus sebaiknya. Hampir pasti, emosi diri akan terganggu. Masalah jiwa akan datang. Dan saat itulah, detik bahagia bagi Syaitan. Waktu ketika anak Adam itu lemah jiwanya. Akan Si Syaitan itu, masuk secara halus, perlahan-pahan, hanya membisikkan dalam jiwa, beberapa cadangan, bermula dengan terjebak dalam perkara makruh, meninggalkan yang sunat, dan biasanya berakhir dengan perbuatan yang haram. Kenal pasti punca masalah. Jangan mudah mengalah.

4.       Matlamat yang ingin dicapai, jangan terganggu dek ujian yang memang kejam sifatnya. 2 resepi ulama’ untuk kekal berjaya. Yang pertama, perlu FOKUS. Dan yang keduanya, perlu SERIUS. Ini rasepi zaman berzaman dari masa silam. Adalah lebih sayang, sekiranya kerana ujian-ujian ini, kita lupa akan tujuan diciptakan atas muka bumi.

5.       Jangan malu mencari Tuhan. Walau sebelum itu, kita sendiri telah terlalu sombong dan angkuh. Allah ada. Dia Robb, Dia Illah. Dia Yang Mentadbir Alam, dan Dia sahaja untuk disembah. Saidina Umar al-Khattab pernah berkata ;

‘aku tidak takut doaku ditolak, tapi aku lebih takutkan tidak diberi hidayah untuk terus berdoa’

                Selesai makan dan bersembang panjang, kami pulang. Mungkin laluan kami berbeza, namun, destinasinya tetap sama. Lain kali, kamu pula belanja, jangan lupa!!

5 Manusia, 1 Cerita

                 Satu petang, Udai bersiar-siar di tepian Sungai Nil. Dengan siapa? Ok tak perlu tanya. Hehe. Kalau batu-batu sungai mampu berbicara, biar mereka sahaja yang bercerita.

                Sedang asyik Udai berjalan memerhati kedai terbaik untuk menikmati makan malam, dengan citarasa kelainan yang mahu dilayan, lalu matanya terpandang satu sosok tubuh yang tidak asing lagi. Baru-baru ini dia kelihatan di laman youtube. Berucap dihadapan jutaan rakyatnya, sambil membuka dada baju kot yang dipakainya. Dataran bersejarah Tahrir menjadi saksi, keperwiraan si dia ini. Pantas kaki  dipaksa berjalan, dengan hajat membunga di hati mahu berjabat tangan, bersama smartphone dalam genggaman mahu bergambar sebagai bukti kepada teman-teman.

                Dalam waktu yang lain pula, laman-laman sesawang dan twitter hangat mengkhabarkan, ada seorang perwira hebat dari sebuah tanah yang menghubungkan antara dua benua, Eropah dan Asia mahu bertandang ke Bumi Kinanah. Bertemu lelaki di tepian Sungai Nil tadi bagi menyatakan sokongan terhadap Gaza dan mengenakan tekanan politik terhadap Israel. Terbeliak mata membaca berita itu. Lantas smartphone  dicapai, jaket berdompet dikenakan, dan tangan pantas mencatat alamat tempat perhimpunan dan ucapan. Azam menggunung mahu bertemu ikon kegemaran.

                Demikian kisah Udai. Dia sama seperti pemuda-pemuda lain yang seangkatan dengannya. Masih belajar, memiliki smartphone sendiri, hidup mahu dengan internet, dan gemar tertawa. Begitulah dia. Cuma, dia Tuhan beri peluang untuk tinggal di tengah-tengah rantau yang sarat dengan konspirasi, revolusi, dan pengakhiran autokrasi. Matanya melihat luas apa yang berlaku dan dia menanam azam mahu menjadi sebahagian daripada sejarah itu.

                Oh, sebelum terlajak!         
                                                                                                              
                Ini bukan kisah Udai. Bukan cerita tentang dia. Biarlah dia menulis cerita hidupnya sendiri. Dengan skrip ceritanya yang bertimbun-timbun perlu diselesaikan.

                Ini kisah tentang 2 perwira tadi. Seorang dari Bumi Kinanah. Seorang dari tanah antara Eropah dan Asia. Apa yang lebih penting, mereka mengagumkan dunia. Terutamanya pemuda.

                Pernah sekali Ismail yang dari Kampung Teluk Ketapang, pengusaha sebuah homestay dari Parlimen Kuala Nerus berteriak :

                ‘aku mahu jadi seperti Morsi!!’ [teriakan ini setelah terjemahan daripada bahasa tempatan Terengganu]

               Dan Abang Osman, seorang pengusaha dodol dari Kampung Hj. Dahlan, Tapah telah menamakan dodol keluarannya dengan nama Dodol Erdogan. Dia berazam mahu memberitakan kepada setiap pelanggannya akan kehebatan tokoh bernama Erdogan. Supaya mereka mengenalinya dan berusaha mengikuti jejak langkahnya.

                Pemuda seperti Udai, Ismail, dan Abang Osman adalah contoh mereka yang terkesan dengan kebangkitan Islam ini. Mereka mengagumi tokoh-tokoh ini dengan cara tersendiri. Dan masing-masing mahu bergerak mengorak langkah menjadi Erdogan dan Morsi.

                Cumanya, mungkin mereka bertiga ini terlupa atau belum pernah mengetahui, apa yang membentuk Morsi pada hari ini. Atau, mereka mungkin boleh meneka, namun belum tentu mahu dan sanggup melaluinya. Teka-teka, sesiapa juga bisa meneka.

                Untuk berkata perihal Erdogan, belum cukup berani. Masih menuntut kepada pembacaan yang lebih lagi. Kalau salah fakta, habis dikecam blog ini. Hehe. Umum mengetahui, dia seorang pemimpin Islam yang lantang mempertahankan isu Aqsa dan Gaza. Kisahnya menolak untuk berjabat tangan dengan wakil pimpinan Israel tidak akan dunia lupakan.

                Berbicara mengenai Morsi?

                Dunia hangat ketika Mursi memenangi pilihanraya Presiden Mesir yang lalu. Tidak terlepas juga, negara tinggalnya Ismail dan Abang Osman tadi. Kisah hangatnya, bahawa beliau seorang hafiz al quran. Beliau pernah menjadi Ahli Dewan Rakyat Mesir sejak Tahun 2000 dan terbaru, menjadi Setiausaha Agung Pergerakan Negara-Negara Berkecuali atau NAM. Gamal Abdul Nasser juga pernah menyandang jawatan ini. Turut tidak terlepas, Mahathir Mohammed dan Abdullah Ahmad Badawi.

                OPS!!

                Perkara yang pasti adalah, wira tidak akan lahir begitu sahaja. Bagai seorang pengusaha batu bata yang memang kerjanya membuat batu bata. Pengusaha itu perlu memiliki pengalaman yang menggunung tinggi untuk menghasilkan batu bata terbaik. Bahan asas yang berkualiti perlu dipilih untuk diadun dengan adunan yang tepat sebelum dibongkah-bongkahkan. Ketinggian suhu untuk membakar juga perlu diambil kira. Hanya batu bata yang diadun sempurna dengan bahan terbaik akan mampu  menampung tingginya suhu untuk menghasilkan sebiji batu bata. Bagi batu bata yang tidak sempurna, akan pecah sebelum siapnya ia. Pasti Udai, Ismail, dan Abang Osman juga tidak mengetahui perkara ini. Hehe.

                Nak lebih mudah faham, Mursi melalui satu proses pembinaan. Proses pembinaan jiwa dan diri. Proses yang menyebabkan dia semakin mengenal Tuhan dan sayangnya kepada ummat bertambah. Jawatan bukan untuk dirinya, namun untuk berkhidmat kepada ummatnya.

                Pembinaan iman yang mendalam, pembentukan diri yang holistik dan sempurna daripada pelbagai aspek, serta medan amal praktikal yang berterusan adalah apa yang Morsi telah lalui. Atau mungkin juga, sedang lalui. Jangan kita sangka, macam buat meggi sahaja prosesnya. Hehe.

                Macam itu lah secara ringkas, tentang Mursi kita ini. Kepada semua yang mengagumi beliau, jangan hampakan harapannya. Beliau mesti mahu kita sambung tugasnya. Dan kelak, beliau mesti mahu kita jadi lebih baik daripadanya. Sentiasa pastikan kita tahu siapa kita, tahu hendak ke mana, dan bagaimana mahu sampai ke sana. Sentiasa pastikan, diri kita ini terbina. Jangan biarkan sia-sia.

                Oh ya, jangan lupa doakan Udai, Ismail, dan Abang Osman. Semoga mereka juga berjaya. Mampu bina diri lalu jadi macam Erdogan dan Morsi.

*ini kali pertama dengan gaya penulisan sebegini. Fuuh, memang agak susah. Boleh tinggalkan pesan. Tiada masalah. Hehe.
               
                

Tuesday, August 21, 2012

Permata Syawal


Dan dia sedang berada dalam fasa ‘the last quarter’ miliknya. Saat melihat ke dada langit sewaktu pekatnya malam, yang kelihatan adalah bulan sabit kiri. Jika yang melihatnya adalah Abu Bakar, bagaimana agaknya reaksi sahabat agung nabi itu?

                Ketika kita mengerti bahawa sesungguhnya Ramadhan itu akan berlalu pergi, wajar sangat kita bertanya kepada diri sendiri. Masihkah kita manusia yang sama? Nabi yang agung itu menjanjikan pelbagai kemulian daripada Ramadhan. Bukan sekadar janji, namun telah menjadi matlamat bagi seorang mukmin untuk dia miliki.

                Perubahan itu perlu.

                Lihat diri sendiri. Adakah kita masih sama sejak 10 tahun dahulu? Alam yang kita duduki ini sangat sinonim dengan perubahan. Sinonim yang bagaimana? Kita perhatikan, setiap satu makhluk dan kehidupan dalam alam ini, masing-masing mempunyai garis masa sendiri. Ada waktu mula, berkembang dan membesar lantas berakhir. Demikian undang-undang alam. Pernahkah kita menduga, perubahan kita pula bagaimana? Apakah yang mendasari perubahan diri ini?

                2 jalan buat manusia.

                Jika kita tidak tahu mahu ke mana, kelak rugilah perjalanan itu. Memandang kembali Ramadhan, terpancul satu soalan. Mengapakah Tuhan langit dan bumi mengutus dia kepada kita? Apakah yang Allah mahu kita dapat ataupun apa yang sewajarnya kita kejar daripada Ramadhan? Kerana bulan murni ini akan pergi dan tiada jaminan kita berpeluang mendampinginya lagi. Taqwa. Demikian satu kalimah ringkas yang diajar Tuhan kepada kita sebagai destinasi untuk ditujui. Inilah inspirasi Ramadhan yang sepatutnya dan selayaknya. Satu kembara memburu taqwa.

                Taqwa bukan omongan kosong., malahan menuntut kepada bukti hidup dalam realiti. Persoalannya, bagaimana dan apa. Bagaimanakah hidup seorang yang bertaqwa? Apakah perubahan yang akan berlaku, bertitik-tolak daripada taqwa itu? Kehidupan kita sebagai hamba, sangat berkait dengan sejauh atau serapat mana hubungan kita dengan Allah. Teringat satu kata-kata dalam siri-siri pengajian yang panjang, ‘aku tahu hubungan aku baik atau tidak dengan Allah, melihat kepada tindak balas keldaiku terhadapku’.

 Sikap individu yang dekat dengan Allah, tidak akan sama dengan yang sebaliknya. Kerana sikap ini berupaya mengubah orieatasi kehidupan seorang hamba. Kalau dahulu, hidup berpandukan keseronokan, kini, keredaan Allah menjadi panduan. Jika sebelumnya, buta dengan agama sendiri, namun selepas Ramadhan ini, tidak lagi. Senyampang pernah hati kita hitam, kerana maksiat, noda, dan dosa, justeru itu, sikap yang berubah menyebabkan kita rajin solat dan rindu kepada al Quran. Kerana Allah, adalah Rabb Al Muhaimin dan Rabb Al Ghaffar yang sama, sebelum, semasa, dan sesudah Ramadhan. Perubahan sikap adalah satu tuntutan.

Butiran air mata.

Perlahan, butir-butir itu menitis membasahi pipi lantas turun ke bumi. Meski 1 Syawal juga menjadi saksi akan gugurnya air mata kita, namun sebabnya boleh jadi berbeza. Aidil Fitri dunia Islam, tidak segamat yang kita sangkakan. Tidak semua nikmat serba baru. Tidak semua tempat menikmati keamanan. Tidak semua ahli keluarga turut serta. Ada yang sudah pulang dahulu menuju kekasih abadi kerana memperjuangkan akidah ini. Pernahkah kita terfikir, bagaimana sambutan 1 Syawal di Negara-negara Islam yang sedang bergolak? Masih ada tanah-tanah umat ini yang terjajah. Menanti pembelaan dan bantuan. 1 Syawal tidak menjanjikan muncung senjata diturunkan. Senstiasa mereka dalam keadaan siap siaga dan bersedia.

Gazza , Syria, dan lain-lain permukiman umat Islam sentiasa kacau bilau dan tidak sentosa. Dan, kebejatan ini akan berterusan seandainya umat tidak kembali bersama. Tidak mahu memadukan tenaga dan menongkah arus pertempuran yang ada. Noktah ini yang sepatutnya kita genggam erat daripada Ramadhan. Keutuhan hubungan dengan Pencipta, membawa kita ke puncak taqwa, melahirkan perubahan sikap, dan membuahkan amal bakti kepada Ilahi. Noktah ini akan melahirkan kesungguhan, jihad, dan ketamadunan.

Sesuci Ramadhan.

Sesuci itu juga, nilai persaudaraan kita sebenarnya. Aidil Fitri datang dengan membawa seruan kembali kepada fitrah. Kembali kepada keadaan jiwa sebagaimana yang Tuhan itu mahukan.

  وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّىٰهَا ﴿٧﴾ فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَىٰهَا ﴿٨﴾ قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّىٰهَا ﴿٩﴾ وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّىٰهَا ﴿١۰

Atas prinsip akidah, Aus dan Khazraj memadamkan api dendam sesama mereka. Muhajirin dan Ansar bersaudara, walau belum pernah bersua, kerana iman dan ketaqwaan yang membara. Kesucian fitrah yang kita miliki, seusai Ramadhan, sepatutnya mampu mendorong dan menolak kita untuk memadamkan segala macam sengketa dan buruk sangka. Kerana akidah menuntut kita melakukannya.

Bukan calang-calang manusia.

Muslim pasca Ramadhan, bukan calang-calang manusia. Apa yang ditempuh adalah satu proses pembinaan yang mana manusia itu akan beroperasi memakmurkan bumi untuk 11 bulan seterusnya. Mulakanlah dengan memperbaiki hubungan sesama kita. Kuatkan persaudaraan dan ukhwah yang ada. Kerana jasad umat lemah longlai dan sangat mendambakan tiupan semangat baru untuk dibangkitkan. Inilah permata syawal yang perlu dipelihara.

Salam Lebaran.

Tuesday, August 7, 2012

Diari Seorang Mahasiswa


Jika kita tahu, doa itu Tuhan makbulkan atau tidak, bagaimana ya? Masihkah kita menangis di anjung malam atau hilang menikmati pemberian Dia? Dalam ruang masa yang manusia miliki dan duduk sejenak merenung hakikat diri, sungguh menginsafkan.

Umpama menanti pinangan diterima atau tidak. Demikian mereka yang tertunggu-tunggu keputusan sebuah peperiksaan. Resah, gelisah, dan gemuruh, semua duduk sekali dalam sebuah hati. Kecamuk emosi ini, adalah satu realiti yang perlu mahasiswa hadapi.

Lain padang lain belalang, lain orang, berbeza cara pandang.

Ada yang menganggap, keputusan peperiksaan adalah segala-galanya. Jatuh bangun hidupnya, ditentukan oleh keputusan itu. Tidak kurang pula yang berpendapat, keputusan adalah cerminan hidup masa lalu. Segelintir yang lain, memandang keputusan sebagai siri-siri kejayaan yang mesti dimiliki.  

Bagaimana pula, orang yang selalu gagal memang keputusan peperiksaan? Kalau pernah gagal sekali?

Kebanyakan manusia, tidak mahu mengulangi kisah silam jika hanya kepahitan yang dirasai daripadanya. Berjaya mengharungi satu pengalaman pahit bagaikan bangkit daripada sebuah kematian. Kerana jiwa kita mudah mati sewaktu kesedihan. Kepahitan dan kegelapan peristiwa itu, memberi impak yang cukup mendalam terhadap manusia. Tertekan, rasa keseorangan, dan merasai sempitnya dunia adalah lumrah bagi pemilik pengalaman ini.

Sering mereka bertanya, di mana kasihnya Tuhan? Ke mana perginya teman-teman?

Drama emosi ini perlu ditangani sebaiknya. Terutama untuk bangkit daripada sebuah kematian. Mempersoalkan ‘di mana kasihnya Tuhan’ bukan tindakan yang tepat. Sebaliknya, perlu ambil cermin dan bertanya, ‘apa usahaku untuk meraih kasih Dia?’. Perlu menimbang antara dua, duhai manusia. Membiarkan emosi memanipulasi diri atau kita yang mengawal emosi ini. Siapa tuan kepada siapa?

Kita tidak mampu pandang Tuhan.

Namun Tuhan tidak pernah terlepas memandang kita. Setiap inci kehidupan ini, tersangat Dia mengetahui. Sebab itu, kita mengenali Dia sebagai Yang Maha Mengetahui. Untuk setiap satu makhluk, pada setiap detik dan ketika, sama ada terang atau tersembunyi, tidak pernah terlepas daripada pengetahuannya. Bayangkan? Setitis nila dosa yang kita lakukan, Dia sentiasa perhatikan. Sebenih harapan keyakinan kepadaNya, tidak akan Dia sia-siakan. Walau sekecil mana usaha kita untuk kembali kepada Tuhan, akan dipermudahkan. Demikian bukti Tuhan pandang kita. Masih mahu meragui?

Selepas usaha itu apa?

Setelah kita biar peluh menitis, seusai kita rasa bengkaknya mata, kemudian kita patut buat apa? Ada yang pergi menikmati, orientasi yang dibekukan kerana musim peperiksaan. Itu lumrah. Jika mahu jadi biasa, pergi bersama mereka. Jika dahulu penuh mahasiswa di surau, turun mengharap Tuhan meminta dikuatkan hafalan, kini semua hilang. Realiti. Jangan kita malu mengakui kelemahan umat sendiri. Cukup kita bicara soal mereka. Ini pula tentang kita. Selepas usaha itu apa?

Mahukah kita menjadi, manusia yang jiwanya hanya hidup pada musim-musim peperiksaan? Atau sebenarnya ubudiah kita kepada Tuhan, adalah satu tempelan. Jangan begitu wahai teman. Doa dan tawakal kita kepada Allah, mesti kekal berpanjangan. Mesti terus mengharap dan kekal tunduk kepada Dia. Kerana Dia tidak bertanya, apa keputusan peperiksaan kita. Yang Dia mahu tahu, apa kita buat untuk menghadapNya.

Perjalanan kehidupan seorang mahasiswa dan Hari Perhitungan semuanya ada kaitan. Jangan sekali-kali kita lupakan.

Dan kita akan terus menanti, natijah doa dan tawakal seorang hamba selepas usahanya.

Saturday, May 12, 2012

Bekal, Matlamat, Dan Dia


Sesetengah manusia membuat analogi, bahawa sesungguhnya, hidup ini umpama sebuah kapal yang berlayar di lautan luas. Sedikit canggung bunyinya, namun saya amat bersetuju.

Sempadan samudera biru cukup luas. Tidak terlihat dek mata meski diakui kewujudannya. Sebuah kapal yang berlayar, jauh membelah lautan, meredah ombak dan badai, menuju destinasi idaman, amat butuh kepada dua perkara asasi. Kecukupan bahan bakar untuk terus berlayar dan kejelasan destinasi yang ingin ditujui. Datangkanlah nakhoda sejaguh mana sekalipun, pilihlah meranti terbaik di belantara untuk dijadikan kayan kapal tersebut atau rentanglah kain layar selebar langit Tuhan untuk dijadikan layar pelayaran, namun, jika tidak cukup bahan bakarnya dan tidak tahu hendak ke mana, usah menjadi umpama Laila yang menanti bulan jatuh ke ribanya.

“Bahan bakar” dan “destinasi” adalah dua rahsia daripada jutaan rahsia yang menjadi inti sebuah kegemilangan. Dalam cubaan menterjemah dua kalimah ini ke alam realiti, saya menemui jodoh tertepatnya adalah bekalan dan inspirasi atau matlamat. Mengapa dua kalimah ini?

Bekalan atau bahan bakar adalah sumber tenaga untuk bergerak. Untuk terus mara ke hadapan. Manakala, inspirasi atau matlamat adalah dorongan dan keinginan yang jitu terhadap sesuatu sasaran untuk dicapai. Mudah bicara, tahu hendak ke mana dan cukup bekalan untuk bergerak, maka akan sampai ke destinasi tujuan atau terhasil kejayaan.
Dunia menyaksikan, dalam tahun-tahun yang sudah berlalu, bahawa telah lahir ikon dunia dengan kejayaan tersendiri mereka. Adakalanya, ia bersifat peribadi. Tidak kurang juga, kejayaan tersebut memberi sumbangan yang signifikan dan impak yang cukup maksima dalam kehidupan. Penciptaan roda, telefon, mentol, formula kalkulus, dan pelbagai lagi penemuan agung muncul satu demi satu mengisi keperluan manusia.

Saya mengambil sebentar tumpuan sekalian pembaca budiman. Tolehlah ke belakang dan lihat keagungan sejarah milik kita. Meski sudah berlalu, namun bekas kegemilangan Islam masih ada dek kerana dalamnya kesan yang ditinggalkan. Menanti untuk dihidupkan kembali.

Muhammad Al-Fateh dan tenteranya adalah bukti kebenaran janji Ilahi menerusi kata-kata kekasih-Nya:

“Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera”
(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Kehebatan kisah ini dirakam dalam sebuah puisi perjuangan:
Utusan Tuhan bersabda,
Benarkan satu ketika,
Derapan kuda kan tiba,
Bebaskan Kota di Roma.
Tentera Fateh pun datang,
Hadis Nabi kuatkan iman,
Layar kapal rentas daratan,
Tanduk Emas dibantu Tuhan.
Tujuh puluh kapal pun tiba,
Byzantin gegak gempita,
Dua ratus ribu tentera,
Mimpi buruk sudah pun tiba.
Lapan ratus tahun penantian,
Konstantin akhir ditawan,
Panji Islam dikibar Hasan,
Tubuh syahid jiwa dikorban.
Itulah si anak muda,
Beraksi menggegar dunia,
Dialah sebaik raja,
Merekalah sebaik tentera.

Demikian kisah ini ditinta dengan darah dan jiwa mereka. Demi menghirup nikmat redha Tuhan.
Walau bagaimanapun, ketika kita menyelusuri kisah Al-Fateh dan tenteranya, acap kali kita terlepas pandang satu noktah besar. Satu noktah yang secara tidak sengaja tersembunyi.

Bolehkah kita katakan, Al-Fateh itu kehebatannya datang secara tiba-tiba? Secara ajaib? Bagaimana susuk tubuh itu mampu memerintah 20 buah negara pada usia 19 tahun? Apakah pengalaman berharga yang pernah dilaluinya? Dengan siapa proses itu dilalui? Siapa yang membinanya? Siapa guru kepada Al-Fateh?

Sheikh Aq Shamsuddin adalan insan yang telah membentuk keterampilan dan wibawa baginda sultan. Seorang yang faqih ilmu syara’ dan mengasuh Al-Fateh sejak kecil. Perkembangan baginda diperhati dengan begitu rapi dan teliti. Al-Fateh dididik meninggalkan kemewahan sejak kecil, dibina jiwanya atas akidah dan ilmu syara’ yang jitu, dan dikembang keilmuan dan pengetahuan lain seperti seni peperangan, urus tadbir negara, kemampuan mengawal emosi dan lain-lain lapangan ilmu. Tinggal di dalam istana ayahandanya tidak menjadikan Al-Fateh mabuk dunia. Bahkan, malam harinya diisi dengan tangisan merindui kekasih hakiki dan siangnya tangkas memimpin dan berbakti.

Sheikh Aq Shamsuddin memenuhkan jiwa Al-Fateh dengan bekalan yang mencukupi dan menjelaskan dengan sebenar-benar penjelasan tentang destinasi yang harus ditujuinya. Holistiknya pemahaman terhadap Islam yang meliputi aspek negara dan watan, pemerintahan dan ummat, akhlak dan kekuatan serta rahmat dan keadilan, pengetahuan dan undang-undang, ilmu dan kehakiman, juga kebendaan dan harta serta usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah, tentera dan fikrah. Semua ini berdiri atas asas akidah yang benar dan kukuh serta ibadah yang sah. Kefahaman yang jelas ini mengalir panas dalam pembuluh darah baginda sultan sehinggakan diterjemah dengan pembukaan Kota Konstantinopel. Begitu besar kesan yang ditinggalkan sang guru kepada anak didiknya.

Demikian realiti seorang guru. Menjadi pemangkin kepada pembangunan sebuah peradaban yang dikagumi.
Bahan bakar dan destinasi tujuan yang dinyatakan pada awal penulisan diadun sebati di tangan seorang insan bergelar guru adalah formula mujarab kepada kemajuan. Secara peribadi, cermin diri kita sendiri. Di mana kita berada sekarang. Kita lihat, apa pencapaian kita, apa pola perubahan kehidupan yang pernah kita lalui, ketika keluarnya kita dari dunia gelap kepada terang sinar mentari dan ke mana hala tuju kita seterusnya, siapa menjadi pemula kepadanya. Sedar atau tidak, di sebalik setiap pencapaian itu, berdiri kukuh seorang insan bergelar guru menunjukkan jalan dan mempersiapkan kita menghadapi hari-hari muka. Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.

Profesion seorang guru mampu menjadi penentu jatuh bangunnya sebuah tamadun manusia. Kerjaya mendidik adalah satu perlaburan jangka panjang yang amat bermanfaat. Kerana hasilnya terhadap seorang pelajar, akan dia secara individu rasai dan masyarakat secara keseluruhannya nikmati setelah puluhan tahun berlalu. Memetik kata-kata Tsun Zhu, seorang panglima dari China:

untuk membina sebuah tamadun yang hebat, ahlinya perlulah sanggup menyemai benih-benih harapan dan menanam pokok-pokok impian yang mana tidak akan mereka nikmati enak ranum buahnya’

Bermula zaman Nabi Muhammad SAW, proses pendidikan dan pembinaan modal insan amat dititik beratkan. Ia adalah tunjang kepada dakwah baginda. Sahabat awal yang memeluk Islam seperti Abu Bakar, Zubair bin Awwam, Ali bin Abi Talib, Talhah, dan Bilal adalah di kalangan sahabat yang pernah melalui asuhan baginda Rasul di rumah Arqam. Ayat-ayat cinta Ilahi turun lembut menyapa hati dan jiwa mereka umpama menitisnya air di atas kerasnya batu. Akhirnya melekuk dan berbekas. Jiwa sanubari manusia akan sangat responsif terhadap benarnya kalimah suci Tuhan. Matlamat daripada proses murni ini adalah untuk menanam dalam hati nurani dan sanubari para sahabat, bahawa agama adalah satu sistem hidup Ilahi yang diatur untuk sekalian umat nanusia. Satu sistem mutlak yang mampu menyeimbangkan kestabilan antara alam buana dan jiwa manusia. Di situ sekalian sahabat menemui bekalan terbesar dan destinasi tujuan sebenar di sebalik rahsia penciptaan mereka. Maka bertebaranlah mereka ke seluruh pelusuk alam menyampaikan dan menyambung laungan dakwah nabi yang berseru di atas Bukit Safa. Sehingga kini, seru jeritan itu bersambung terus menerus bertukar susuk penyeru sehingga sampai ke jiwa kita.

Demikian peri pentingnya seorang guru dan proses pendidikan untuk membina sebuah peradaban.

Berlalunya zaman sahabat, berganti penyeru lantas memayungi ummat. Imam Ahmad, gemar bersama masyarakat dan anak-anak muda dalam majlis-majlis mereka. Lalu, beliau mengenali mereka, menasihati mereka, mendidik, dan menunjukkan hakikat kehidupan yang sebenar. Begitu si Imam mengimani bahawa generasi muda perlu dididik. Dialah imam, dialah guru.

Seruan itu juga disambut dan disampaikan oleh golongan manusia masa kini. Bersumberkan  intipatinya yang sama. Dua pedang yang menjadi tonggak muslim, Al-Quran dan Sunnah adalah titik kembali yang sama antara kita dan mereka. Seorang pejuang Islam, Sheikh Mustafa Masyhur menyatakan dalam salah satu karyanya (Jalan Dakwah):

dalam fasa pembinaan dan penyediaan individu yang terbaik, sudut utama dan terpenting yang perlu diberi penekanan lebih adalah membangkitkan jiwa daripada kelesuan yang panjang.”

Juga Allah berfirman,
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.”
(Surah Ar Ra’d: 11)

Sememangnya, sejarah menyaksikan, jasa seorang insan bergelar guru tidak mungkin terpadam. Bergantilah tokoh-tokoh hebat di sekeliling kita, pasti sebelum itu, dalam memulakan pelayaran kehidupan yang jauh dan panjang, untuk mengumpul bekalan dan mengetahui destinasi tujuan, pernah mendapat sentuhan manusia dipanggil guru. Yang mana telah lebih awal bersama tokoh tersebut saat dia belum ada apa-apa dan belum bergelar sesiapa. Kudrat dan keringat yang mengalir tidak diharapkan apa-apa melainkan hanya mahu menyaksikan anak didiknya mampu menjadi lebih baik daripada dirinya.

Buat sekalian jiwa yang membaca, ingat kembali bagaimana kita boleh berada di sini. Bagaimana banyak tenaga yang dicurahkan guru dalam mendidik kita, melayani setiap kerenah, mengisi penuh bekal-bekal perjalanan, dan meluruskan destinasi tujuan. Kuatkan usaha dan azam dalam belajar kerana suatu hari nanti, kita pula akan menjadi sebahagian batu bata kepada binaan Islam yang agung. Jangan terlalu asyik mendongak purnama di langit sehingga terlupa hijaunya rumput di bumi.

Kepada sekalian guru, teruskan kegigihan mara melangkah kehadapan untuk mendidik dan membina ummat tercinta. Walau betapa penat anggota badan dan kusut masai pemikiran, yakinlah bahawa setiap usaha kalian untuk membina generasi harapan adalah saham-saham yang akan memastikan Islam kembali tertegak ke kedudukan asalnya semula. Hanya Tuhan Yang Satu mampu membalas gunungan tinggi jasa kalian kepada kami.

“Kapal sudah di pelabuhan,
Peta sudah di tangan,
Sauh sudah diangkat,
Layar telah dibuka,
Bahan bakar sedang membara,
Destinasi tujuan menjadi inspirasi bersama,
Segalanya dimulakan oleh seorang insan biasa,
Dengan lembut sabarnya dia mengajar,
Mengaji, mengeja, membaca, menulis, dan mengira.”

Selamat Hari Guru kepada sekalian warga pendidik yang tercinta.


Monday, April 30, 2012

Hidup : Antara Api dan Hati


Bismillah.
                ‘Kesempitan bukan halangan. Ia adalah peluang untuk menjadi lebih sempurna’. Demikian motto peribadi untuk peperiksaan kali ini. Semoga Tuhan memudahkan segala urusan. Doa kalian amat didambakan.

                Baru-baru ini, saya sempat memasakkan satu makanan arab untuk housemate tersayang. Maqlubah nama diberi. Maka, apa sebenarnya masakan ini?

                Mudah sahaja. Masih menjadikan beras basmathi dan ayam atau daging sebagai bahan utama. Tidak dilupakan rempah sup, minyak sapi, bawang, kobis bunga, terung, kentang, lobak merah, kismis, badam, dan kekacang. Lagi banyak, lebih menarik dan enak.

                Hanya perlu rebus potongan ayam atau daging, kemudian goreng dengan kunyit bahan seperti kentang, ayam itu sendiri, dan terung. Air rebusan perlu diubah menjadi sup dengan kepekatan yang akan dinasihatkan oleh doktor untuk dimakan sebulan sekali sahaja. Terlalu pekat dan masin. Tumis bawang dengan minyak sapi dalam periuk lain, dan susun bahan-bahan tadi secara lapisan. Bawah sekali kita mulakan dengan lobak, kobis bunga, kemudian terung, kentang, ayam yang sudah digoreng atau daging, kekacang dan kismis terus ditabur, dan  beras basmathi yang selesai dibasuh. Akhir sekali, tuangkan sup tadi ke dalam periuk yang dipenuhi dengan pelbagai isi itu. Pastikan jarak antara permukaan sup dengan permukaan beras adalah kira-kira seruas jari manusia biasa. Biarkan mereka bersama api sekitar 20 minit atau lebih. Sehingga bunyi air mendidih tidak kedengaran.

                Sedang jiwa ini tenggelam bersama proses memasak, tiba-tiba api terpadam. Untuk seorang tukang masak, ketiadaan api sewaktu memasak adalah ibarat sebuah kapal yang payah layarnya. Terhenti segala hajat dan tujuan. Mencari ganti tersangat penting sewaktu itu.Rupanya memang stove kami sedikit bermasalah. Puas bertarung, akhirnya Tuhan perkenankan doa dan api kembali menyala.

                Terdiam hati kecil saya. Begini susahnya kalau mati api ini. Rosak segala perancangan dan tidak bernilai segala usaha sebelumnya. Memang mati itu pasti ke atas setiap sesuatu. Hanya Pemilik langit dan bumi sahaja kekal abadi. Tidak bermula dan tidak berhenti. Timbul satu persoalan, adakah mati perkara yang terteruk ke atas setiap manusia? Adakah setiap yang hidup itu bermakna? Bagaimana mahu menjadikan, hidup tidak bermakna dan mati?

                Surah An Nur (35)

                Menerusi ayat ini, tersembunyi satu rahsia agung daripada jutaan rahsia kebesaran Ilahi. Rahsia yang menjadikan, hidup ini di atas jalan lurus dan menuju destinasi sebenar. Rahsia yang menyebabkan, Allah redha ke atas kita.

                Ini cerita tentang cahaya.

                Cahaya adalah sesuatu yang menerangi. Sesuatu yang dijadikan sebagai penunjuk jalan. Sesuatu yang membawa harapan dan senyuman. Dalam potongan ayat tersebut, Allah menyatakan tentang masala nurihi ka miskatinf fiha misbah (cahaya Allah umpama dalam satu lubang, yang di dalamnya ada pelita besar, dan pelita itu ada cahaya). Ibnu Qayyum Al Jauzi menukilkan buat kita, menerusi penanya dalam karya yang berjudul Fawaid, tentang besarnya implikasi daripada ayat ini.

                Cahaya dalam pelita yang dimaksudkan menerusi ayat ini adalah untuk mereka yang Allah anugerahkan hidayah dan petunjuk untuk terus hidup. Ini bermaksud, hidayah atau cahaya tersebut, adalah nikmat dan anugerah yang Allah campakkan atau curahkan dalam hati seorang hamba. Ini yang menjadikan hati mereka hidup.

 Orientasi kehidupan seorang hamba yang mendapat anugerah ini sangat berbeza dengan mereka yang tidak dapat apatah lagi lari daripada cahaya ini. Perkara ini sudah tentu. Kerana  berbeza sumber. Sumber cahaya ini adalah Allah itu sendiri. Dia yang Mencipta sebesar-besar semesta buana. Dia yang mencipta kita. Dia yang mengetahui kita dengan sebenar-benar pengetahuan. Setiap sesuatu yang kita zahirkan mahupun sembunyikan, diketahuinya. Pemilik hati yang hidup ini akan berubah orientasinya. Menjadikan Allah sebagai tempat bergantung utama. Dialah sebagai tempat diletakkan dahi dan jiwa ini tunduk sujud dan mengembalikan segala perbuatan hanya keranaNya. Imannya, hidupnya, zikirnya, nafasnya, pemikirannya, ideanya, senyumnya, marahnya, cintanya, kasihnya, duitnya, malah matlamat terbesar dan cita-cita dalam hidup ini hanya untuk Dia.

Lalu berjalanlah pemilik hati yang hidup ini dikalangan manusia untuk mengajak mereka kembali kepada kebenaran. Kebenarahn yang terletak di sisi Tuhan. Bukan kebenaran pada kaca mata manusia. Bukan kebenaran mengikut cita rasa kita. Dan bukan juga kebenaran mengikut kata-kata mereka. Pemilik hati-hati ini menyampaikan rasa kasih, cinta, membuka minda, dan menyedarkan jiwa untuk sama-sama mengenal Tuhan. Maka berpeganglah tangan-tangan mereka dan mara kehadapan. Menojolkan diri menjadi contoh untuk sekalian umat manusia.

Adapun untuk mereka yang tidak mendapat anugerah ini, satu sahaja natijahnya. Orientasi hidup mereka akan sangat-sangat berbeza. Berbeza sumber, berbeza cara pandang, berbeza cara kerja, berbeza matlamat, dan tentu juga berbeza natijah dan nilainya di sisi Tuhan Yang Esa.

Demikian intipati coretan Ibnu Qayyim Al Jauzi.

Mungkin ini masalah terbesar kita. Masalah umat manusia seluruhnya. Masalah masyarakat kita di Malaysia.  Bukan kita ini tidak pandai, bukan kita ini tidak kaya, bukan kita ini tidak hebat merancang atau bekerja, namun, apa yang kurang adalah hati-hati kita. Hati kita mati. Hati kita kosong daripada cahaya Ilahi. Kekosongan ini menjadi titik mula kepada segala kerosakan dan kefasadan yang ada. Rosak pada sumber menyebabkan seluruh perkara yang ada di depannya tidak bermakna. Umpama pokok. Kalau rosak akar dan batangnya, mana mungkin akan tumbuh tinggi memayungi daripada terik mentari atau berbuah ranum semanis epal yang kita nikimati.

Begitu cerita tentang cahaya.

Oh ya, tentang makanan arab itu.

Selepas 20 minit, siap segalanya. Bahagian paling menarik masakan ini adalah setelah siap dimasak, nasi itu akan ditelangkupkan lalu dimakan beramai-ramai.

Terima kasih diucapkan buat sorang sahabat tersayang yang telah mengajar saya masakan ini. Kesudian anda meledani kerenah ini amat saya hargai. Semoga Allah sembuhkan kesihatan dan kurniakan kekuatan untuk terus bergerak dan bekerja.


Sekian.

Friday, April 20, 2012

Tunjangnya Adalah Kita

Melayu itu penuh dengan adat, kesopanan dan warisan yang tinggi. Sejak berkurun lamanya, apa yang ada dalam jiwa raga Melayu itu mahu dipertahankan. Itu identiti kita. Siapa sangka, dalam penuhnya nilai adat dan tingginya elemen kesopanan, Melayu sebenarnya adalah kunci kepada satu kebangkitan di rantau ini. Ya. Islam di nusantara ini jika mahu bangkit, MELAYU TUNJANGNYA. Benarkah? Mengapa?


Majoriti masyarakat menganggap, Islam itu luas. Tidak dibatasi dengan bangsa, kulit, dan bahasa. Maka, apabila ada yang menyonsong satu ideologi bahawa kebangkitan Islam di rantau ini bertunjangkan Melayu, ini dianggap perkauman, lari daripada matlamat perjuangan Islam, malah sesat. Ibaratnya, terbina dalam minda masyarakat kita satu benteng ampuh yang memisahkan antara bangsa dan agama. Tidak boleh bercampur.

Hakikatnya, pegangan ini perlu diperbetulkan. Mereka perlu jelas mengapa Melayu itu menjadi tunjang kebangkitan Islam di rantau ini. Bukan hendak menafikan hak-hak bangsa lain yang beragama Islam, namun, ada hikmah disebaliknya.

Sebenarnya, contoh mengenai masalah ini telah lama wujud. Pentas sejarah telah membuktikan segalanya. Cuma mungkin, tidak ramai yang mahu mengambil pegajaran daripadanya. Dalam sejarah junjungan mulia, sewaktu baginda mahu menanam dalam jiwa masyarakat berkenaan Islam, Tauhid, dan amal, pernahkah baginda menolak kewujudan bangsa? Baginda berbangsa Quraish. Satu bangsa yang sudah cukup terkenal di Makkah akan ketokohannya, kekayaannya, kemuliaannya, dan ketinggian martabatnya. Bangsa Quraish cukup terkenal. Bijak berdagang dan mentadbir. Berteraskan ini, mereka dipilih menjadi pemimpin. Sewaktu daulah wujud, jawatan dalam negara diberikan kepada Quraish muslim majoritinya disamping tidak mengenepikan kewujudan bangsa lain. Kerana mereka cukup arif akan selok-belok masyarakat arab dan cukup bijak malah menimbun pengalaman kepimpinannya. Atas dasar ini jugalah, kafir musyrikin menolak dakwah. Mereka bimbang, jika dakwah diterima, bermakna mereka perlu tunduk kepada bangsa Quraish. Perlu mengakui ketuanan bangsa Quraish di bumi arab. Kerana baginda berbangsa Quraish. Padahal tidak. Meski jawatan dipegang bangsa Quraish, namun daripada segi hak selaku muslim, semua mendapat layanan sama rata, hatta khalifah itu sendiri. Dan kafir yang hidup dalam negara Islam juga berhak mendapat hak-hak mereka. Jika ada juga bangsa lain yang kehebatan dan kebolehan memimpinnya seperti bangsa Quraish, maka mereka juga terpilih.

Rasa sayang yang begitu mendalam dan sensitif oleh Rasulullah terhadap bangsa dan watan terbukti saat baginda mahu meninggalkan Makkah, barhijrah ke Madinah. Andai baginda tidak ditekan dan terpaksa keluar, baginda tidak mahu meninggalkannya. Namun itulah pengorbanan. Baginda tidak taksub membabi-buta terhadap bangsa dan watan. Apabila tiba di persimpangan untuk memilih antara bangsa dan agama, Islam itu mendahului segalanya, hatta keluarga dan harta. Begitu sepatutnya.

Hal yang sama berlaku di Malaysia. Majoriti masyarakat berbangsa Melayu. Daripada 28 juta penduduk Malaysia pada 2009, 50.4% adalah orang Melayu. Lihat betapa dominannya kita. Dalam tampuk kepimpinan pula, bangsa Melayu diperuntukkan sejumlah kuasa yang besar untuk mentadbir. Mari kita singkap seketika sejarah. Gemilangnya martabat Kesultanan Melayu Melaka itu adalah kerana mereka memartabatkan Islam. Dalam jiwa dididik kenal, cinta, yakin, dan berjuang untuk Islam. Daripada Sultan sehingga kepada rakyat dan hamba, semua diajak tunduk dan patuh kepada agama ini. Hal yang sama terjadi buat Kerajaan Acheh dan Kerajaan Demak. Semuanya berbangsa Melayu. Dan mereka menjadi tunjang keutuhan dan tersebarnya Islam di rantau asia tenggara ini. Kerana melayu cukup arif akan budaya, adat resam, dan sifat masyarakat di rantau ini. Kerana ini bumi Melayu. Ini tanah air kita. JIka Islam mahu tertegak di China, bangsa Cina adalah tunjangnya. Jika mahu tertegak di India, bangsa India adalah tunjangnya.

Pemikiran ini yang mahu penulis kongsi bersama. Masyrakat Melayu perlu sedar bahawa jatuh bangun Islam di bumi pertiwi ini terletak pada usaha kita. Jika kita terus leka dan lalai, Islam akan jadi bahan mainan. Kita perlu mencipta semangat kemelayuan yang mampu memartabatkan Islam. Bukan semangat kemelayuan yang semberono dan penuh dengan semangat dan slogan kosong semata-mata. Atau yang bersifat membawa kepada kepentingan peribadi. Kemuliaan perjuangan Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Ku Paloh, Tok Ku Pulau Condong, dan ramai lagi pejuang dalam layar sejarah perjuangan negara perlu disegarkan kembali. Dengan apa? Dengan kita tentunya. Melayu abad baru. Melayu yang melahirkan tokoh-tokoh akademik, berprofession tinggi, korporat, menghidupkan pena dan lisan, barisan ilmuan dan cendekiawan atau yang kebanyakan. Semuanya berperanan memartabatkan Islam.

Ayuh sekalian bangsaku, sedar di mana kita berada sekarang. Buka mata dan lihat realiti saudara muslimmu. Masihkah ada waktu untuk kita kekal membisu? Segeralah bangkit dari lena kehidupan yang palsu.

Usah malu berjuang.

Wednesday, April 18, 2012

Anak-Anak Akhirat

Pada satu ketika,
Berkumpul jiwa-jiwa.

Disaksikan biru air laut,
Beserta wangi hembus bayu,
Kita membina janji ini,
Untuk sehidup semati.

 Tika mata bertemu mata,
Dan mulut berbicara,
Jauh menusuk sukma,
Bergetar jiwa mendengar ayat cinta Dia.

Sangat aku terasa,
Panasnya kasih dan cinta,
Anak-anak akhirat.

Jauh kau memandang ke kaki langit
Duhai pemuda,
Menafsir hakikat yang pasti,
Daripada janji ini.

Bukankah kita percaya,
Ketika mana wujud lelaki dengan nilai yang luar biasa,
Adalah penyebab utama,
Untuk agama ini berjaya.

Dari jauh kutitip,
Mentera kasih perjuangan,
Semoga Tuhan memakbulkan,
Hasrat dan impian.

Jadilah kita lelaki itu.

Thursday, January 26, 2012

Hadiah Yang Tidak Seberapa


Semakin meningkat usia, semakin kita akan menghargai masa silam kita. Bola sepak adalah kegemaran bagi saya. Pernah sekali, sekitar usia 5 tahun, saat pertama kali ayah membawa saya membeli jersey, yang mahu dibelikan hanya baju sahaja. Spontan keluar pertanyaan daripada mulut ini, ‘habis tu, seluarnya nak pakai ape?’. ‘Eh, nak seluar juga?’ balas ayah, sespontan anaknya. Meriah. Sepasang baru la padan, kan?

Sejak kecil saya percaya akan teori berpasangan. Alam ini unsurnya juga berpasangan. Bumi itu atapnya langit. Malam pula pakaian bagi siang. Pasangnya air laut tanda sebentar lagi ia akan surut. Dahulu, fahamnya begitu. Sekitar itu. Dan bertitik-tolak daripada itu juga, kini saya mula memahami dan  menyingkap, rahsia disebalik berpasangan bagi manusia.

Dengan penuh rasa rendah diri dan lahir daripada hati ini, dari jauh ucapan tahniah dan syabas diucapkan buat teman-teman seperjuangan yang telah lebih awal merangkul title suami dan isteri. ‘barakallahulakuma wajama’a bainakuma fil khair’. Kalian cukup berani. Saya kongsikan permata dari nabi.

“Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud katanya, Rasulullah SAW bersabda kepada kamu:  Wahai kumpulan anak-anak muda ! Barangsiapa di antara kamu yang mampu berkahwin hendaklah berkahwin. Kerana sesungguhnya perkahwinan itu menutup pandangan dan memelihara kemaluan. Tetapi barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa sebab yang demikian itu akan menahan nafsunya.”

Tersentak saya saat pertama kali belajar hadis ini. Sangat molek sistem yang diatur buat kita, duhai anak muda. Sistem masyarakat yang diajar nabi, tentang cara berhadapan dengan nafsu. Tidaklah nafsu itu dibuang. Tidaklah nafsu itu dinafikan. Dan tidak juga nafsu itu diikutkan semata-mata. Sistem ini mengajar, nafsu itu untuk dikawal dan dididik. Jika nafsu itu untuk dibuang, dinafikan, atau diikutkan semata-mata, nescaya bukan daripada kalangan manusia sekalian nabi dan rasul yang diutus buat kita. Rasulullah menunjukkan tauladan terbaik buat kita. Baginda makan, minum, tidur, puasa, berperang dan juga berkeluarga. Begitu juga kita sepatutnya.

Bukan diri ini yang Tuhan takdirkan untuk malalui gerbang suci itu. Setidak-tidaknya, bukan dalam masa terdekat ini. Syabas sekali lagi buat kalian.



Ramai manusia berkahwin dalam dunia ini. Namun, apakah yang membezakan antara mereka? Contohnya, satu pasangan di Negeri X dan pasangan seterusnya di Negeri Y. Sudut pandang utama, niat dan sebab. Boleh jadi sebab sudah 10 tahun kenal. Dari mata kemudian masuk menusuk sukma. Sudah masuk, sangat mustahil keluar. Boleh jadi juga sebab terpaksa. Desakan keluarga, terperangkap dengan janji-janji manis lalu lari ke Lombok, dan pelbagai lagi. Dan boleh jadi juga, kerana hadis di atas. Maka beruntunglah sesiapa yang memilihnya. Semoga kita juga sama.

Dalam satu bicara singkat bersama seorang teman, terhasil buah fikiran yang pada pengamatan saya, bernas. Suka saya kongsikan di sini. Moga-moga ianya ranum dan enaknya kita nikmati bersama.

Saat lelaki menjawab lafaz akad nikah adalah detik pemisah antara 2 gelaran. Bujang dan suami. Mustahil seorang lelaki itu bujang dan seorang suami dalam masa yang sama.Maka secara teknikal dan ertinya, lelaki sudah beristerikan wanita tersebut. Namun, bukan sekadar dirinya semata-mata. Malah secara tidak langsung keluarganya, masa silamnya, serta masa hadapannya juga turut ‘dikahwini’. Seakan-akan,mereka sebelum ini 2 bahtera yang berbeza. Buatannya, jenis kayunya, lautan yang dilayarinya, dan juga tujuannya. Boleh jadi juga, semuanya sama melainkan berbeza kapalnya sahaja. Kini tidak lagi. Segalanya perlu disatukan. Saya lebih gemar dengan istilah ‘sinergi’. Lebih hampir kepada maksud yang ingin disampaikan. Segalanya perlu disinergikan. Hasil daripada perkahwinan atas dasar Ilahi mampu menghasilkan natijah hebat. Muhammad Al-Fateh bukan calang-calang keluarganya. Bapanya seorang sultan kerajaan Islam. Kuat berpegang dengan agama. Boleh search Sultan Murad Ke-2. Ibunya kuat mendorong dan meningkatkan motivasi Al-Fateh seawal kanak-kanak lagi untuk membuka Kostantinople. Begini contoh sinergi yang perlu kita hasilkan.

Sudut pandang seterusnya, perihal hubungan dan komunikasi. Dahulu dengan kata ganti nama saya dan awak atau ana dan enti. Namun sesudah bernikah, panggilannya juga akan berubah. Panggilan yang selayaknya. Gunakan waktu transisi dengan sebaiknya. Saya beri analogi mudah. Pernah kalian masak ikan masak asam? Ikan asalnya dari laut. Manakala asam pula dari darat. Apabila dimasak, perlu disekalikan dalam satu periuk. Mana mungkin kita namakan ikan masak asam namun tidak pernah disekalikan. Dan bila enaknya masakan ini? Apabila serba-serbinya cukup. Ada lemak masin-masin garam di hujung lidah, sedikit masam air asam, dan juga pedasnya cili serta kekuatan dan tempoh nyalaan api juga penting. Dan mungkin juga pelbagai citra rasa lain yang disukai. Pokokya, perlu kepelbagaian dengan kadar terkawal. Mustahil kegirangan hari pertama perkahwinan berturusan tanpa penghujungnya. Jika pasangannya adalah robot, maka mungkin. Namun bukankah pasangannya itu manusia. Makhluk yang cukup unik. Kasih, sayang, marah, cemburu, iri hati, dan pelbagai lagi sifat dan sikap lain yang mewarnai diri manusia. Akan ada waktunya yang terlebih dan terkurang. Oleh itu, apabila waktu-waktu tersebut menyapa, maka kembalikan diri kepada Pemilik jiwa yang menghubungkan perkahwinan ini. Allah sebagai punca. Gunakan masa transisi untuk bertaaruf sebaikya. Semoga terbina komunikasi antara dua jiwa.

Sedikit sebanyak, demikian sebuah perkahwinan. Semoga Allah memberkati perkahwinan kalian dan di atasnya kita dirikan binaan empayar Islam yang hakiki.

Akhir bicara, kalian lebih mengetahui dengan pengalaman perkahwinan yang lebih awal daripada yang menulis ini. Anggaplah tulisan ini sebagai hadiah yang tidak seberapa buat kalian sebagai bukti perkenalan kita. Saya masih bermain dengan teori dan kalian sudah hidup dengan realiti. Sinergikan dua jiwa kerana Ilahi dan selamat pengantin baru.



Sekian.

Wednesday, January 25, 2012

Wira Dan Peristiwa



Salam takzim buat semua.

                Sejarah. Apabila disebut sahaja kalimah ini dihadapan mahasiswa dan mahasiswi, yang terbayang dalam benak fikiran mereka adalah buku tebal dengan bacaan berjela-jela, suasana suram, dan mengantok. Satu mentaliti klise. Mungkin daripada satu sudut, benar. Cara pengajaran dan pembelajaran sejarah wajar diberi nafas baru. Daripada perspektif lain pula, mahasiswa dan mahasiswi sendiri perlu proaktif meneroka ufuk-ufuk baru daripada sejarah. Apa yang sangat perlu kita sepakati, sejarah boleh berulang.

                Sejarah telah menyaksikan, jatuh bangun ramai wira di dunia. Daripada pelbagai aliran pemikiran dan falsafah kehidupan. Pro-pemerintah, pembangkang, anarki, demokrasi, diktator, federalisma, feudalisma, monarki, meritokrasi, oligarki, republik, teokrasi, autokrasi, sosialisma, kapitalisma, komunisma, liberal, ketenteraan, feminisma,  gerila, sekular, humanisma, proletariat, aristokrasi, tirani, kristian ortodok, atheis, Islam, dan pelbagai lagi yang tidak tersebut di sini. Sangat berwarna-warni. Dan dari setiap satu ini, punyai wira atau wirawati mereka sendiri. Silih berganti sepanjang zaman. Kita ambil komunisma sebagai contoh. Komunisma adalah manefestasi pemikiran Karl Marx terhadap kehidupan ini. Aliran pemikirannya dinamakan Marxisma. Manerusi ideologi Marxisma, punca kebejatan yang berlaku dalam masyarakat adalah kerana sistem sosial yang sarat dengan korupsi. Mereka melihat, dalam sistem sosial masyarakat, yang ada hanya golongan yang ditindas dan penindas. Golongan makan gaji dan pemberi gaji. Golongan ini menjadikan keadilan sosial sebagai inspirasi perjuangan. Faktor subjektif seperti budaya dan moral bukan penyebab utama. Komunis diterjemah menjadi satu gagasan yang besar, mencakupi aspek sosial, politik, dan ekonomi. Berlalu masa, kesinambungan perjuangan mereka diteruskan di merata negara oleh ‘wira’ seperti Vladimir Lenin, Joseph Stalin, Mao Zedong, Zhou Enlai, Ho Chi Minh, Nikita Khruschev, Fidel Castro, Che Guavara, Josip Broz Tito, Nicolae Ceausescu, Mikhail Gorbachev dan pelbagai lagi. Benar, insprasi perjuangan mereka tidak Rabbani. Kerana itu, komunisma kini melalui era kematian. Namun, sejarah telah menjukkan kepada kita, pernah ada ‘wira’ yang berdiri teguh menjunjung tinggi gagasan perjuangan mereka. Kewujudan wira-wira ini merupakan sunnah alam.

Pembaca yang budiman.

                Selain wira-wira, sejarah ini juga dibina dengan peristiwa yang berlaku sepanjang zaman. Satu peristiwa yang amat penting bagi seorang yang akidahnya adalah bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad S.A.W adalah utusanNya ialah Perang Badar. 17 Ramadhan tahun Hijrah ke 2 adalah tarikh pertempuran ini berlaku dan Badar adalah tempatnya. Umum mengetahui, bilangan tentera muslimin sangat sedikit berbanding tentera musyrikin. Dengan kekuatan ketenteraan yang serba kurang dan tiada pengalaman peperangan yang besar atas nama Islam, kemenangan seakan-akan milik musyrikin sejak awal lagi. Namun, akidah adalah perbezaan utama antara 2 pasukan tentera ini. Satu berakidahkan selain Allah dan satu lagi menjadikan tauhid kepada Allah sebagai teras dalam setiap lapangan kehidupan. Maka Allah mengizinkan dan tentera muslimin menang. Cuba kita bayangkan sejenak, tanpa pengorbanan Rasulullah dan sahabat dalam peperangan ini, meletakkan jasad dan nyawa sebagai mahar perjuangan, mungkinkah beragama Islam kita kini? Keunggulan ganerasi awal yang dibina Rasulullah sangat sukar ditandingi dan peristiwa Perang Badar adalah manifestasi keimanan mereka.

                Wira dan peristiwa. Begitulah 2 unsur penting dalam sejarah. Saling berkait dengan sangat rapat. Andai dipisahkan, maka tempang sejarah itu. Jesteru, apakah kaitan mahasiswa dan mahasiswi yang rata-rata sedang menghadapi peperiksaan ini, dengan wira dan peristiwa?

                Menjadi seorang wira dengan peristiwa-peristiwa penting tidak banyak bilangannya. Daripada bilangan manusia yang begitu ramai, hanya segelintir sahaja tercatat dalam sejarah dengan peristiwa mereka. Mungkin, ada yang tergolong sebagai ‘the unsung hero’. Akan tetapi, yang lebih ramai hanyalah sebagai penonton atau pembaca semata-mata kepada sejarah. Mereka melalui hari-hari seperti biasa dengan rutin yang diulang-ulang. Tanpa sedar. Mereka lahir, membesar, bersekolah, belajar, bekerja, berkahwin, berkeluarga, menabung, melihat anak-anak mereka pula membesar, dan apabila sampai waktu yang Allah tetapkan, pulang menghadap pencipta, untuk dihisab amalan dunia. Bagaimana dengan kita?

                Kebanyakkan daripada kita, melalui peperiksaan tanpa sedar. ‘Aku nak score exam ne’,’baca sikit-sikit, dapat naik tahun jadi la’,’lepas exam nak tour gi Turki’,’alahai, bile la exam ne nak abes’, dan pelbagai lagi ekspresi manusia. Sangat rugi seandainya kita hidup kosong tanpa apa-apa matlamat atau agenda. Sekiranya kita melihat peperiksaan sebagai peperiksaan, maka kita akan menghadapinya sebagai peperiksaan. Namun, seandainya kita melihat peperiksaan sebagai peluang untuk menjadi wira dan mencipta peristiwa sendiri, maka kita sebenarnya sedang bersiap menjadi seorang wira dan bakal mencipta peristiwa sendiri. Lantas, mana mungkin mereka yang mahu menjadi wira bermudah-mudahan culas dalam peperiksaan mereka. Malas mengulangkaji pelajaran, malas membuat latihan, luntur semangat walau peperiksaan belum berakhir, tidak menjaga solat, kurang membaca al quran, tidak menjaga hak-hak teman, kecewa akan kegagalan sebelum ini, dan pelbagai lagi tindakan negatif dalam tempoh peperiksaan tidak seharusnya dilakukan oleh mereka yang berazam menjadi wira. Kerana wira itu besar agendanya dan perbuatan negatif ini mencerminkan orang yang tidak beragenda, maka tidak seharusnya wira itu hidup dengan perbuatan seperti ini. Mari kita koreksi diri kita. Ana, antum, saya, kamu, penulis, pembaca, malah sesiapa sahaja. Untuk apa dan bagaimana kita menghadapi peperiksaan ini dan peperiksaan yang lalu. Bagaimana pula dengan yang akan datang.

                Satu nasihat mudah sempena peperiksaan untuk diri saya dan sekalian jiwa yang membaca entri ini. Pastikan hidup kita beragenda. Adakah kita hanya mahu menjadi insan yang tenggelam dalam sejarah dunia tanpa apa-apa sumbangan? Cukupkah sekadar membaca sahaja kisah-kisah ganerasi awal Islam dan sejarah tamudun Islam yang gemilang lalu natijah daripada pembacaan tersebut adalah ‘pergh, hebat la sahabat dulu’,’oow, ne rupanya sejarah Islam’,  dan ’eh, Islam pernah ada kat Sepanyol la dulu’?. Jangan jadi naïf. Adakah Islam sekadar menjadi bahan bacaan dan silibus? Tidak patutkah Islam tertegak di bumi nyata ini? Maka siapa yang perlu menegakkannya?  Mana wira dan wirawati yang menanam benih perjuangan dalam dirinya lantas bangkit dengan peristiwa hebat lalu membina peradapan Islam yang gemilang.



Pembaca yang dikasihi.

                Persiapkan diri kita. Cari identiti dan agenda hidup. Jadikan Islam sebagai agenda yang kukuh terpasak dalam jiwa, sentiasa berlegar dalam benak pemkiran dan diterjemah dengan setiap gerak-geri kita. Maka berangkatlah sebagai wira yang bakal mencipta peristiwa besar bermula dengan peperiksaan ini. Demikian mahar seorang wira.

Bukan sekadar peperiksaan.

Sekian.